lockdown sanitizer mask
Image by Klaus Hausmann from Pixabay
Oleh Muhammad Ammar Harith Idris

SEJAK kebelakangan ini, penularan wabak Covid-19 di Malaysia berada pada suatu tahap yang semakin membimbangkan. Laporan-laporan terkini mencatatkan jumlah kes harian mencecah sehingga 6,000 hingga 7,000 dalam sehari. Manakala bilangan kematian pula telah melonjak kepada tiga angka dalam sehari. Hal ini ditambah pula dengan kemasukan varian-varian luar negara yang semakin mengganas ketika ini.

Walau bagaimanapun, di sebalik kerisauan tersebut, masih terdapat segelintir pihak yang tetap berdegil mengabaikan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Dalam konteks pelaksanaan ibadah umat Islam ketika PKP, kehadiran yang dibenarkan adalah tertakluk sepenuhnya kepada SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Bahkan, di sesetengah lokasi yang kritikal, masjid dan surau terpaksa ditutup buat sementara waktu. Namun demikian, berdasarkan kejadian yang pernah dilaporkan sebelum ini, tindakan beberapa orang jemaah yang menyelinap masuk ke dalam surau untuk menunaikan solat terawih dalam keadaan gelap gelita dan tanpa penjarakan fizikal telah mencetuskan kluster jangkitan yang baharu. Disebabkan oleh sifat tidak bertanggungjwab sebegini, akhirnya seluruh mukim berkenaan terpaksa menanggung akibatnya.

Rentetan senario itu, salah faham terhadap tatacara beribadah di musim wabak ini dilihat menjadi salah satu faktor terhadap berleluasanya mudarat wabak bagi sesebuah tempat. Sedangkan ibadah sepatutnya membentuk keperibadian mukmin yang sentiasa mentaati perintah Allah, Rasulullah dan ulil amri seterusnya mencegah kemudaratan.

Justeru, ia menimbulkan persoalan berhubung sikap beribadah dalam kalangan masyarakat sehingga sanggup mengabaikan aspek kesihatan diri serta tanggungjawab sesama manusia. Adakah sikap sedemikian bertepatan dengan konsep warak menurut Islam?

Warak berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud menahan diri. Imam al-Jurjani mendefinisikan warak sebagai menjauhi perkara-perkara yang syubhah kerana ditakuti ia akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam perkara yang haram.

Antara dalil yang menyentuh berkenaan sifat warak ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.”
(Riwayat Tirmizi, 1205)

Selain itu, sarjana agung Islam seperti Imam al-Ghazali turut menghuraikan maksud warak secara terperinci. Dalam magnum opus beliau Ihya’ ‘Ulumuddin, al-Ghazali telah mengklasifikasikan warak kepada beberapa bentuk.

Antaranya adalah memelihara diri daripada perkara-perkara yang telah diharamkan menerusi fatwa para fuqaha’ (al-‘udul), mencegah diri daripada perkara-perkara syubhah yang boleh membawa kepada haram (al-salihin), menjauhi perkara-perkara harus yang boleh jatuh kepada haram (al-muttaqin) dan mengelakkan diri daripada sebarang perkara yang boleh menjejaskan niat untuk bertaqwa kepada Allah (al-siddiqin). Pembahagian oleh al-Ghazali ini secara tidak langsung menjadi garis panduan dalam memahami konsep warak menurut syarak.

Sementara itu, Imam al-‘Izz bin Abdus Salam dalam kitabnya, Qawa’id al-Kubra pula mewujudkan persamaan di antara warak dengan konsep al-ihtiyat (berhati-hati).

Jelas beliau, warak merupakan satu pendekatan berhati-hati dengan cara menjauhkan diri daripada perkara yang syubhah dan berpindah kepada perkara yang lebih selamat, iaitu tidak mendatangkan keraguan. Dalam maksud yang lain, warak juga adalah suatu langkah mengelakkan diri daripada mafsadah yang boleh membinasakan diri sendiri dan orang lain.

Oleh itu, warak yang sepatutnya difahami dalam konteks ibadah di musim pandemik ini merujuk kepada sifat komited individu dalam melaksanakan ibadah dengan cara meraikan norma baharu serta ketetapan semasa yang diputuskan oleh ulil amri.

Sifat warak seharusnya berperanan membantu dalam memutuskan rantaian wabak. Sebaliknya, ia bukanlah faktor penyumbang kepada kemunculan kluster-kluster baharu, pertambahan kes positif dan angka kematian.

Sehubungan itu, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan dalam konteks ibadah di musim wabak ini adalah seperti:

1) Merujuk pandangan Mufti

Dalam konteks pandemik Covid-19 ini, pelaksanaan ibadah ketika ini perlu disesuaikan mengikut norma baharu demi mencegah kemudaratan wabak. Para Mufti dan institusi fatwa merupakan entiti yang memiliki autoriti dalam memberikan bimbingan hukum terutamanya berkaitan soal ibadah umat Islam.

