GAMBAR: HillelNeuer melalui Twitter.

 

Oleh Zainal AS Rashid

HAMAS mengancam akan meneruskan serangan roket terhadap Israel jika negara Yahudi itu terus menyekat dana bantuan daripada Qatar yang sepatutnya disalurkan kepada Gaza selewat-lewatnya minggu depan.

Menurut akhbar Lubnan Al-Akhbar yang memetik seorang jurucakap kumpulan pejuang Hamas berkata, provokasi Israel terhadap penduduk miskin di Gaza yang sepatutnya menerima dana bantuan daripada Qatar akan meningkatkan lagi ketegangan di wilayah tersebut.

Pada Selasa lalu, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Timbalan Menteri Lolwah Al-Khater berkata negara itu akan memperuntukkan kira-kira AS$500 juta bagi membantu membina semula lebih daripada 45,000 rumah yang musnah di Gaza sepanjang 11 hari serangan udara dan meriam tentera Israel.

Portal berita Sputnik News berkata jumlah tersebut adalah tambahan kepada sejumlah AS$360 juta yang dijanjikan oleh kerajaan Doha pada Januari lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya dan Perumahan Gaza, Naji Sarhan kerugian berikutan konflik 11 hari itu dianggarkan lebih AS$150 juta.

Masalah yang dihadapi Gaza bukan sekadar disebabkan oleh konflik baru-baru ini, tetapi juga akibat daripada perang dengan Israel pada 2009 dan 2014, selain serangan-serangan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Keadaan sedemikian menjadi semakin rumit apabila Israel dan Mesir bertindak menyekat sebahagian besar import barangan ke wilayah tersebut hinggakan usaha pembangunan semula Gaza terus tidak menjadi kenyataan.

Sementara itu, pihak Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata serangan Israel ke atas Gaza hanya menyasarkan kumpulan pejuang Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam dan Jihad Islam Palestin yang dianggap oleh negara Yahudi itu sebagai ancaman.

Kebanyakan kematian yang berlaku di Gaza baru-baru ini membabitkan orang awam, dan bukannya anggota pejuang Hamas.

Namun demikian kebanyakan kematian yang berlaku di Gaza baru-baru ini membabitkan orang awam, dan bukannya anggota pejuang Hamas.

Menurut para pegawai Gaza hanya 80 daripada 254 penduduk Palestin yang terbunuh terdiri daripada pejuang Hamas.

Hamas yang telah melancarkan lebih 4,500 serangan roket terhadap Israel sepanjang konflik bulan lalu berkata ia adalah bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan kawasan penduduk Palestin di Timur Baitulmuqaddis yang diancam pengusiran oleh penjajah Yahudi.

Seramai 12 penduduk Israel terbunuh dalam serangan tersebut, walaupun sistem pertahanan ‘Iron Dome’ diaktifkan sepanjang waktu.

Setelah gencatan senjata diisytiharkan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar berkata kerajaan Gaza tidak akan menerima walaupun ‘se-sen’ bantuan daripada masyarakat antarabangsa, seperti mana pada masa-masa sebelum ini.

Beliau, bagaimana pun menyambut baik projek-projek yang diusahakan oleh pihak-pihak prihatin dari negara-negara Islam.

Sinwar berkata Gaza mempunyai dana kewangan mencukupi yang sebahagian besar disumbangkan oleh Iran, beberapa negara Arab dan individu bebas di serata dunia yang berdiri dalam solidariti dengan Palestin.

Komen Sinwar adalah susulan kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken ke markas pihak berkuasa Palestin (PNA) yang mentadbir wilayah Tebing Barat.

Hubungan antara PNA dengan Gaza sentiasa diselubungi ketegangan sejak Hamas menang dalam pilihan raya pada 2006.

Pada kunjungan itu Blinken yang telah menjanjikan bantuan ekonomi dan pembangunan bernilai AS$75 juta kepada pihak Palestin berkata bahawa bantuan tersebut tidak boleh dimanfaatkan untuk Hamas.

Sinwar menganggap apa yang dilakukan oleh Blinken itu sebagai muslihat untuk memanjangkan perpecahan dalam kalangan penduduk Palestin.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here