Oleh Ahmad Abd Hamid

SEORANG saudara penulis yang telah selesai mengambil dua dos suntikan vaksin di sebuah kampung di Perak memberitahu, ramai penduduk kampung tidak mahu mengambil suntikan tersebut walau pun peluang sudah ada di hadapan mata.

Puncanya kerana mereka terpengaruh dengan pelbagai kempen anti vaksin yang disebar melalui cakap mulut ke mulut atau yang mereka dengar sendiri daripada kelompok tertentu atau media sosial. Pelbagai dakwaan negatif dan cerita tidak berasas mengenai vaksin ini menakutkan mereka.

Vaksin digambarkan sebagai memudaratkan penerima dan ini diterima oleh mereka yang mudah percaya tanpa merujuk kepada sumber sahih. Mereka yang membawa cerita ke sana sini itu pun bukan tahu atau ada kepakaran mengenai vaksin.

Hanya dakwaan kesan buruk ditonjolkan dan ditanam dalam minda orang ramai sementara kesan baik disembunyikan. Sebab sebenar negara melaksanakan program imunisasi kebangsaan sebagai pelindung diri daripada serangan Covid-19 tidak diperincikan. Matlamat mereka semata-mata hendak mempengaruhi serta menghalang orang ramai mengambil vaksin.

Barang kali kerana mudah terpengaruh dengan kempen negatif tidak berasas inilah ramai penerima gagal menghadirkan diri di pusat pemberian vaksin (PPV) pada tarikh temu janji ditetapkan.

Antaranya di Kedah seramai 10,827; di Kelantan 10,000; Perak 9,000; Negeri Sembilan 6,200; Melaka 3,612 dan Perlis 3,000 orang. Mereka mensia-siakan peluang yang diberi sedangkan ramai yang masih menunggu giliran untuk divaksinasi belum mendapat temu janji.

Kempen negatif tidak berasas inilah menyebabkan ramai penerima gagal menghadirkan diri di pusat pemberian vaksin (PPV) pada tarikh temu janji ditetapkan.

Keadaan ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana ia menggugat program imunisasi kebangsaan. Ia boleh membantutkan usaha mengekang penularan Covid-19, melandaikan kelok pandemik serta menurunkan jumlah kes baharu dan angka kematian.

Perbuatan golongan anti vaksin ini boleh dianggap sebagai sabotaj kepada negara dan mesti dikekang. Bukan sahaja kegiatan tidak bertanggung jawab ini perlu dihentikan, mereka yang terlibat dengan kempen tersebut juga wajar diambil tindakan tegas.

Justeru amaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada golongan anti vaksin ini amat tepat. Beliau mengingatkan, golongan ini berisiko menghadapi tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Malah pakar undang-undang mencadangkan kerajaan menggubal ordinan baharu bagi mengenakan hukuman lebih berat, termasuk sehingga 25 tahun penjara berbanding tidak lebih setahun jika didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kerajaan sedang mengkaji mengenai perkara ini. Namun ia adalah peringatan kepada golongan anti vaksin supaya menghentikan perbuatan mereka yang akan hanya merencatkan program imunisasi kebangsaan.

Kempen anti vaksin boleh menyebabkan berlaku kelewatan dalam program vaksinasi yang seterusnya menyebabkan negara menghadapi pandemik Covid-19 berpanjangan. Ini sama sekali tidak boleh dibenarkan berlaku.

Sehingga ini difahamkan, hampir 13 juta orang telah mendaftar untuk divaksinasi dan ia hanyalah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang patut berdaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Jika kempen anti vaksin dibenarkan bermaharaja lela, jumlah pendaftaran dikhuatiri tidak dapat mencapai matlamat ditetapkan.

Satu alternatif yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini ialah melaksanakan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok. Jangan sampai sebahagian penduduk disuntik sementara sebahagian lagi tidak kerana ia boleh memberi kesan kepada kesejahteraan seluruh rakyat.

Oleh itu orang ramai segeralah mendaftar jika masih belum berbuat demikian. Hadirkan diri apabila sudah mendapat temu janji. Jangan terpengaruh dengan kempen anti vaksin kerana akhirnya diri sendirilah yang akan menanggung akibat jika tidak divaksin.  Vaksin adalah usaha dan ikhtiar, selebihnya serah kepada Allah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here