Pekerja-pekerja SWM Environment yang terlibat menyelamatkan mangsa bot karam di Pantai Puteri. (Sumber gambar: Facebook YB Azman Hassan)

MELAKA- Keberanian tujuh orang pekerja pembersihan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyelamatkan dua mangsa bot karam dalam kejadian di Pantai Puteri, Rabu lalu (9 Jun 2021) merupakan sikap yang wajar dicontohi.

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong dalam kenyataannya di sini berkata, pihak syarikat amat berbangga dengan keberanian yang ditunjukkan pekerja-pekerjanya meskipun perlu berdepan risiko dan bahaya.

”Dalam kejadian tersebut, pekerja SWM Environment sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan mangsa yang hampir lemas. Nilai murni dan sikap berani yang ditunjukkan pekerja SWM Environment ini wajar dijadikan contoh dalam kalangan masyarakat.

”Tugas pekerja SWM Environment bukan sekadar memastikan kebersihan untuk keselesaan masyarakat awam, malah mereka juga digalakkan untuk menerapkan sikap prihatin dengan keadaan sekeliling dan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan. Syabas dan tahniah kepada semua pekerja SWM Environment yang bersusah payah dan bergadai nyawa menyelamatkan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dua orang nelayan hampir lemas apabila bot dinaiki mereka karam disebabkan angin kuat dan hujan lebat.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh pekerja-pekerja SWM Environment dan orang awam yang berada di lokasi kejadian. Video insiden tersebut turut tular di laman sosial.

Tangkap layar video yang tular di laman social menunjukkan pekerja-pekerja SWM Environment menyelamatkan mangsa bot karam di Pantai Puteri.

Sementara itu, salah seorang pekerja SWM Environment iaitu Zamri Mohd Don berkata, kejadian tersebut merupakan yang pertama seumpamanya berlaku sepanjang menjalankan tugas pembersihan di Pantai Puteri.

“Ketika itu, saya dan rakan-rakan sedang berteduh kerana hujan lebat sebelum dimaklumkan terdapat bot nelayan karam. Tanpa berlengah, kami terus berlari ke tempat kejadian untuk menyelamatkan dua nelayan yang sedang hanyut dilambung ombak.

“Dalam fikiran kami ketika itu hanya mahu memastikan mangsa selamat. Alhamdulillah, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Selain Zamri, enam orang pekerja SWM Environment lain yang terlibat menyelamatkan mangsa ialah Mohamad Azmi Yusop, Zulkefli Hamdan, Ridwan Rosli, Radiyah Mohd Noor, Juriyah Ibrahim dan Norfatihah.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang merakamkan penghargaan kepada pekerja-pekerja SWM Environment di laman sosial Facebooknya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here