Siti Nordiana gembira diberi peluang menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama Cukup Derita Itu.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JIKA artis lain mengeluh kerana tidak ada projek semasa pandemik Covid-19, lain pula halnya dengan penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 37, kerana rezekinya mencurah-curah.

Ramadan lalu beliau tampil dengan album Zikir Ketuhanan dan sebelum itu Nana muncul dengan single Sekali Lagi, duet bersama Nubhan.

Selain itu, Nana turut menyifatkan dirinya bertuah apabila impian untuk mendendangkan lagu ciptaan Tam Spider akhirnya tercapai setelah lebih dua dekad berada dalam industri muzik tanah air.

“Sebenarnya sudah lama saya bercita-cita untuk bekerjasama dengan Tam Spider. Salah satu daripada impian saya sudah pun tertunai apabila dapat menyanyi lagu nukilan Tam.

“Saya percaya sentuhannya cukup istimewa seperti mana lagu Farahdhiya, Bertakhta Di Hati yang masih diminati sehingga kini. Secara jujur, saya akui Tam sememangnya seorang komposer yang teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu Cukup Derita Itu dengan emosi yang tepat,” katanya.

Siti Nordiana anggap rezeki dapat nyanyi lagu ciptaan Tam Spider.

Cukup Derita Itu, yang liriknya dihasilkan oleh Siti Rosmizah, merupakan runut bunyi drama (original soundtrack – OST) Cukup Derita Itu, arahan Along Kamaluddin yang bersiaran menerusi slot Samarinda, TV3, setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam sejak 6 Mei lalu.

Ini juga bukan kali pertama Nana mendendangkan lagu untuk runut bunyi drama, sebelum ini beliau pernah menyanyikan lagu Angkara untuk drama Angkara Cinta dan Sebenarnya bersama Alif Satar untuk drama Klik! Pengantin Musim Salju.

Biarpun mempunyai banyak pengalaman menyanyikan lagu runut bunyi, namun juara program Gegar Vaganza 2015 itu tetap melakukan ‘homework’ terlebih dulu iaitu dengan memahami jalan cerita sesebuah drama mahupun filem.

Menurut Nana, beliau perlu mengenali pelakon yang terbabit serta wajib menonton klip-klip daripada drama berkenaan. Cukup Derita Itu dibarisi oleh Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P. Ramlee dan Balkisyh Semundur Khan.

Merakam single biasa dan runut bunyi drama amat berbeza bagi Siti Nordiana.

“Penghayatan untuk menyanyikan lagu OST dan single biasa adalah berbeza. Untuk OST, saya perlu memahami terlebih dulu jalan cerita dan perlu mengetahui siapakah barisan pelakon yang terbabit. Selain itu, saya juga perlu menonton klip disediakan produksi supaya lebih faham plot yang ingin disampaikan.

“Bila sudah faham keseluruhan jalan cerita, barulah saya akan meletakkan diri sendiri untuk menghayati penderitaan watak itu. Kebetulan drama itu pula memang sarat dengan permainan emosi, jadi saya perlu menyuntik elemen sedih dan derita sewaktu proses rakaman berlangsung,” cerita Nana tentang persediaannya sebelum rakaman lagu Cukup Derita Itu.

Siti Nordiana bersyukur kerana diberi kepercayaan menyanyikan lagu Cukup Derita Itu untuk drama yang sedang ditayangkan di televisyen sekarang.

Jelasnya, merakam single biasa lebih mudah berbanding OST kerana beliau hanya perlu berimaginasi sama ada membayangkan kehidupan orang sekeliling atau pun mengaitkan dengan kisah sendiri jika kena dengan liriknya.

Nana berasa amat bertuah apabila menjadi pilihan penerbit, Siti Rosmizah Semail untuk mendendangkan lagu tersebut dan menganggap ia sebagai satu peluang untuk memastikan dirinya terus kekal relevan di hati peminat.

“Bukan semua penyanyi mendapat peluang untuk menyanyikan lagu OST. Semestinya saya merasa sangat bertuah apabila lagu itu dimainkan setiap hari dari Isnin hingga Khamis dan bakal bersiaran di kaca televisyen selama 40 episod.

“Saya melihat ia salah satu cara dan peluang untuk lagu itu diterima dan disukai pendengar kerana ia diputarkan hampir setiap hari,” kata Nana yang menjalani proses rakaman lagu itu sekitar dua jam saja.

Lagu Cukup Derita Itu dapat didengari menerusi semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music sejak 4 Mei lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here