Bagi situasi di Malaysia, fatwa-fatwa khusus mengenai ibadah sepanjang tempoh PKP telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dan Mufti di setiap negeri. Proses mengeluarkan fatwa ini melalui jalur keilmuan yang absah seperti melakukan penyelidikan secara terperinci serta perbincangan yang lumat.

Tambahan pula, Imam al-Ghazali sendiri telah menggariskan salah satu ciri warak adalah mereka yang menjauhi perkara-perkara yang telah difatwakan haram oleh para Mufti.
Dalam era IR 4.0 ini, masyarakat lebih terdedah kepada data dan informasi menerusi rangkaian sistem siber-fizikal (CPS).

Secara amnya, setiap individu memiliki peranti-peranti pintar yang dibantu dengan kecanggihan teknologi 5G, Internet pelbagai perkara (IoT) dan lain-lain. Penjelasan mengenai fatwa dan hukum boleh diakses sepenuhnya di laman web jabatan mufti di negeri masing-masing. Saranan untuk merujuk kepada golongan yang alim telah dinyatakan menerusi firman Allah SWT:
“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.” Surah al-Nahl (43)

Dengan itu, penghayatan nilai warak ini dapat dizahirkan menerusi kepatuhan terhadap fatwa-fatwa semasa sekaligus membantu dalam usaha memutuskan rantaian wabak. Pada masa yang sama, ia juga sebagai jalan selamat dan mengelakkan diri daripada risiko melanggar SOP. Selaras dengan kaedah fiqh, “al-Khuruj minal Khilaf Mustahab” yang bererti keluar daripada perselisihan itu adalah digalakkan.

2) Mematuhi SOP

Sejak setahun yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dalam membendung penularan Covid-19. Dari aspek ibadah, pihak berkuasa agama di negeri masing-masing bertanggungjawab dalam menyediakan aturan-aturan kepada umat Islam untuk melaksanakan kewajipan mereka berdasarkan situasi semasa.

Meskipun kebenaran menghadiri masjid diberikan pada bilangan tertentu, namun ia juga tetap terikat dengan SOP seperti mendaftarkan kehadiran, menggunakan mesin pengimbas MySejahtera, menyukat suhu, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan sebagainya.
Kesemuanya ini bertujuan memberikan ruang kepada umat Islam untuk merasai kemanisan beribadah di rumah Allah walaupun berada dalam suasana yang amat mencabar.

Dengan itu, individu yang warak sudah pasti berusaha sedaya upaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan demi meraih pahala ibadah di masjid dan surau. Mereka juga memahami bahawa kegagalan mematuhi SOP bakal menyebabkan diri mereka serta ahli keluarga berisiko untuk menerima jangkitan. Pendekatan berhati-hati ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh “Dar’ al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih” iaitu menolak mafsadah itu adalah lebih utama berbanding mencapai maslahah.

3) Jujur

Sikap bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadah merupakan salah satu sikap yang terpuji. Pada masa yang sama, ia juga sepatutnya membentuk keperibadian diri yang amanah dan jujur dalam pelbagai perkara. Dalam konteks kepatuhan terhadap SOP sepanjang tempoh PKP, kelihatannya masih terdapat sebilangan ahli jemaah yang tidak jujur. Sesetengah daripada mereka tidak memaklumkan bahawa diri mereka merupakan kontak rapat kepada pesakit positif yang lain ataupun mengalami gejala-gejala tertentu.

Akhirnya, niat baik mereka itu telah menyebabkan orang lain ditimpa kesusahan. Ibarat pepatah Melayu: “hanya kerana nila setitik, habis rosak susu belanga”. Perkara ini jelas bertentangan dengan perintah syarak yang melarang sama sekali menyebabkan mudarat kepada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak boleh menyebabkan mudarat dan tidak boleh memudaratkan orang lain.”
(Riwayat Ibn Majah, 2341)
Oleh itu, orang yang benar-benar warak juga adalah mereka yang sentiasa jujur dalam pelbagai perkara. Mereka tidak tergamak untuk menipu orang lain walaupun dalam perkara-perkara kebaikan. Selain itu, mereka juga sentiasa berterus terang demi memastikan orang di sekeliling tidak mengalami kesusahan disebabkan oleh mereka.

Kesimpulannya, sifat warak dalam beribadah merupakan salah satu sifat yang terpuji di dalam Islam. Ia bukan sahaja meningkatkan ketakwaan seseorang itu kepada Allah SWT, malah turut memelihara hubungannya sesama manusia yang lain. Namun begitu, terdapat piawaian-piawaian yang perlu dipatuhi bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan bertepatan dengan kehendak syarak.

Terutamanya dalam mendepani cabaran pandemik ketika ini, sifat warak dalam ibadah yang sebenar berperanan menyelamatkan diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat sekaligus mencegah penularan wabak dengan lebih efektif.
Wallahua’lam. – BebasNews

Muhammad Ammar Harith Idris

Muhammad Ammar Harith Idris merupakan Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here