Anggota Simfoni bersama Ezad Lazim bersatu dalam lagu Terus.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM situasi sekarang, ramai yang terkesan kerana rutin harian sudah berubah 360 darjah disebabkan oleh Covid-19 sejak 2020.

Bagi yang sudah berkeluarga tentu besar dugaannya kerana banyak mulut yang perlu disuap, sedangkan ekonomi sekarang tak stabil kerana ada di antara kita yang diberhentikan kerja.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, kita perlu yakin bahawa rezeki tetap ada jika berusaha biarpun dugaan yang mendatang itu amat berat.

Anggota Simfoni harap peminat terhibur dengan lagu Terus.

Seperti bait lagu Terus dendangan kumpulan Simfoni dan Ezad Lazim, antaranya “kekurangan jangan dijadikan alasan. Pamerkan senyuman penuh kesan. Andai kepenatan kuasai diri, berehatlah tetapi bukan berhenti. Takdir telah ditentukan kehidupan harus diteruskan walaupun berat, teruskanlah kau berjalan.”

Ternyata lirik nukilan Ito Lara itu bertepatan dengan situasi sekarang. Lagu Terus ini bila didengar berulang kali, mampu memberi motivasi kepada kita, seperti mana yang ditunjukkan dalam video muzik lagu tersebut yang dimuat naik sejak 16 April lalu.

Rata-rata komen yang menonton video muzik arahan Fairus Zainal itu tersentuh hati dengan jalan cerita yang dipapar berdasarkan lirik lagu Terus, ciptaan Fadzili Far East.

Tahniah diucapkan kepada anggota kumpulan Simfoni iaitu Mohamad Anas Mohamad Naem (Anas), Ahmad Ifham Solhi Tagor (Ifham), Imtiaz Ikrimal Rosslee (Imtiaz), Muhammad Hazran Muhammad (Hazran) dan Mohd. Firdaus Naim Desa (Firdaus) kerana mendendangkan lagu bermotivasi.

Menurut ketua kumpulan Simfoni iaitu Imtiaz, susunan muzik bagi lagu Terus disusun oleh Amybong manakala Fadzli Far East dan Wan Sallehuddin bertindak sebagai penerbit.

Jelasnya, anggota Simfoni sepakat memilih Ezad sebagai rakan duet kerana lontaran vokal dan aura dimiliki Ezad dilihat mampu memberi rasa dan variasi vokal yang menarik dalam penyampaian lagu yang genre pop itu.

Ezad menjadi pilihan kumpulan Simfoni kerana lontaran vokal dan aura yang dimilikinya.

Sementara itu, Ifham menjelaskan bahawa lagu Terus merupakan hadiah daripada Fadzli Far East kepadanya selepas muncul sebagai pemenang untuk pertandingan nyanyian semula lagu Fadzli Far East iaitu Carilah Aku di Neraka pada tahun 2019.

“Saya memilih untuk menyanyikan lagu ini (Terus) bersama kumpulan Simfoni kerana lagu ini penuh makna buat saya,” tambah Ifham yang bersama dengan Simfoni sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 2009.

Jelasnya, Terus adalah sebuah lagu yang menyuntik semangat kepada pendengar supaya bangkit dan tidak mudah mengalah dalam apa jua situasi sukar yang dilalui dalam hidup.

“Setiap cabaran yang dilalui harus dijadikan penguat untuk bangkit dan tidak berhenti dalam usaha memperbaiki diri dari segala aspek sama ada kerjaya, pembangunan diri, keluarga, pendidikan dan sebagainya,” katanya tentang maksud di sebalik lagu tersebut.

Ditanya mengenai harapan mereka terhadap lagu ini, anggota Simfoni berharap lagu ini diterima ramai, khususnya daripada peminat kumpulan Simfoni serta peminat irama nasyid dan lagu-lagu ketuhanan.

Penggambaran video muzik lagu Terus dijalankan di sekitar negeri Kedah Darul Aman. Antara tempat menarik yang menjadi pilihan adalah Cafe The Place by DECO Alor Setar, Dewan Besar Ukir Mall Alor Setar, dan Masjid Sharifah Fatimah Jitra yang baru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia 2020.

Sementara itu, video muzik lagu Terus boleh ditonton di laman YouTube rasmi Inteam Records dan boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, Itunes, Deezer dan KkBox.

LIRIK LAGU TERUS

Kesilapan sering kali terjadi
Rintangan perlulah dihadapi
Terus melangkah, gapai mimpi indah
Pedulikan segala caci jua persepsi
Kekurangan jangan jadikan alasan
Pamirkan senyuman penuh kesan
Andai kepenatan kuasai diri
Berehatlah tetapi bukan berhenti
Takdir telah ditentukan
Kehidupan harus diteruskan
Walau berat teruskanlah
Kau berjalan
Biar tak mengubah dunia
Jangan berubah kerana dunia
Gambarannnya mempersona sementara
Keasyikan hanyalah sementara
Kejayaan dan kegagalan saling melengkapi
Keyakinan ditutup jangan dengan kebimbangan
Usah berkecil hati kerna kelemahan
Bangkit semula terus melawan keraguan
Takdir…

BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here