Nadav Argaman
Susunan oleh Wartawan BebasNews

TINDAKAN Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya terbaharu, mengapi-apikan kebencian terhadap kerajaan campuran yang baharu dibentuk, bakal menyaksikan Israel berdepan dengan keganasan politik.
Netanyahu yang dilihat sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasanya sebelum ini, mendakwa bahawa kerajaan campuran itu akan menyebabkan kewujudan Israel akan terancam.

Beliau tidak ubah mengambil sikap biar ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’. Sikap yang biasa terdapat dalam kebanyakan ahli politik di mana-mana sahaja di dunia termasuk di Malaysia. Kepentingan diri didahulukan.

Berikutan itu, Ketua Perisikan Israel Shin Bet, Nadav Argaman dalam satu perkembangan terbaharu yang jarang-jarang berlaku telah memberikan amaran tentang meningkatnya hasutan dan ucapan kebencian di media sosial, dan bahaya bakal berlaku keganasan politik.

Kenyataan berkenaan dikhuatiri disalah tafsirkan antara kumpulan atau individu tertentu di Israel sebagai membenarkan perbuatan ganas dan menyalahi undang-undang dan bahkan boleh membahayakan sesiapa sahaja yang dibenci.

Keadaan politik negara Yahudi ini sememangnya dijangka menjadi semakin panas apabila kerajaan campuran yang terdiri daripada lapan parti yang bersatu untuk menjatuhkan Netanyahu dari parti Likud dijangka mendapat sokongan dalam Parlimen Israel untuk mentadbir negara Yahudi itu.

Lapan parti berkenaan yang mewakili spektrum politik yang luas adalah Yamina, New Hope dan Yisrael Beytenu, Yesh Atid dan Blue and White, Labor dan Meretz, dan sebuah parti Islam konservatif parti Ra’am.

Kegilaan Netanyahu untuk kembali berkuasa jelas sekali kelihatan apabila dia sebenarnya pernah cuba ‘memikat’ sokongan, Mansour Abbas, pemimpin parti Ra’am, sebuah parti Arab yang kali pertama dalam sejarah Israel memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan. Namun, usaha Perdana Menteri Israel yang juga bekas komando menemui kegagalan dan membawa kepada pembentukan kerajaan campuran lapan buah parti.

Penentangan Netanyahu kini disahut oleh sesetengah ketua-ketua agama Yahudi yang bimbang tentang masa depan Israel telah menyiarkan surat-surat terbuka supaya para penyokong melakukan apa sahaja untuk memastikan perubahan dalam kerajaan tidak berlaku atau dapat digagalkan.

Hasutan politik, dan khususnya penggunaan istilah “pengkhianat,” yang dilemparkan oleh kumpulan pelampau Yahudi boleh mengulangi semula peristiwa pembunuhan Perdana Menteri Yitzhak Rabin pada tahun 1995 oleh seorang radikal berhaluan kanan Yigal Amir yang menentang proses damai dan perjanjian Oslo dengan pihak Palestin.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here