Oleh AMREE AHMAD

RIYADH – Meskipun Palestin musnah akibat serangan rejim Zionis, kejayaan skuad negara kecil itu membenam Singapura 4-0 wajar dijadikan contoh kepada pasukan bola sepak lain.

Secara kebetulan, jirannya, Malaysia turut tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai.

Menurut laporan media, kemenangan bergaya Palestin mampu menundukkan Singapura dalam Kumpulan D di Stadium Raja Faisal di sini semalam malah tidak diduga banyak pihak.

Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mustahil kerana Palestin berada di posisi 104 dalam ranking terbaharu FIFA berbanding Singapura, sebuah negara maju namun di tangga ke-159.

Pusingan kelayakan dua piala berprestij masing-masing di peringkat global dan benua itu disambung semula selepas 18 bulan digantung ekoran kebimbangan serius wabak Covid-19.

Namun setiap perlawanan berlangsung dengan prosedur operasi standard ketat termasuk jumlah penonton terhad atau tiada langsung selain kuarantin dan ujian calitan para pemain.

Palestin mendahului separuh masa pertama dengan tiga gol, sekali gus mendorong ketua jurulatih Singapura Tatsuma Yoshida untuk membuat perubahan pada kesebelasan utama.

Beliau selepas perlawanan itu akur bahawa keputusan perit tersebut bukan seperti yang diharapkan dengan pemain dilihat cuba bertahan tetapi mereka kelihatan agak gementar.

“Sangat kecewa, mereka boleh buat lebih daripada itu, kami tidak tunjukkan potensi sebenar. Saya rasa jika beraksi baik, keputusan mungkin berbeza… Saya benar-benar mohon maaf.

“Saya rasa ia satu kekecewaan yang besar… Namun ia bukan salah (para pemain). Ia disebabkan oleh cara pengurusan saya dan puncanya salah diri saya sendiri,” kata Yoshida.

Tiga gol diraih Palestin dalam masa 10 minit termasuk dua tendangan penalti oleh Tamer Seyam dan Oday Dabbagh manakala Yaser Hamed menjaringkan gol keempat minit ke-90.

Kejayaan Palestin menyaksikan negara tersebut memintas Singapura untuk berada di tempat ketiga dalam Kumpulan D dari segi jumlah gol dijaringkan manakala Yaman kekal tercorot.

– Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here