Foto Instagram Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Rayuan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan pertuduhan kes rasuah projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta pengubahan wang haram akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 September ini.

Menurut Peguam Azeez, Joshua Tay, tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes secara dalam talian di hadapan timbalan pendaftar Mohd Khairi Haron hari ini manakala penghujahan bertulis perlu difailkan pada atau sebelum 20 Ogos, lapor FMT.

Pada 12 Mac lalu, hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Azeez untuk membatalkan semua 13 pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Hakim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat Azeez secara menyeluruh dan pertuduhan itu tidak cacat.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai hampir RM140 juta.

Abang Azeez, Abdul Latif, yang pada awalnya dituduh bersubahat dengannya atas dua pertuduhan memperoleh rasuah RM4 juta, yang merupakan sebahagian daripada RM5.2 juta yang didakwa diterima, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut bulan lalu.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here