Foto FB Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Nama bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menjadi trending di Twitter apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim mencadangkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Mohd. Zaid membuat saranan tersebut dalam ciapan di Twitter hari ini berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memanggil beberapa pemimpin politik untuk menghadap baginda secara berasingan bagi membincangkan hal ehwal semasa negara.

Mohd. Zaid menyatakan, walaupun perbincangan Yang di-Pertuan Agong itu tertumpu kepada proklamasi darurat, namun negara memerlukan seorang Perdana Menteri Interim bagi menerajui negara buat sementara waktu pada waktu ini.

Sehingga jam 1.40 petang tadi, nama Ku Li terus trending sehingga 1,486 ulang ciap dan terus meningkat, manakala ciapan Mohd Zaid mendapat lebih 258 tanda suka serta 250 ulang ciap daripada netizen.

Rata-rata pengguna Twitter pula memberi pandangan masing-masing yang bersifat pro dan kontra berhubung cadangan tersebut.

Di sebalik spekulasi sejak awal minggu ini, sehingga kini Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal menerajui kepimpinan negara dan tiada ura-ura yang menandakan beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pagi tadi, Perdana Menteri dilaporkan menghadap Al-Sultan Abdullah selama satu jam di Istana Negara untuk membincangkan mesyuarat Pra-Kabinet.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadap baginda selepas itu mengesahkan beliau mengemukakan rayuan penamatan proklamasi darurat kepada Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan di Istana Negara dan bukannya pertukaran kerajaan.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here