Photo by tasnim umar on Unsplash

KUALA LUMPUR- – Bakal jemaah Malaysia dinasihatkan bersabar menunggu pengumuman rasmi status ibadah haji tahun ini dari Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan dimaklumkan sebaik sahaja menerima keputusan Kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya untuk musim ini.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH telah memulakan persiapan awal sejak tahun lalu dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi Haji sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci.

Syed Saleh Syed Abdul Rahman

Syed Saleh berkata, menegaskan salah satu keperluan baharu yang diminta oleh Kerajaan
Arab Saudi tahun ini adalah semua jemaah haji perlu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

“Sehubungan itu, dalam persediaan awal kami, TH telah menyarankan semua bakal haji yang terpilih pada tahun 2020 untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.”

Hasil inisiatif tersebut, bakal haji dari seluruh negara telah mula menerima suntikan ini selain satu lagi suntikan wajib iaitu meningococcal sejak bulan Mac lalu.

“Namun begitu, bakal haji masih perlu lulus pemeriksaan kesihatan apabila menerima surat tawaran tunai haji kelak,” tambah beliau.

Semua bakal haji disarankan untuk membuat persiapan sewajarnya kerana pelaksanaan rukun Islam kelima ini memerlukan persediaan dari aspek ilmu ibadat, kesihatan yang baik, rohani dan jasmani serta kewangan secukupnya bagi memastikan semua rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Bakal haji juga perlu bersedia menghadapi kelainan dalam menunaikan haji kali ini disebabkan norma baharu yang akan diamalkan pada musim ini.

Tahun lalu, ibadah haji yang biasanya menyaksikan kehadiran lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia ke Mekah telah dikurangkan untuk pertama kalinya dalam sejarah dengan hanya 1,000 jemaah yang mengambil bahagian kerana Covid-19. Jemaah berkenaan hanya melibatkan rakyat tempatan dan orang asing yang tinggal di Arab Saudi.

Siaran Akhbar TH - PENGUMUMAN AKAN DIBUAT BILA TERIMA MAKLUMAN RASMI ARAB SAUDI (FINAL 04062021)

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here