Oleh NAFSIAH JANI

LAIN orang lain caranya mengisi masa lapang mereka ditambah pula dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini. Begitu juga dengan Munif Hijjaz yang tidak mahu mensia-siakan masa yang terluang.

Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac 2020 menjadi pembuka jalan kepadanya untuk terus berkarya dalam saluran YouTubenya. Oleh kerana banyak masa dihabiskan di rumah, Munif Hijjaz atau nama sebenarnya, Munif Ahmad, 47,enggan duduk diam tanpa berbuat apa-apa.

Beliau ingin melihat sesuatu karya itu kekal menjadi miliknya dan dapat didengari oleh para peminat nasyid pelbagai generasi. Daripada situlah timbulnya idea penubuhan saluran YouTube Munif Hijjaz Channel dengan bantuan dan tunjuk ajar rakan artis, Amar.

“Daripada masa terbazir begitu sahaja, alangkah baiknya jika saya isi dengan sesuatu yang lebih produktif. Itu sebabnya saya memperbanyakkan kandungan di dalam saluran itu tanpa mengetepikan kualiti penerbitan lagu seperti yang pernah dilakukan sebelum itu.

“Sebelum ini, kandungan channel saya hanya diisi dengan lagu-lagu rakan artis lain yang dinyanyikan semula. Bila difikirkan semula kandungan sebegitu tidak boleh pergi jauh dan bertahan lama. Tambahan pula ia berkait dengan isu hak cipta muzik asal dan sebagainya. Jadi lebih baik saya hasilkan lagu sendiri dengan susunan muzik yang lebih segar bagi menarik peminat nasyid kembali tertarik untuk mengikuti irama ini,’’ kata Munif lagi.

Menyentuh mengenai kos penerbitan kandungan YouTubenya, Munif menambah,”Kos untuk menghasilkan sesebuah lagu itu boleh mencecah ribuan ringgit. Tidak termasuk jumlah yang perlu dibelanjakan untuk penghasilan video muzik. Ditambah pula saya bergerak sendirian tanpa syarikat rakaman.

“Saya cukup cerewet dan teliti dalam setiap penghasilan karya saya. Saya tak suka lagu yang dihasilkan itu sekadar tangkap muat atau asal ada. Ia mestilah diterbitkan mengikut kualiti penerbitan muzik profesional termasuklah dalam perihal pembikinan muzik video.

“Kos penerbitan lagu ini bukan sedikit. Tapi Alhamdulillah, ada rakan dan pihak yang sudi menaja setiap projek lagu baharu ini dan melihatkan kejayaan lagu sebelum ini, ada juga yang dengan rela hati sudi untuk menaja buat kali kedua. Sebagai balasan, logo syarikat atau perniagaan mereka ditampilkan di bahagian kredit pada penghujung video.”

Percubaan pertama Munif bermula pada September 2020 dengan menampilkan lagu ciptaannya ‘Sumayyah’ yang dinyanyikan semula dalam versi bahasa Arab dengan susunan muzik baharu (SUMAYYAH THE MATYR). Malah rakaman juga hanya dilakukan di rumah. Manakala video muziknya pula dirakam dengan hanya dengan menggunakan telefon bimbit.

“Berhari-hari juga saya ambil masa hanya untuk menyunting video tersebut menggunakan telefon bimbit. Namun ianya berbaloi kerana tontonannya kini telah mencecah lebih 120,000 di YouTube sejak dilancarkan tujuh bulan yang lalu.

“Atas maklum balas positif dan sokongan daripada rakan serta peminat, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Beberapa lagu lama saya beri suntikan baharu yang lebih segar seperti ‘Selimut Putih’ dan ‘Kau Guru Murabbi Sejati.’ Ternyata ia juga menampakkan hasil di mana lagu-lagu klasik ini turut mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan sehingga mencecah hampir 300,000 tontonan.” kata Munif bapa kepada lima cahaya mata ini yang sibuk dengan single terbarunya

Sambil melahirkan rasa syukur, Ujar Munif lagi, dia bertuah kerana dikelilingi rakan dan peminat yang sentiasa menyokongnya. Jika ada 100,000 yang menonton video muzik tersebut, maka 100,000 orang juga akan melihat logo tersebut. Jadi ini adalah situasi menang-menang bagi pihaknya dan mereka yang sudi menaja.

“Dengan pertambahan kandungan untuk saluran YouTube ini, saya harap lebih ramai lagi sudi melanggan saluran tersebut. Bukan sekadar tujuan untuk mendapat keuntungan hasil janaan monetisation di platform tersebut semata-mata.

“Sebaliknya biarlah ia menjadi saham saya di akhirat kelak dengan berdakwah melalui lagu seterusnya memartabat dan menaikkan semula industri nasyid. Seiring dengan moto saya sejak dahulu iaitu ‘Hiburan Mendidik Jiwa’.”

Tanpa meninggalkan kumpulan Hijjaz yang kini juga masih aktif berkarya, aktiviti solonya ini sekadar untuk mengisi ruang masa yang ada. Tambahan pula anggota yang lain juga terikat dengan komitmen masing-masing.

Selain aktif menyanyi, Munif juga sibuk dengan perniagaannya di bawah jenamanya sendiri iaitu Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd. yang aktif memasarkan produk seperti kopi, makanan tambahan, kurma dan banyak lagi, Produk ini bukan hanya dipasarkan di Malaysia, malah telah dieksport ke Brunei dan Singapura.

Munif kini bahagia bersama isterinya, Noridah Pono,41, serta lima cahaya mata iaitu Putra Aiman,21, Mohd Haikal Iman,19, Muhammad Naseem,16, Muhammad Rayyan,9,dan Putri Ellysha Sumayah,6.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here