Oleh Yusoff Ahmad Shariff

TINDAKAN penceramah motivasi Prof Datuk Dr Muhaya Muhammad menawarkan beberapa petua melalui video kepada wanita belum berkahwin untuk menarik pasangan hidup telah menerima kecaman hebat dalam media sosial.

Video sepanjang 30 saat yang telah dipadamkan dan sebelum ini dimuat naik ke media sosial memberi petua sedemikian kerana kononnya lelaki lebih suka kepada wanita yang ‘tidak bijak’.

Cadangan beliau yang juga pakar oftalmologi agar wanita belum berkahwin supaya  jangan terlalu bercita-cita tinggi dan sebaliknya buat ‘bodoh-bodoh’ demi untuk mendapatkan pasangan hidup itu turut dikecam oleh beberapa tokoh wanita Malaysia.

Antara pengkritik beliau termasuk doktor bedah Malaysia berpangkalan di London, Dr Amalina Che Bakri yang berkata bahawa pandangan Dr Muhaya memberikan isyarat salah kepada wanita muda.

Dalam tweet pada Rabu (9 Jun) Dr Amalina yang baharu berkahwin itu berkata ibu beliau sendiri tidak pernah menyentuh tentang keperluan untuk berbuat bodoh bagi memudahkan mencari teman hidup.

Pakar Kesihatan Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang turut memuat naik komen ke Twitter berkata beliau tidak tahu apa lagi hendak dikatakan setelah mendengar nasihat tersebut daripada Dr Muhaya.

Beliau yang merupakan profesor dalam bidang penyakit berjangkit di Universiti Malaya dan juga ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan supaya Dr Muhaya disampaikan beberapa bahan bacaan tentang mengapa wanita dan anak-anak perempuan merupakan kunci kepada transformasi dan perkembangan ekonomi, antara lain.

Sementara itu, ada juga pihak yang mempertahankan Dr Muhaya dengan berkata bahawa apa yang diungkapkannya telah difahami di luar konteks dan sekadar kiasan.

Dr Amalina Nudin berkata sesiapa yang telah lama mengikuti Dr Muhaya memahami beliau, dan ada kemungkinan beliau telah menggunakan istilah yang tidak tepat untuk menyampaikan maksudnya.

Dr Muhaya masih belum memberi respons kepada kontroversi berkenaan, dan telah menyahaktifkan bahagian komen laman Instagram beliau.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here