donation
Photo by Katt Yukawa on Unsplash
Oleh Wartawan BebasNews

KINI kecoh tentang tindakan kerajaan mahu ‘memotong’ sebahagian elaun kakitangan awam untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana, sekali pun mereka telah meninggal dunia. Mungkin selepas ini bakal muncul pepatah baharu – mendermalah sehingga ke liang lahad.

Jika hendak ikut buku (diikutkan peraturan) memanglah penjawat awam yang meninggal dunia masih berada dalam perkhidmatan dan perlu berbuat demikian tetapi kerajaan masih boleh menggunakan budi bicara.

Perlukah dikeluarkan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti dilaporkan FMT bahawa, “pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2021, pegawai (berkenaan) akan terlibat dalam pelaksanaan sumbangan ini kerana pegawai masih lagi berada dalam perkhidmatan” pada tarikh itu.

Ini bukan soal sedikit atau banyak potongan yang dibuat. Ini melibatkan nilai kemanusiaan?

Benar seperti yang dikatakan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin yang mempersoalkan keperluan JPA menggubal peraturan khusus untuk kakitangan awam yang meninggal dunia.

Peraturan itu mencerminkan seolah-olah JPA tidak prihatin.

“Apabila seseorang meninggal dunia, ahli keluarga tentunya dalam kesedihan. Jadi, untuk menafikan mereka sebahagian pendapatan orang yang sudah tiada, adalah sedikit kejam,” kata Abdul Rahman, lapor FMT.

Beginilah jadinya jika setiap peraturan dibuat tanpa berfikir semasak-masanya. Perkara sebegini bukan baharu tetapi menyesakkan dada dan juga menjadikan rakyat semakin berserabut terutamanya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Begitu halnya dengan banyak lagi peraturan yang dikenakan oleh kerajaan sebelum ini termasuk terbaharu arahan Majlis Keselamatan Negara supaya orang ramai tidak lagi didenda akibat gagal mengemas kini MySejahtera.

Perkara sama berlaku apabila MySejahtera diperkenalkan, aplikasi tersebut juga tidak mesra pengguna, sekali gus menyebabkan timbul kekecohan dan kemarahan orang ramai terutamanya golongan bukan celik IT.

Dalam bertindak termasuk menguatkan peraturan, perkara ini tidak boleh dibuat secara suka-suka, sekejap boleh dan sekejap tidak. Sekiranya ia penting dalam memastikan keselamatan umum, penjelasan perlu dibuat sejelas-jelasnya dan dilaksanakan sewajarnya.

Malang sekali, negara telah melalui PKP 4.0 tetapi pelaksanaannya masih lagi membingungkan rakyat. Berbakul-bakuk kemarahan yang diluarkan oleh mereka yang terkesan dengan tindakan yang umumkan kerana kehidupan mereka terjejas.

Banyak peraturan dibuat ibarat seperti mencuba-cuba dahulu. Jika rakyat marah barulah diubah atau dipinda. Kita bukan kekurangan orang yang cerdik pandai yang boleh memikirkan apa yang sewajarnya dilakukan.

Bukankah molek jika tindakan yang hendak dibuat dikaji dahulu secara mendalam dan melihat implikasinya secara menyeluruh terutamanya apabila melibatkan golongan bawahan dan bukan bertindak mengikut selera orang kayangan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here