Khairy Jamaluddin mempengerusikan secara bersama Mesyuarat CITF Johor dengan Datuk Hasni Mohammad di Kota Iskandar, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan akan mendapatkan bantuan golongan pesara doktor dan jururawat serta doktor pelatih atau penuntut perubatan bagi menambah bilangan petugas untuk membantu proses vaksinasi COVID-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penambahan petugas profesional amat diperlukan kerana lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksinasi dan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

“Itulah sebab utama saya ke beberapa negeri, termasuk Johor hari ini. Untuk memastikan pembukaan lebih banyak PPV berskala besar, sekali gus dapat mempertingkat pemberian vaksin dalam masa terdekat.

“Julai ini kita perlu memvaksin lebih 200,000 penerima sehari dan, Ogos ini sasarannya 300,000 penerima sehari,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 (CITF) Johor secara bersama dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, hari ini.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan sedang memanggil lebih banyak tenaga kerja membabitkan profesional perubatan, termasuk pesara doktor dan jururawat, doktor pelatih dan penuntut perubatan.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa kerajaan telah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini, iaitu bermula Julai, Ogos dan September ini.

“Kita juga sedang menunggu jadual ketibaan vaksin Sinovac, selain menanti penghantaran AstraZenecca berikutan beberapa perubahan,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here