Foto SInar Harian
Oleh Sarfarizmal bin Saad

Kurang lebih 50 jam sebelum ‘total lockdown’ dikuatkuasakan pada 1 Jun 2021, masing-masing sedang sibuk bersiap untuk menghadapi keadaan seperti yang pernah berlaku dalam negara ini pada 18 Mac 2020 lalu.

Malangnya, selepas 24 jam sebelum 1 Jun 2021 itu, kita dikejutkan bahawa lebih kurang 95,000 buah syarikat telah ‘dihalalkan’ untuk beroperasi walaupun ketika negara dalam keadaan ‘total lockdown’.

Maka, pada hari pertama ‘total lockdown’ dilaksanakan, kita dapat melihat suasananya tidak seperti yang kita gambarkan. Walhal, pada mulanya kita semua difahamkan hanya sektor awam dan swasta yang berstatus essential sahaja akan dibenarkan beroperasi.

Persoalannya, bagaimana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh mengiktiraf 95,000 buah syarikat berkenaan sebagai essential? Sedangkan telah ‘terkantoi’ bagaimana syarikat minuman keras dan syarikat berkaitan fotografi juga dapat surat kebenaran beroperasi?

Sebagai jurucakap kerajaan mengenai Covid-19 bagi bidang bukan kesihatan, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub telah menjadi sasaran netizen yang tidak berpuas hati dan menganggap kerajaan ini gagal mengurus situasi dengan baik.

Padahal Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Long Mail sekadar penyampai kepada keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menjadi tempat sesuatu keputusan berkaitan darurat dan Covid-19 diputuskan.

Isu ini makin panas apabila Pak Long Mail memuat naik status Facebook dengan kapsyen tergantung berbunyi “Saya dah tutup pintu depan tapi…..” diikuti dengan emoji sedih.

Ramai netizen dan tokoh dalam negara ini menganggap kapsyen Pak Long Mail itu menjurus kepada kebenaran beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4.0 kepada sebahagian besar perkhidmatan yang perlu dalam sektor perkilangan.

Pada 30 Mei, Ahli Parlimen Bera itu mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh, kecuali 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu atau essential.

Beliau juga menyatakan, kilang juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu, melainkan perkhidmatan perlu mengikut sektor tertentu di bawah 12 kategori.

Bagaimanapun, pada 31 Mei, Putrajaya memutuskan mana-mana perniagaan yang ingin beroperasi dalam tempoh PKP 4.0 selama 14 hari bermula 1 Jun boleh mendapat pengecualian daripada kementerian yang dipimpin Azmin Ali. Azmin kemudiannya menyatakan kementerian lain juga terlibat dalam memberikan kelulusan.

Kini timbul pula ura-ura mengatakan bahawa Pak Long Mail yang juga Naib Presiden Umno akan meletakkan jawatannya dalam kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dek kerana situasi yang melanda sekarang ini.

Jika kita telusuri media sosial, kita akan dapati begitu ramai netizen yang mengecam dan memarahi keputusan yang dibuat oleh MITI. Mereka anggap MITI yang dikuasai Azmin Ali tidak serius dalam menjaga nyawa rakyat negara ini, sebaliknya lebih pentingkan sektor ekonomi.

Apakah benar Pak Long Mail akan melepaskan jawatan Menteri Kanan Pertahanannya sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan yang ‘kurang memihak’ kepada kesihatan awam?

Sekiranya Pak Long Mail meletakkan jawatan dalam kerajaan, ia akan mengecilkan lagi pengaruh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kepimpinan Kerajaan PN.

Walaupun ramai yang melihat Kerajaan PN tidak begitu mesra dengan Umno/BN, namun setidaknya parti berkenaan patut berbangga apabila kesemua menteri yang menguruskan pandemik Covid-19 dalam negara adalah dari Umno/BN.

Bermula dari Pak Long Mail yang menjaga keseluruhan penguatkuasaan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 melalui MKN dan agensi lain.

Seterusnya Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba merupakan tonggak utama kerajaan dalam mengurus bidang perubatan bagi melawan virus ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin merupakan menteri penyelaras untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pendek kata, kejayaan kita melawan Covid-19 adalah hasil keringat dan kesungguhan semua pihak, terutama para pemimpin Umno/BN sendiri.

Justeru, Pak Long Mail sewajarnya terus berkhidmat dalam kabinet dan berfungsi dengan lebih baik agar mana-mana menteri lain yang mungkin kurang berpengalaman tidak dapat berkuasa dan urusan melawan Covid-19 ini tidak jatuh ke tangan mereka.

Yakinlah bahawa menteri-menteri berlatarbelakangkan parti Umno/BN pasti mempunyai pengalaman luas untuk mengurus negara ini sehabis baik. Cumanya mereka perlu bersatu hati dan terus fokus kepada perjuangan mempertahankan negara ini daripada virus maut Covid-19 tersebut.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here