KUALA LUMPUR-Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah baginda kepada seluruh keluarga legenda sepak takraw negara, Sahak Md. Yassim yang telah kembali ke Rahmatullah semalam.

Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Yang di-Pertuan Agong dalam entri Facebook Istana Negara.

Sahak yang merupakan anak kelahiran Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan pernah mewakili negara dalam Sukan SEAP, Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai.

Allahyarham merupakan bekas anggota tentera, beraksi sebagai apit kanan dalam skuad negara dan mewakili juga pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam era kegemilangannya bermula dari tahun 1971 hingga 1979, Allahyarham merupakan legenda sepak takraw negara yang digeruni regu Thailand.

Beliau pernah dilantik sebagai perunding Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) pada tahun lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here