Johan Pelissier

KUALA LUMPUR: Airbus dan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah memeterai perjanjian untuk mengadakan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat tentera di Malaysia.

Kerjasama itu yang akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dijangka akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab serantau.

Ketua Asia Pasifik Airbus Defence and Space, Johan Pelissier berkata, pihaknya akan mengukuhkan kehadirannya dalam industri tempatan melalui penyampaian penyelesaian yang merangkumi MRO bagi pesawat tentera berkipas dan pesawat tentera bersayap kekal, sekali gus memberi kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kerjasama Airbus dengan BHIC melalui program latihan juruterbang dan MRO helikopter tentera sebelum ini telah menunjukkan kejayaan, lantaran itu kami teruja untuk mengukuhkan lagi hubungan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BHIC.

Pelissier berkata, Malaysia adalah pasaran utama kumpulan selain menjadi pusat pembekalan terbesar Airbus di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kerjasama yang baru dimeterai itu merupakan bukti komitmen Airbus untuk menyumbangkan kepada usaha Malaysia membangunkan rangkaian nilai aeroangkasa yang mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf, berkata sektor aeroangkasa ketika ini menjadi segmen pertumbuhan utama kumpulan di masa hadapan, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, BHIC akan memperluaskan jaringannya dalam sektor ini dengan memperkukuhkan lagi jangkauan pasaran serta memanfaatkan kemudahan dan kepakaran MRO sedia ada.

“Airbus dan BHIC sudah lama menjadi rakan kerjasama yang menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia.

“Melalui usaha sama MRO helikopter, BHIC Aerospace Services membekalkan perkhidmatan penyelengaraan bagi pengendali helikopter tentera.

“Manakala, kerjasama Airbus Helicopters Malaysia Simulation Centre yang berpangkalan di Subang pula menempatkan satu-satunya simulator latihan bagi helikopter H225 dan H225M di rantau ini, serta simulator kedua bagi latihan helikopter AS365 Dauphin,” tambah beliau lagi.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here