Oleh Fetty Rara

KRITIKAN pakar penyakit berjangkit Prof Dr Adeeba Kamarulzaman terhadap inisiatif sanitasi seluruh negara telah mendapat sokongan daripada para saintis kanan.

Akademi Perubatan Malaysia (AMM) berkata kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha mengekang Covid-19 bagi mengurangkan jumlah kes, selain melindungi hospital dan fasiliti penjagaan rapi sepanjang ‘lockdown’ dua minggu ini bagi membolehkan ‘golongan profesional penjagaan kesihatan kita bernafas lega dan berehat seketika’.

AMM merujuk kepada pihak Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang berkata bahawa tindakan sanitasi tempat awam hanya usaha sia-sia.

Menurut kenyataan CDC yang dikeluarkan pada Khamis (3 Jun) usaha menyembur bahan pencuci atau cecair pembasmi kuman di kawasan awam, seperti di siar kaki, jalan raya atau lain-lain tempat awam tidak perlu, tidak berkesan dan tidak disyorkan.

Akademi tersebut turut merujuk kepada amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa tindakan tersebut berbahaya kerana kimia yang digunakan, termasuk formaldehid dan bahan-bahan berasaskan klorin atau ammonia (quaternary ammonium) boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Menurut AMM lagi pihak Kementerian Kesihatan sepatutnya mengemas kini Garis Panduan Pembersihan dan Disinfeksi di Tempat Awam bagi mencerminkan  keadaan berkenaan.

Akademi itu menggesa supaya seluruh usaha kerajaan sebaliknya ditumpukan kepada pewujudan garis panduan pengudaraan di semua ruang dalaman.

Oleh yang demikian akademi itu menggesa supaya seluruh usaha kerajaan sebaliknya ditumpukan kepada pewujudan garis panduan pengudaraan di semua ruang dalaman berdasarkan bukti saintifik bahawa virus Covid-19 boleh dijangkiti melalui udara.

Selain itu, AAM berkata para menteri diharapkan supaya lebih berhati-hati dengan perbelanjaan negara bagi memperoleh hasil sebaik yang mungkin dengan cara berbelanja secara berhemah.

Usaha sanitasi seluruh negara itu juga dikritik oleh Dr Adeeba yang merupakan pengerusi pasukan petugas Covid-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) melalui tweet beliau pada 29 Mei lalu.

Inisiatif sanitasi itu telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin pada 30 Mei.

Dalam tweetnya Dr Adeeba berkata bahawa perbelanjaan bagi inisiatif itu seeloknya disalurkan kepada usaha menambah peralatan perlindungan petugas dan peralatan bantuan pernafasan, meter oksigen serta makanan untuk sukarelawan, antara lain.

Teguran beliau, bagaimana pun, telah mencetuskan reaksi beberapa pihak yang tampil mempertahankan Zuraida.

Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan berkata pada Jumaat (4 Jun) bahawa sejumlah 26,000 operasi sanitasi telah dijalankan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, dan ia akan diteruskan bagi mengekang jangkitan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here