PUTRAJAYA – Penduduk Lembah Klang yang pernah merasai buah kristal mungkin akan teruja jika dapat membeli sendiri buah ini dengan kelazatannya tidak dapat digambarkan.

Justeru, bagi memenuhi permintaan peminat buah ini yang juga disebut sebagai matoa, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawanya masuk dari Sarawak.

Menurut kenyataan agensi itu di sini semalam, buah itu akan ditawarkan secara serentak pada Jumaat ini di Pasar Tani Borong Selayang dan Pusat Operasi FAMA di Selayang, Selangor.

“Selain itu, buah ini yang cukup popular di Sarawak dan banyak ditanam di negeri tersebut, turut bakal dijual di MyFarm Outlet FAMA di Presint 7, Putrajaya mulai pukul 8 pagi,” katanya.

Buah nadir ini yang turut terkenal digelar sebagai buah tiga rasa kerana memiliki gabungan rasa durian, laici dan rambutan, akan dijual oleh agensi itu dengan harga RM18 sekilogram.

FAMA menerusi kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada setiap pembelian dihadkan kuantiti tertentu namun memberi bayangan bahawa ia dijual sehingga stoknya habis.

Juga disebut buah kasai, ia sebenarnya amat digemari penduduk Indonesia selain beberapa negara beriklim tropika kerana rasanya enak dan unik dengan 11 khasiat baik untuk tubuh.

Pokok buah ini atau nama saintifiknya, Pometia pinnata, banyak tumbuh liar di tepi sungai rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik dengan ketinggian yang boleh mencecah 30 meter.

Spesies pohon kayu keras besar ini mempunyai daun berbentuk pinnate dan buahnya hanya berukuran panjang empat sentimeter dengan isinya jernih seperti longan atau mata kucing.

Uniknya, pokok kristal akan mula matang selepas tiga tahun ditanam dengan buahnya itu berwarna merah gelap apabila masak namun kulitnya keras dan perlu diketuk untuk dikupas.

Jika ditanam secara komersial, pokoknya rendang dan hanya tinggi 18 meter supaya buahnya yang lebat seperti kurma itu mudah dipetik dengan menggunakan tangga atau galah panjang.

Pakar nutrisi ada menyarakan buah ini elok dimakan kerana kandungannya penuh vitamin A dan E yang mencegah penuaan sel dan meningkatkan aliran darah serta kulit menjadi cerah.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here