Shamsul Shah Sulaiman dan isterinya menunjukkan produk yang dipasarkan.
Oleh Dzul Aziz

BIAR pun tanpa sebarang pengalaman berniaga, Shamsul Shah Sulaiman terjun ke dalam dunia keusahawanan apabila kilang tempatnya mencari rezeki ditutup kira-kira 10 tahun lalu.

Bermula secara kecil-kecilan, dengan hanya gerai murtabak di tepi jalan di Wangsa Melawati pada tahun 2012 berbekalkan duit pampasan berhenti kerja, beliau memasang impian untuk mengembangkan perniagaan murtabak yang diwarisi dari keluarganya di utara tanah air itu suatu hari nanti.

Dengan semangat yang tinggi dan berbekalkan modal sebanyak RM90,000 yang berjaya dikumpul sedikit demi sedikit, anak jati Pulau Pinang ini membuka syarikat sendiri, Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd.

Beliau amat bertuah kerana dibantu isteri, Atika Ramli dan sama-sama membangunkan perniagaan itu hingga mampu bertahan selama sembilan tahun hingga ke hari ini.

Lebih membanggakan, setakat ini, Tishas Food Manufacturing telah mengeluarkan lebih 40 produk di bawah jenama Tishas , yang mementingkan kualiti dan produk yang senang disediakan oleh semua peringkat umur.

Kini, syarikat melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi, menghasilkan produk rendah karbohidrat yang disasarkan menjadi produk pilihan no 1 peminat roti prata di Malaysia dikenali sebagai Tishas Low Carb.

Malah, Tishas Food turut bekerjasama dengan dua jenama terkenal iaitu Dapur Kak Kek dan Asianketo untuk projek Tishas Low Carb ini.

Siapa sangka bermula dengan menjual murtabak di gerai tepi jalan akhirnya Shamsul Shah mampu memiliki syarikat sendiri yang mengeluarkan 40 jenis produk.

Dapur Kak Kek diusahakan oleh pelakon terkenal Catriona Ros dan Asianketo di terajui oleh Puan Roslina, bekas pesakit kanser dan pengamal makanan rendah karbohidrat dan keto lebih dari 8 tahun.

Keunikan rasa lauk-pauk menggunakan rempah dan resepi asli cita rasa ASEAN dari Dapur Kak Kek dan keprihatinan Asianketo dalam penyediaan makanan yang sihat , tanpa gula dan menggunakan bahan asli menjadikan pek Tishas Low Carb berkualiti tinggi, sedap dan mula disukai ramai.

Shamsul menaruh harapan tinggi terhadap produk yang baru dilancarkan akan membuka satu lagi peluang perniagaan kepada mereka yang mementingkan pengambilan makanan sihat sambil membantu menjana pendapatan tambahan kepada orang ramai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan semula.

Beliau ingin berkongsi kelebihan produk Tishas Low Carb yang menyasarkan rakyat Malaysia yang mengutamakan makanan sihat. Produk makanan ini amat sesuai untuk pesakit diabetik atau kencing manis, kanser dan obesiti serta pengamal diet sihat.

“Kami mahu Tishas Low Carb ini bukan sahaja menjadi satu pilihan makanan tetapi peluang perniagaan kepada mana-mana individu yang terjejas akibat pandemik ini.

“Di sini kami memberi mereka peluang untuk mula berniaga sebagai ejen jualan Tishas dengan modal permulaan sebanyak RM50 sahaja,” katanya.

Shamsul yang merupakan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd. berkata, produk itu mampu memberi margin keuntungan antara 16 hingga 25 peratus kepada mereka yang menjadi ejen dan juga stokis.

Shamsul Shah menerangkan operasi syarikat kepada tokoh korporat terkenal Tun Daim Zainuddin.

Bagi memudahkan ejen dan juga pelanggan, laman web Tishas menyediakan kemudahan e-dagang untuk mereka membuat pembelian terus daripada sistem yang disediakan.

Setelah pelanggan selesai membuat urusan pembelian, back end Tishas akan menghantar pesanan itu kepada stokis atau ejen mengikut lokasi pelanggan.

Melalui Central Management System (CMS) di myshop, tishasfood.com.my pula memudahkan ejen dan stokis menguruskan perniagaan dengan lebih tersusun dan ia disediakan secara percuma.

Sistem ini juga menyediakan kemudahan untuk membuat tempahan, menguruskan stok, invois, pembayaran, pesanan penghantaran dan point of sales (POS).

“Pendek kata, kami menyediakan semua kemudahan yang lengkap bagi mereka yang berminat memulakan perniagaan dengan Tishas.

“Matlamat kami, selain menawarkan produk halal dalam pasaran, kami juga mengalu-alukan mereka yang terjejas akibat pandemik ini, suri rumah dan juga yang berminat menambah pendapatan, untuk menyertai rangkaian ejen jualan kami di seluruh negara,” tambahnya.

Setakat ini, produk jenama Tishas sudah memasuki pasar raya besar mahupun kecil seperti Giant, Mydin, Jusco, Lulu, Sogo, Village Grocer, B.I.G, ST Rosyam Mart, Sri Ternak, OTK, PDM dan pelbagai kedai Halal Mart seperti Azzain, Dr Zainur, Barakah, Lesong, Ramly Mart dan secara dalam talian seperti di Shopee, Jocom, Go Shop dan Lazada.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Dzul Aziz di talian 012-237 6139.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here