SAHAK Md. Yasin (kiri) bersama Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin.

APIT kanan handalan sepak takraw Malaysia dalam era 70-an, Allahyarham Sahak Md. Yasin telah meninggal dunia di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak, Kuala Lumpur selepas lebih sebulan bertarung nyawa dengan Covid-19.

Pak Sahak (gelarannya), pemain yang mencipta teknik adangan kaki (blocking) sepak takraw selain memenangi tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 73 tahun, kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor bersama-sama isterinya, Rokiah Basir pada 26 April lalu dan mereka disahkan positif Covid-19, dua hari kemudian.
Isterinya yang berusia 67 tahun walau bagaimanapun telah pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 12 Mei lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak (dua lelaki dan dua perempuan), 14 cucu dan lima cicit namun anak lelaki bongsunya telah meninggal dunia, tahun lalu
Sahak dilahirkan pada 7 September 1947 di Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan.
Beliau pada 31 Mei lalu, dipindahkan ke Hospital UiTM, Puncak Alam namun masih menerima bantuan mesin oksigen bagi melancarkan pernafasannya.

Menantunya, Zaki Ab. Rahman berkata, “jenazahnya akan dibawa ke Kampung Nuri pada hari ini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan kampung itu pada pukul 10 malam ini.

“Kepada semua yang mengenali Allahyarham, semoga segala salah dan silapnya dimaafkan dan makan minumnya dihalalkan,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp hari ini.
Dalam satu klip video WhatsApp semalam kata Zaki, keadaan bapa mertuanya begitu nazak dan mereka sekeluarga telah berbincang dengan doktor untuk membawanya balik ke rumah.

SAHAK Md. Yasin (depan, tiga dari kiri) bersama skuad Malaysia, pemenang pingat emas Sukan SEAP Bangkok 1975. – Foto infotakraw.com

Sahak mengalungkan Malaysia dengan tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA Singapura 1973, Bangkok 1975 dan Kuala Lumpur 1977 selain membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari beberapa kali.

Bekas anggota Kor Risik Diraja ATM kelahiran Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan inilah yang memperkenalkan gaya blocking terhadap rejaman lawan yang tidak lagi mudah dan bebas menjamah gelanggang pada 1971.

SAHAK Md. Yasin terkenal dengan libasan cangkuk selain memperkenalkan adangan kaki depan jaring sebagai kaedah baharu bertahan.

Kemahiran berani dan inovasinya itu berjaya mencipta permainan sepak takraw menjadi rali, berentak menyerang dan bertahan yang lebih rancak, terbuka dan semakin berdaya saing.

Sahak juga merupakan antara 12 anggota skuad negara bimbingan Kamaruzaman Kassim yang menumpaskan Thailand 2-1 untuk memastikan pingat emas – satu-satunya kejayaan yang dicapai Malaysia dalam Sukan SEAP/SEA di bumi lawan, Bangkok pada 1975.

Mereka turut diperkasa oleh Abu Bakar Mohd. Johan, Jamaludin Osman, Mohamad Jusri Rick, Abdul Jalil Aziz, Faozi Ayob, Idris Baba, Mohamad Noor Abdullah, Mohd. Azmi Harun, Abdul Razak Osman, Wahab Isahak dan Sulaiman Ibrahim.
Sahak bergandingan dengan tekong, Razak dan apit kiri atau pengumpan, Jamaludin, menewaskan Sujin Kewasvorn, Vichai Tangorn dan Suwat Jungmongkol 15-10, 12-15, 15-11 dalam perlawanan lebih sejam untuk meraih mata kemenangan regu pertama.
“Dia memang hebat dengan libasan cangkuk yang tepat tanpa menoleh ke belakang. Letakan (placing) bolanya juga tepat ke sasaran,” kata bekas Setiausaha Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff.
Tiga lagi Sukan SEAP/SEA apabila Thailand menjadi tuan rumah di Bangkok 1967 dan 1985 serta Chiang Mai 1995 menyaksikan hanya pingat perak yang mampu dibawa pulang Malaysia akibat kalah kepada musuh tradisi itu.

Thailand turut bermaharajalela membolot dua pingat emas ketika Sukan Asia Bangkok 1998 setelah dua kali berturut-turut dikecewakan Malaysia di Beijing 1990 dan Hiroshima 1994.
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pula memboikot sepak takraw Sukan SEA Korat (Thailand) 2007 – kali pertama dalam sejarah temasya serantau dwitahunan itu setelah negara kita yang memperkenalkannya dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

SAHAK Md. Yasin (kiri) dan Rokiah Basir.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here