minyak masak
Oleh Sarfarizmal Saad

MAJORITI rakyat di negara kita telah diarahkan duduk dalam rumah kerana kita mahu landaikan keluk penularan Covid-19. Benarlah apabila kurang perkumpulan ramai orang, maka sukarlah virus maut hendak menular.

Namun arahan ini telah menyebabkan ramai rakyat negara kita yang hilang pendapatan atau semakin berkurang. Ini menyebabkan ramai yang kesempitan hidup.

Bagai ‘sudah terjatuh, ditimpa tangga’. Tinjauan yang dibuat oleh rakan-rakan media di beberapa lokasi sekitar Selangor baru-baru ini mendapati harga minyak masak 5kg ketika ini dijual pada harga RM28.90 hingga 34.50.

Harga itu meningkat lebih RM5 setiap botol berbanding RM23.90 hingga RM27.90 pada Ramadan lalu.

Kenaikan harga tersebut lebih tinggi berbanding tahun 2016 iaitu semasa pelaksanaan GST. Malah peluang bagi penyeludupan amat terhad setelah sempadan negara telah ditutup ketat akibat pandemik Covid-19.

KPDNHEP telah memberi jawapan balas terhadap isu ini. Kata mereka, kerajaan tidak tetapkan atau kawal harga minyak masak dalam botol kerana ia bukan minyak masak bersubsidi.

Yang bersubsidi hanyalah dalam pek polibeg dan sebab itulah kerajaan hanya menetapkan harganya pada 1kg iaitu RM2.50.

Harga minyak sawit mentah ditentukan oleh pasaran dunia, ada turun dan ada masanya naik. Pada masa ini harga di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,300 metrik tan (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,500 metrik tan sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.30 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.

Walaupun sebenarnya kualiti minyak sawit bersubsidi dalam pek polibeg 1kg adalah sama dengan minyak sawit dalam botol, namun tindakan KPDNHEP tidak memberikan subsidi minyak dalam botol tidak wajar kerana bukan golongan B40 yang berdepan kesempitan hidup.

Kini, minyak masak dalam botol 3kg atau RM5 kg kini bukan lagi barang keperluan mewah terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai selain mengelak perlu berulang kali keluar rumah untuk membelinya.

Ketika kita berdepan dengan perintah darurat sebegini, tidak wajar menyukarkan rakyat untuk mendapatkan keperluan asas ini.

Jika ia berterusan begini, rakyat juga akan membuat ‘panic buying’ untuk minyak masak polibeg (bersubsidi) kerana harganya lebih ‘menang membeli’. Akibatnya tidak berlaku keseimbangan dalam pasaran untuk stok bersubsidi dengan tidak bersubsidi.

Adakah KPDNHEP mahu melihat mereka yang terlewat ke pasar atau kedai runcit terpaksa membeli minyak masak tanpa subsidi walaupun mereka dikategorikan sebagai rakyat B40?

Manakala mereka yang berpeluang pergi awal ke pasar atau kedai runcit berjaya memborong minyak masak bersubsidi dengan harga murah, walaupun mereka golongan T20 yang menaiki Porshee, BMW dan Merc untuk ke pasar dan kedai runcit?

Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu ini, maka kerajaan terpaksa berdepan dengan suatu ‘pandemik’ kemarahan dan kebencian rakyat yang sukar untuk dibendung.

Berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu keputusan, kerana isu yang melibatkan perut rakyat ini tidak boleh diambil mudah. Jangan diganggu singa yang tidur dalam kelaparan, kita mungkin tidak tertanggung bahananya nanti.

– Bebasnews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here