TAAT Alias (duduk, tengah) bersama rakan-rakan sepak takraw sekitar 1980-an. - Foto Saifullizam

BUKAN sekadar sebagai jurulatih mahupun pengarah teknikal sepak takraw, Allahyarham Taat Alias juga memiliki bakat serba boleh sebagai pengusaha restoran, peniaga, pengarah dan pelakon filem serta anggota tentera.

Masyarakat penggiat sepak takraw Malaysia dan empat jiran Asia Tenggara seperti Filipina, Brunei, Singapura dan Vietnam (wanita) sudah mengenalinya sejak 1981 hingga awal alaf baharu.

Namun mungkin hanya segelintir yang tahu sebelum menceburi arena sepak takraw,
Ben Taat Alias (gelarannya) pernah menjadi juruukur (surveyor) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lahad Datu, Sabah

“Tugasnya dengan bahagian kejuruteraan ATM berkaitan dengan pembinaan jambatan dan jalan. Ketika itu menurut ibu saya, Noraini Hamed, bilangan juruukur ATM di sana tidak begitu ramai, hanya ada dua tiga orang.

“Dalam empat atau lima tahun, arwah ayah saya berhenti daripada perkhidmatan tentera untuk menjalankan perniagaan dengan datuk saya.

“Kami sekeluarga berhijrah ke Manila, Filipina apabila beliau menuntut dalam jurusan jurusan pembikinan filem di Universiti Ateneo de Manila, Filipina pada 1980 seterusnya menjadi jurulatih sepak takraw pasukan negara itu.

“Saya baru berusia lima tahun ketika itu,” kata anak keduanya, Saifullizam Taat, 46, kepada BebasNews, hari ini.

TAAT (tengah) dan dua rakan karibnya. – Foto Saifullizam

Taat, anak jati Panchor, Muar, Johor dijemput Ilahi kira-kira pukul 11 malam pada 30 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana penyakit radang paru-paru pada usia 74 tahun.

Allahyarham yang dilahirkan pada 19 April 1947 sebelum itu juga menghidap sindrom Parkinson sejak 15 tahun lalu dan sedikit strok (angin ahmar) yang menyebabkannya sukar menelan makanan dengan normal.

“Kalau Hari Raya, arwah ayah memang menggemari lontong dan sate. Dalam minggu kedua Aidilfitri baru-baru ini, arwah dimasukkan ke HKL dan doktor kata, ada jangkitan.

“Kami sekeluarga tidak boleh menziarahinya kerana PKP (Perintah Kawalan Pergeraka) dan Covid-19 dan hanya mendapat diberitahu perkembangannya oleh doktor di sana.

“Kakak saya, Hartini, 50, dan adik saya, Nurul Ain, 41, masing-masing menetap di Sabah dan Jakarta, Indonesia juga tidak dapat pulang termasuk ketika Allahyarham di hospital,” kata Saifullizam di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Selain seorang balu, Noraini berusia 73 tahun dan tiga anak, Taat turut meninggalkan sembilan cucu dan bekas isteri warganegara Vietnam, Phan Pong Linh serta dua anak perempuan mereka.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, pagi 31 Mei lalu.

“Di Manila, saya agak fasih bertutur bahasa Tagalog, begitu juga ayah namun ketika mengusahakan sebuah restoran dengan bekas isteri keduanya di Hanoi, Vietnam, arwah hanya memahami bahasa negara itu namun sukar menutur balas.

“Sambil belajar jurusan filem, ayah pernah menjadi pengarah dan pelakon filem berjudul
‘Tao Mundok’ (Orang Bukit). Saya sempat menontonnya di pawagam di Manila. Ada satu lagi filem dibikinnya tetapi saya tidak ingat tajuknya,” katanya.

Mengenai sepak takraw, Allahyarham Taat ujar Saifullizam, hanya akan bercerita kepada anak-anaknya hanya jika ditanya dan ditunjukkan gambar-gambar lama dalam album kenangan keluarga.

“Dia buka Restoran Nisa di Hanoi dengan isteri warga sana, Pong Linh tetapi apabila sakit Parkinson makin menyerangnya, kedai itu terpaksa dijual.

“Berita pemergian dan majlis pengebumian Allahyarham sempat kami sampaikan kepada bekas isterinya menerusi panggilan video,” katanya.

Sementara itu, bekas jurulatih dan perejam Singapura, Salleh Nanang masih terkenang jasa Allahyarham kepadanya kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu ketika dia membawa pasukan Sekolah Menengah Changkat Changi mengunjungi Hanoi selama empat hari.

“Arwahlah yang menguruskan makan minum dan pengangkutan kami di sana. Saya, tiga guru dan 15 pemain mengadakan lawatan sambil latihan bersama serta perlawanan persahabatan dengan skuad wanita kebangsaan Vietnam.

“Ramai orang Malaysia datang makan di restorannya. Antara sajian dalam menu restoran itu ialah makanan Melayu dan Vietnam termasuk ikan masak tiga rasa,” kata Salleh yang kali terakhir melatih pasukan kebangsaan Singapura pada Mac 2020.

TAAT (depan, dua dari kiri) membimbing pasukan kebangsaan Brunei (jersi kuning) dalam satu kejohanan antarabangsa. – Foto FB Taat

Taat dianggap antara hanya segelintir kecil jurulatih Malaysia yang berani dan berjaya mencurahkan ilmu, idea, kepakaran dan pengalaman sepak takraw di luar negara. Beliau juga ialah bekas Pengarah Teknikal Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses).

Lain-lain jurulatih Malaysia yang pernah merantau ke seberang laut ialah Haris Abdul Rahman (Singapura, Korea Selatan dan Iran), Ismail Atan (Brunei), Rauzan Masri (Korea Selatan) dan Allahyarham Azmi Shaari (Indonesia).

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) merangkap Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader berkata, “Taat cukup dihormati sebagai pakar kejurulatihan di rantau Asia Tenggara.

“Dua tahun dia menabur bakti bersama Perses ketika saya sebagai Setiausaha Agungnya dan Penolong Setiausaha Astaf (1980-an). Ramai juga jurulatih sepak takraw peringkat sekolah dan kelab Singapura yang lahir dengan idea dan sistem latihan dan kejurulatihannya.

“Jasanya juga pasti dikenang oleh bekas-bekas pemain negara-negara yang pernah dibimbingnya. Istaf juga berhasrat menyampaikan kepada warisnya, sebuah anugerah kecemerlangan sebagai mengenang jasa dan pencapaiannya,” katanya.

TAAT (belakang, tiga dari kiri) di depan Restoran Nisa di Hanoi bersama guru dan pemain Sekolah Changkat Changi Singapura. – Foto Salleh Nanang
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here