Mohammed Azman Aziz Mohammed harap program Luar Biasa dapat jadi panduan kepda pencarum PERKESO.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KEBANYAKAN pekerja tetap adalah pencarum SOCSO (Sosial Security Organisation) atau PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) yang tertera pada slip gaji masing-masing.

Namun tak ramai yang tahu kenapa dan apa manfaat yang mereka boleh peroleh melalui caruman ini. Rugi kepada pencarum dan ahli tanggungan jika tak manfaatkan faedah yang ada.

Bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pencarum, PERKESO menerbitkan program realiti televisyen berjudul Luar Biasa yang mengetengahkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja setelah mengikuti Program Return To Work (RTW) PERKESO.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berharap semua rakyat Malaysia yang menonton program Luar Biasa ini menyedari dan memahami fungsi dan manfaat Program RTW PERKESO.

Hos program Luar Biasa, Norman Hakim dan Shiha Zikir bersama Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Selain itu, beliau berharap penonton juga dapat menggunakan peluang ini untuk memahami dengan lebih baik tentang kelayakan dan hak mereka sebagai pencarum PERKESO.

“Luar Biasa merupakan program TV terbitan PERKESO yang keempat selepas kejayaan menerbitkan tiga buah program televisyen sebelum ini. Luar Biasa, memaparkan kisah perjalanan peserta-peserta Program RTW PERKESO, yang berjaya mengharungi liku-liku kehidupan setelah mereka diuji dengan musibah kemalangan atau penyakit.

“Peserta Program RTW PERKESO ini yang juga merupakan Orang Berinsurans (OB) PERKESO, yang berjaya bangkit semula dari bencana dan kesengsaraan yang dihadapi, menerusi sokongan dan bimbingan yang diberikan menerusi program tersebut,” jelasnya.

Program Luar Biasa yang dihoskan oleh Norman Hakim dan Shiha Zikir itu bakal menemui penonton pada pukul 9 malam, di saluran Astro Prima SD (125) dan Astro Prima HD (105), 4 Jun ini.

Norman Hakim dan Shiha Zikir turut melakonkan sketsa untuk topik yang dibincangkan.

Bagi yang terlepas untuk menonton program ini di televisyen, ia juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PERKESO.

Luar Biasa dipersembahkan secara santai menerusi sesi perbincangan bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan PERKESO untuk setiap episod.

“Program ini turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program RTW PERKESO, selain turut menyajikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan dan inisiatif terbaharu PERKESO kepada penonton.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, Program RTW PERKESO telah berjaya membantu memulihkan seramai 36,159 individu untuk kembali bekerja dengan selamat setelah mengalami hilang upaya fizikal atau mental akibat kemalangan atau serangan penyakit.

“PERKESO menerusi Program RTW juga telah berjaya menerbitkan tiga program realiti televisyen lain sebelum ini iaitu program Dahsyatnya PERKESO (2016), Inspirasi Harapan (2017) dan Bangkit #PERKESOPRIHATIN (2018),” jelasnya.

Program Luar Biasa disampai secara santai menerusi sesi perbincangan dengan tetamu jemputan.

Mohammed Azman juga menjelaskan, penerbitan program Luar Biasa itu adalah sempena sambutan Jubli Emas PERKESO pada tahun ini.

Katanya, program Luar Biasa merupakan salah satu usaha PERKESO untuk terus komited dan mencurah bakti kepada rakyat dengan mendekati golongan pekerja, majikan dan masyarakat menerusi perkongsian kisah benar kejayaan pencarum yang telah dibantu menerusi Program RTW PERKESO.

“Program ini turut memaparkan evolusi PERKESO sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan perlindungan keselamatan sosial kepada pencarumnya dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang ditawarkan PERKESO seperti skim perlindungan dan inisiatif yang mengutamakan kebajikan pencarumnya.

“Selain melibatkan rakaman video kisah peserta Program RTW PERKESO, program televisyen ini juga dijadikan sebagai platform bagi PERKESO menyalurkan maklumat tambahan kepada orang ramai mengenai skim-skim dan inisiatif perlindungan keselamatan sosial PERKESO.

“Pendekatan istimewa ini diharap dapat memudahkan orang ramai untuk memahami dengan lebih baik mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan PERKESO,” katanya apa yang dipapar dalam program itu selari dengan slogan, ‘PERKESO itu Prihatin, Prihatin itu PERKESO’.

Untuk program Luar Biasa, PERKESO menyasarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tontonan di kalangan rakyat Malaysia dan paling penting mereka menyedari serta memahami fungsi dan manfaat Program RTW PERKESO.

Program ini turut memperdengarkan lagu berjudul Luar Biasa dendangan Azmi Saat, vokalis kumpulan Caliph Buskers sebagai lagu tema.

Menariknya, lirik lagu tema ini menggarapkan ‘suara-suara’ peserta Program RTW PERKESO yang “luar biasa” dalam mendepani kesukaran dan kesengsaraan kehidupan setelah ditimpa musibah kemalangan atau penyakit, namun masih bersemangat untuk berjuang dan bangkit meneruskan kehidupan.

Ramai individu yang berjaya bangun semula selepas menyertai Program RTW PERKESO yang dikongsikan dalam Luar Biasa.

Lagu ini juga menzahirkan semangat dan komitmen seluruh warga PERKESO khususnya Pengurus Kes di bawah Program RTW PERKESO dalam membantu pencarum yang ditimpa kemalangan atau penyakit untuk meneruskan kehidupan, menerusi slogan kata ‘We Care, We Manage’.

Versi penuh muzik video lagu tema ‘LUAR BIASA’ yang turut memaparkan beberapa wakil Pengurus Kes PERKESO ini boleh ditonton di saluran media sosial rasmi PERKESO seperti YouTube dan Facebook.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here