KESEBELASAN utama Harimau Malaya mungkin dirombak untuk berdepan 'Naga Emas' Vietnam. - Foto FAM

VIETNAM menampilkan barisan pemain yang sudah dihimpun hampir empat tahun lalu yang pastinya sudah cukup matang dan serasi bersama sedangkan Malaysia dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G ini?

Naga Emas kekal dengan tonggak pasukan yang pernah mara ke Kejohanan Bawah 23 AFC dan keempat terbaik Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, juara Piala AFF 2018, suku akhir Piala Asia 2019 dan pingat emas Sukan SEA Filipina 2019.

Koleksi kejayaan pasukan belia atau senior Vietnam kendalian Park Hang-seo, warga Korea Selatan ini begitu jauh untuk ditandingi ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

TAN Cheng Hoe (tengah) menagih semangat kerja sepasukan tinggi daripada anak-anak buahnya, lebih baik dari ketika menentang UAE. – Foto FAM

Empat pertemuan pasukan senior sejak 2018 turut tidak menyebelahi skuad negara yang sekadar mengikat 2-2 dalam final pertama Piala AFF 2018 manakala yang terakhir dimenangi skuad Park 1-0 pada 10 Oktober 2019 di Hanoi.

Harimau Malaya pula hanya menerima kehadiran dua pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi pada Mac dan Mei lalu, bek kacukan Belgium, Dion Cools tiga hari sebelum dibelasah Amiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0, 3 Jun lalu.

KEDUDUKAN MATA KUMPULAN G PUSINGAN KEDUA KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023

Ada dua tiga pemain berpangkalan seberang laut pun macam Dominic Tan, Junior Eldstal dan Luqman Hakim Shamsudin lebih suka diperapkan Cheng Hoe ke bangku simpanan walaupun ketika dikalahkan Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0 dalam siri dua perlawanan pemanas badan, 23 dan 28 Mei lalu.

“Di bawah Park sebagai ketua jurulatih, inilah kumpulan pemain yang sama dalam kejohanan-kejohanan itu. Pasti mereka sudah cukup serasi dan bersefahaman serta punya kekuatan bermain sebagai satu unit.

“Saya dapat tahu ada tonggaknya ketika membelasah Indonesia 4-0, kelmarin yang digantung bagi perlawanan (menentang Malaysia di Stadium Rashid Maktoum Al Maktoum, Dubai, esok).

“Namun itu bukanlah satu-satunya kelemahan lawan sebab mereka ada barisan kedua atau ketiga untuk mengisi kekosongannya,” kata Cheng Hoe dalam sidang media secara maya dari Dubai, hari ini.

Beliau mengakui di atas kertas juga, kubu Naga Emas begitu kebal dan kental ketika ini apabila hanya dibolosi sekali sepanjang enam perlawanan sejak kelayakan 2019 sehingga menyulitkan anak-anak buahnya mencipta peluang mahupun menghasilkan gol.

Walau bagaimanapun pasukan negara katanya, akan bermain dengan kekuatan sendiri sambil barisan jurulatih masih cuba mencari penyelesaian terbaik pada kesebelasan utama dan gandingan pemain yang bakal dipertaruhkan.

GUILHERME de Paula (16) dikritik kerana aksi hambarnya menentang UAE, 3 Jun lalu. – Foto FAM

Tegas Cheng Hoe, dia tidak sesekali sudah putus harapan dengan de Paula sebagai pencari gol utama negara malah bekas warga Brazil masih diyakini mampu berbuat sesuatu di depan gawang Vietnam yang dijaga Bui Tan Truong.

“Dalam liga, dia sentiasa jadi penjaring utama mana-mana pasukan yang disertainya. Dengan pengalaman itu, saya yakin dia masih boleh buat sesuatu,” kata jurulatih kelahiran Kedah berusia 53 tahun ini.

De Paula, 34, hanya mampu menjaringkan satu gol ketika menentang Kuwait di Stadium The Sevens, Dubai namun dikecam hebat warganet gara-gara aksi hambar menentang UAE – penampilan sulung perlawanan sebenar antarabangsanya.

Kesebelasan kemungkinan Malaysia: Khairulazhan Khalid, Aidil Zafuan Abd. Radzak, Adam Nor Azlin, Dion Cools, La’Vere Corbin-Ong, Liridon Krasniqi, Syamer Kutty Abba, Brendan Gan, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here