GAMBAR: NSTP.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

DITEGAH balik berhari raya bersama keluarga, degil hendak balik juga. Tidak dapat kebenaran rentas daerah dan negeri, cuba juga balik guna laluan tikus. Itu pun jika lepas. Peduli apa, asal dapat berhari raya di kampung. Peduli apa jika perbuatan itu menyebabkan penularan pandemik Covid-19, menjadi penyebar atau dijangkiti, dan kemudian disebar pula kepada orang lain.

Tidak mengapa bersikap tamak atau selfish. Peduli apa jika kerana perbuatan tidak bertanggung jawab itu  kes jangkitan harian Covid-19 naik dan angka kematian juga meningkat. Belum kena pada diri sendiri atau keluarga, maka tidak perlu beringat atau berjaga. Sudah kena baru menangis tanpa irama.

Jika tidak percaya bahana ingkar arahan jangan balik berhari raya di kampung, hayatilah apa yang didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 60 kluster perayaan berpunca daripada sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai sehingga 9 Jun 2021.

Seronokkah melihat hasil tidak patuh arahan sehingga mewujudkan kluster Aidilfitri? Benar, wujud juga kluster Hari Gawai. Tetapi teliti angka yang diberikan oleh Dr. Noor Hisham. Daripada 60 kluster, sebanyak 58 membabitkan sambutan Aidilfitri.

Ini menjadikannya kluster perayaan tertinggi dibandingkan dengan hanya dua kes kluster Hari Gawai. Bukan bermaksud dua kes tidak mengapa. Itu juga tidak sewajarnya berlaku. Tetapi nisbah kluster Aidilfitri berbanding Hari Gawai sangat luas jaraknya.

Banggakah anda yang berseronok berhari raya setelah meneliti angka yang didedahkan oleh KMM? Sudahlah pada bulan puasa bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri menjadi medan berkumpul dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP), hari raya pula menjadi medan mewujudkan kluster.

Jumlah 60 kluster perayaan ini berlaku dalam tempuh singkat, iaitu antara 13 Mei hingga 10 Jun. Justeru tentunya ia sangat serius dan membimbangkan. Malah ada kemungkinan selepas rekod dikemas kini, jumlah kluster bertambah.

Seperti ditegaskan oleh Dr. Noor Hisham, jika orang ramai terus leka dan tidak mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku serta sibuk kunjung mengunjung dan rentas negeri ketika musim perayaan, kemungkinan besar peningkatan kes secara mendadak akan berulang di negara ini.

Sudah berulang kali diingatkan supaya duduk di rumah dan tidak keluar melainkan sangat perlu, tetapi masih seronok ke sana sini, malah balik kampung. Menjadi tanggung jawab semua melindungi golongan rentan (mudah dijangkiti), khususnya ibu bapa yang uzur di kampung dengan tidak mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19. Tetapi ini tidak dipedulikan.

Sudahlah berkumpul berhari raya, SOP pula tidak dipatuhi. Tidak memakai pelitup muka atau tidak menjaga penjarakan fizikal. Ada kes anak menantu berhari raya dan berpeluk cium dengan ibu tanpa menyedar diri sendiri positif. Akhirnya emak bapak juga dijangkiti.

Sudah letih mengingatkan agar mematuhi SOP, tetapi kerap diabaikan dan dipandang ringan. SOP dianggap bahan gurau senda. Walau pun kompaun dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP, ramai yang masih tidak patuh.

Kompaun sebenarnya lebih bersifat untuk mengajar dan mengingatkan orang ramai agar patuh SOP, bukan sangat untuk menghukum. Tetapi jika sudah terlalu degil, memang wajar hukuman dikenakan. Namun itu pun masih tidak menakutkan ramai orang. Agaknya punya terlalu banyak wang membayar denda.

Disuruh mengambil vaksin untuk perlindungan diri, ramai tidak peduli. Ada yang sudah mendapat temu janji tetapi tidak datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa alasan. Ini melibatkan beribu-ribu orang di beberapa negeri. Kenapakah sampai begini sikap kita?

Sehingga 10 Jun, angka kes baharu Covid-19 dicatatkan masih tinggi, iaitu 5,671 kes. Selangor kekal negeri tertinggi mencatatkan 1,510 kes baharu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sehingga 10 Jun ialah 639,562 kes, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 79,848 kes.

Pada 10 Jun, angka kematian harian ialah 73 kes dengan 911 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 462 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Angka-angka yang dipaparkan di sini bukan untuk menjadi perhiasan dinding, tetapi untuk menunjukkan betapa seriusnya ancaman Covid-19 di negara ini. Sementara pihak berkuasa berusaha berterusan untuk melandai keluk jangkitan serta menurunkan angka kematian, jagalah diri sendiri. Patuhi SOP, ambil suntikan vaksinasi. Insaflah. Jangan sudah kena baru beringat.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here