Foto Unsplash/Siti Rahmanah Mat Daud
Oleh Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

Ramadhan ibarat tetamu yang bertandang dan pasti akan pulang. Semasa bulan Ramadhan, umat Islam seluruh dunia bergembira dan menyambut kehadirannya dengan persediaan yang rapi. Malah, sepanjang bulan yang mulia ini, ditingkatkan segala amal ibadat kerana menghormati kemuliannya bagaikan menatang minyak yang penuh.

Bukan perkara yang luar biasa kerana itulah sebenarnya sunnah para ulamak terdahulu yang menunggu kehadiran Ramadhan sebagaimana riwayat daripada Mu’alla ibn al-Fadhl dalam kitab Al-Targhib wa al-Tarhib: “Mereka (salaf) berdoa kepada Allah SWT enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan agar disampaikan mereka ke bulan Ramadhan.

Sebagaimana mereka juga berdoa enam bulan selepas perginya Ramadhan agar Allah SWT menerima amalan mereka sepanjang Ramadhan yang berlalu”. Begitulah betapa rindunya para ulamak salaf kepada bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Seolah-olah setahun penuh sebenarnya mereka hidup dengan Ramadhan.

Ramadhan ialah bulan pesta ibadat. Kini, Ramadhan bakal meninggalkan kita. Adakah segala usaha dan kesungguhan kita beramal ibadat sepanjang Ramadhan akan terhenti dengan berakhirnya Ramadhan? Pastinya tidak. Allah SWT berfirman: “Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu al-yaqin (kematian).”. [Al-Hijr, ayat 99] Amal ibadat kita sepanjang bulan Ramadhan yang utama ialah ibadat solat dan puasa.

Kita telah berpuasa selama sebulan dengan cemerlang. Kita juga telah berusaha menunaikan solat farhu dan solat-solat sunat sepanjang hari dengan cemerlang; dengan berjemaah dan solat di awal waktu. Di samping kita memenuhkan waktu malam dengan qiyam iaitu solat terawih dan membanyakkan solat-solat sunat yang lain. Dua ibadat asas ini tidak sesekali boleh diabaikan walaupun berakhirnya bulan Ramadhan.

Allah SWT berfirman (tentang Nabi Musa) a.s: “Dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”. [Maryam, ayat 31] Bermakna ibadat solat secara khususnya mestilah terus dijaga sepanjang masa. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT berkenaan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat ialah orang mukmin yang menjaga (khusyuk) solatnya.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia”. [Al-Mukminun, ayat 1-3] Sepanjang bulan Ramadhan, kita bukan sahaja berpuasa perut daripada makan dan minum pada siang hari sahaja, tetapi juga menjaga seluruh anggota daripada melakukakan perkara yang menyebabkan dosa. Keadaan yang ideal ini juga mestilah diteruskan selepas Ramadhan walaupun dengan kapasiti yang berbeza.

Nabi SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah yang berterusan walaupun sedikit”. [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim] Oleh itu, hendaklah kita berazam untuk istiqamah dengan amalan dan cara hidup kita yang terbaik semasa bulan Ramadhan ini agar berjaya meraih taqwa yang menjadi hikmah utama disyariatkan ibadat puasa.

Diriwayatkan daripada Hasan al-Basri (rahimahullah): “Wahai kaum! Teruskan istiqamah (amalan). Demi Allah, bukan seorang mukmin sejati seseorang yang beramal sebulan atau dua bulan sahaja. Atau beramal setahun atau dua tahun sahaja. Demi Allah, tidak sekali-kali. Sesungguhnya Allah SWT tidak menetapkan bagi seseorang itu tempoh beramal sehinggalah dia mati”. [Riwayat Ahmad]

Jelas daripada sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat serta ulamak terdahulu bahawa mereka sangat mementingkan istiqamah dalam beribadat. Sebagai tanda rindu mereka kepada Ramadhan, mereka meneruskan amal ibadat seperti biasa pada bulan-bulan yang lain sepanjang tahun. Malah, akan digantikan amalan jika tertinggal atau terkurang.

Saidatina Aisyah (r.a) menceritakan: “Rasulullah SAW apabila melaksanakan satu-satu amalan baginda melaziminya (istiqamah). Sehinggakan apabila baginda tidur (kurang ibadat) pada waktu malam atau ditimpa sakit, maka baginda akan solat (gantikan) pada waktu siang hari sebanyak 12 rekaat”. [Riwayat Al-Bukhari]

Lebih tegas lagi, Rasulullah SAW pernah mengingatkan: “Wahai hamba Allah, janganlah menjadi seperti seseorang (si fulan). Dia asalnya mendirikan solat malam (suatu ketika) kemudian dia meninggalkannya (berhenti)”. [Riwayat Muslim]

Sebagai tanda sayang dan rindu kita kepada bulan Ramadhan, teruskanlah amal ibadat kita. Sepanjang Ramadhan kita telah menjaga segala perintah Allah SWT yang fardhu dan wajib terutamanya ibadat solat dan puasa.

Malah, banyak amal ibadat sunat yang kita tunaikan seperti membaca al-Quran, bersedekah, membatu orang yang memerlukan dan menjauhi segala laranganNya. Di samping kita berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan menjauhi segala perkara yang berdosa. Patutkah semua itu ditinggalkan apabila berlalunya Ramadhan.

Sangat hinalah kita di sisi Allah SWT jika bertindak sedemikian. Sebagaimana ulamak salaf mengatakan: “Seburuk-buruk kaum ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak Allah (kewajipan) kecuali pada bulan Ramadhan sahaja”. Manakala pada bulan Syawal kita telah cuba istiqamah dengan amal ibadat kita sebagaimana pada bulan Ramadhan. Antara yang paling besar ialah dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal. Oleh itu, sebagai penerusan kepada ibadat ini maka dijanjikan pahasa seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Teruskanlah amal ibadat kita sebagai bukti cinta dan rindu kita kepada bulan Ramadhan; bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan penyelamat daripada api Neraka. Bulan yang menyediakan seluasnya peluang untuk meraih Syurga. Teruskan solat, puasa, membaca al-Quran, bersedekah dan berbuat baik selamanya.

Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang telah menyempurnakan amalan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Sesungguhnya puasa enam hari dalam bulan Syawal ini umpama solat rawatib kepada solat fardhu. Ianya menyempurnakan kekurangan kita semasa menunaikan ibadat puasa Ramadhan.

Ulamak salaf pernah berkata: “Tanda kebaikan (hasanah) yang kita buat ialah kebaikan yang kita susuli kemudiannya”. Ingat juga pesan mereka: “Puasalah sepanjang hidup kamu. Dan jadikanlah penyudahnya (hari raya) ialah hari matimu”. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita pada Ramadhan yang telah berlalu dan pada bulan Syawal yang beransur pergi meninggalkan kita.

– BebasNews

Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh merupakan Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here