GELAGAT Cendana yang melayani anaknya di tepi tasik Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor selepas seminggu dilahirkan. – Gambar ihsan Perhilitan

PUTRAJAYA: Seekor anak badak air yang dilahirkan di Paya Indah Wetlands (PIW) pada akhir bulan lalu, kini dilatih untuk menyesuaikan diri hidup di sekitar kawasan terbuka di situ.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), anak badak air itu malahan gigih diajar oleh sang ibunya sendiri yang hanya dikenali sebagai Cendana.

“Kedua-dua anak dan ibu ini dilepaskan ke tasik PIW sejak 31 Mei lalu dengan pemantauan Perhilitan setelah seminggu berada dalam kurungan,” kata agensi itu menerusi kenyataan.

Anak badak air itu dilahirkan pada 24 Mei lalu di PIW berkenaan yang terletak di Kilometer 4, Jalan Dengkil, Banting, Selangor dekat sini dengan merekodkan berat mencecah 40 kilogram.

Perhilitan melalui hantaran dalam akaun sosial Facebook berkata, badak kecil itu yang belum lagi diberi sebarang nama, merupakan anak pasangan Cendana (betina) dan Baby (jantan).

“Kami mendapati ibu badak air tersebut begitu tekun mengajar anaknya untuk berlatih makan, bergerak dan berenang serta kemahiran penyesuaian diri dengan persekitaran,” katanya.

Agensi berkenaan memaklumkan bahawa, Cendana merupakan ibu kepada seekor lagi badak air dengan jantina betina yang bernama Lily dan ketika ini sudah genap berusia 10 tahun.

Beberapa foto yang menunjukkan gelagat anak badak air itu dengan Cendana turut disiarkan Perhilitan dan meraih respons positif warganet apabila menerima hampir 6,000 tanda suka.

Bagaimanapun pengunjung tidak dapat menyaksikan kedua-dua haiwan itu kerana PIW yang diuruskan Perhilitan ditutup kepada awam susulan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun.

Badak air saiz kecil yang berasal dari Afrika itu dilindungi undang-undang negara ini di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana dianggap antara haiwan terancam serius.

Binatang ini juga termasuk dalam senarai merah Kesatuan Konservasi Alam Antarabangsa (IUCN) berpusat di Britain kerana populasinya semakin berkurangan akibat aktiviti manusia.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here