Filem arahan Khir Rahman ini walaupun komedi tapi terselit sindiran.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SELEPAS 10 tahun tidak mengarah filem, kini Khir Rahman atau Khairulizam Abdul Rahman, 48, kembali sebagai pengarah menerusi filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK.

Filem arahan Khir sebelum ini adalah Balada Pencinta (2013) dan … Dalam Botol (2011), terbitan Raja Azmi Raja Sulaiman.

Kali ini Khir memilih karya bergenre komedi satira yang berkisar tentang nilai hidup berkomuniti dalam masyarakat majmuk.

Filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK itu boleh ditonton terus dari Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480, bermula 10 Jun 2021.

Khir yang pernah muncul sebagai juara Muzikal Lawak Superstar musim pertama, pada 2019 bersama anggota kumpulan JBorn iaitu Joey Daud dan Vicha masih mengekalkan hubungan baiknya dengan anggota kumpulan tersebut.

Filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK papar kehidupan penduduk flat.

Untuk filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK, Khir memberi watak utama kepada Joey iaitu Nordin.

“Meskipun filem ini bergenre komedi tapi di sebalik komedi itu ada satiranya. Menerusi filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK, saya cuba tampilkan jalan cerita yang santai tapi ada pengisian.

“Menerusi naskhah ini saya cuba mengangkat tentang nilai hidup berkomuniti dan ada pengajaran yang cuba disampaikan, antaranya mengingatkan kesedaran tentang hidup dalam masyarakat majmuk dan mengambil berat tentang jiran tetangga.

“Dalam situasi sekarang, bila hidup bermasyarakat, kita hendaklah bertegur sapa dengan jiran tetangga dan membantu antara satu sama lain agar tiada yang rasa keseorangan.

Khir Rahman sedang menjelaskan sesuatu kepada kru sewaktu di set penggambaran Arwah Pak Mat, Lif & AJK.

“Saya harap, kehadiran filem ini mampu menarik perhatian penonton untuk terus kekal d irumah dan menikmati hiburan filem ini bersama keluarga mahupun orang terdekat,” katanya penuh harapan.

Tambah Khir, menerusi filem ini, penonton bakal menyaksikan sisi berbeza Joey yang terkenal dengan karakter komedinya selama ini. Untuk watak Nordin, Joey berlakon sebagai seorang yang serius.

Selain Joey, filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd., itu turut menampilkan pelakon Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid, Anas Ridzuan, Man Raja Lawak, Sathia, Douglas Lim, Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, Shiela Mambo dan Wafariena.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ketika kerajaan mengumumkan total lockdown sejak 1 Jun lalu, ramai yang menghabiskan masa di rumah.

Katanya, apabila ‘terkurung’ dalam tempoh dua minggu, apa yang diinginkan oleh penonton adalah filem yang mampu menghilangkan stres seketika.

“Dalam situasi negara sekarang ini, penonton banyak menghabiskan masa di rumah dan kami yakin mereka inginkan filem yang mampu membuatkan mereka keluar seketika dari tekanan dan berhibur serta ketawa bersama keluarga mahupun teman.

“Memahami kehendak penonton, kami terus memainkan peranan membawakan filem dengan pelbagai genre dan salah satunya adalah jalan cerita yang santai dengan menyelitkan elemen komedi untuk tontonan.

“Bukan itu sahaja, malah kami di Astro Shaw juga sentiasa berusaha menyediakan dan mengetengahkan bakat-bakat kreatif tempatan untuk ditonjolkan. Kali ini kami bawakan karya Khir Rahman untuk dipersembahkan kepada umum. Kami berharap kelainan dan sentuhan beliau yang tersendiri itu mampu memberikan kepuasan berbeza kepada penonton,” ujarnya.

Filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK ini mengisahkan tentang Nordin, seorang pekerja kilang yang menjaga bapanya dan tinggal bersama di flat Seri US di tingkat 25.

Apabila penduduk flat sedang meriah melangsungkan pemilihan presiden dan AJK yang menyebabkan berlakunya perebutan kuasa antara Pak Mat Tahir dan Syamsul serta ahli lain.

Wafariena sebagai Ayu dalam filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK yang boleh ditonton menerusi Astro First mulai 10 Jun 2021.

Namun berlaku kejadian yang tidak diingini, bapa Nordin telah meninggal dunia secara mengejut di rumah ketika majlis pemilihan sedang berlangsung.

Keadaan bertambah kecoh selepas lif di rumah pangsa mereka turut rosak dan perlu mengambil masa yang lama untuk dibaiki. Pelbagai halangan dan cabaran perlu ditempuh oleh Nordin dalam membawa turun jenazah bapanya.

Dengan bantuan penduduk flat jenazah bapa Nordin dibawa turun menggunakan tangga. Walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan namun semua itu berjaya diatasi kerana hidup berkomuniti menyatukan mereka semua.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here