Achey tampil dengan single Sembuh.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BUKAN penyamar kerana Mohd. Nasir Hamzah atau Achey, 35, adalah penyanyi sebenar yang serba boleh. Malangnya, walaupun sudah ada tiga single iaitu Yang Terindah (2017), Anak (2018) dan Sakit (2019), orang ramai masih beranggapan Achey sebagai pelawak.

Sebenarnya, bakat Achey bukan setakat berlawak atau berlakon, beliau juga mempunyai vokal yang lebih enak didengar berbanding penyanyi baharu yang lain.

Buktinya, lihat saja video muzik Sakit yang dilancarkan tahun lalu berjaya mencecah 34 juta tontonan di laman YouTube Seventeen Eleven Music.

Bukan setakat menyanyi, Achey dari kumpulan Bocey itu merupakan komposer dan penulis lirik untuk setiap lagu yang didendangkannya. Malah lagu-lagu ciptaan Achey dekat dengan pendengar kerana ia berdasarkan pengalaman beliau.

Lagy Sembuh merupakan ciptaan dan lirik oleh Achey.

Kini Achey tampil dengan single Sembuh yang merupakan kesinambungan kepada lagu Sakit dan video muzik lagu tersebut sudah dimuat naik di saluran YouTube Seventeen Eleven Music sejak 5 Jun lalu. Dalam masa lima hari, video muzik tersebut berjaya mencecah 400,000 tontonan dan kekal di carta trending.

“Saya masih mengekalkan genre sama dengan single terdahulu iaitu balada. Cuma untuk lagu Sembuh ini ia mempunyai sedikit kelainan dari segi bunyi dan penghayatan lagu.

“Untuk lagu ini saya menggunakan khidmat Baby Majistret dan pasukannya untuk gubahan muzik. Saya berterima kasih kepada syarikat rakaman 17 Eleven kerana memberi peluang kepada saya untuk mencipta dan menulis lirik. Walaupun genre lagu ini sama seperti Yang Terindah dan Sakit tapi penghayatannya berbeza,” katanya.

Bercerita tentang lagu Sembuh, Achey berkata, ia berkisar tentang seorang lelaki yang meninggalkan teman wanitanya tapi beliau masih terkesan.

“Lagu ini berkaitan kehidupan saya sebab saya suka meletakkan diri sendiri dalam lagu. Macam lagu Sakit, saya dapat raasakan pengalaman orang lain yang diceritakan kepada saya. Dari situ saya cuba salami perkara itu dan terhasillah Sakit.

Achey mahu dikenali sebagai penyanyi, bukan sekadar pelawak saja.

“Apabila nak buat kesinambungan lagu Sakit, saya kena letakkan diri sendiri dalam lagu tersebut. Saya pahatkan bahawa lelaki itu adalah saya dan apabila ia berkaitan dengan diri sendiri, jadi mudahlah untuk menghayatinya apabila menyanyikan lagu ini. Itu yang saya praktikkan dalam setiap lagu saya,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Achey tetap menyimpan hasrat agar beliau dapat beraksi di pentas pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan karyanya itu.

“Saya sebenarnya menyimpan hasrat dari lagu pertama lagi, sudah masuk pencalonan Muzik Muzik tapi tak lepas. Saya beranggapan mungkin saya bukan penyanyi profesional. Tapi, apabila diterima di media sosial dan YouTube, itupun sudah mencukup baik.

“Tontonan sehari satu juta untuk setiap lagu, ia sangat memberangsangkan. Syarikat rakaman pun agak terkejut sebab sambutan sangat bagus dan kekal selama seminggu.

“Harapan untuk lagu ini tak banyak, cuma lebih kepada ia mendapat sambutan baik dan tontonan yang tinggi. Malah, paling penting nak orang faham lagu ini adalah kesinambungan daripada lagu Sakit. Sembuh adalah penutup cerita dan selepas itu barulah buat lagu lain pula,” jelasnya panjang lebar.

Bercerita mengenai kerjaya nyanyian, Achey tetap bersyukur walaupun kehadirannya sebagai penyanyi belum dapat atasi popularitinya sebagai pelawak.

“Saya mulanya nak hasilkan lagu sebagai satu lagi cabang seni dan saya memang suka nyanyian. Alhamdulillah, ia diterima walaupun saya bermula sebagai pelawak.

Nyanyian Achey lebih sedap daripada beberapa penyanyi baharu yang lain.

“Mungkin juga disebabkan kisah hidup atau suara saya ketika membuat komedi, saya diterima ramai. Alhamdulillah, bermula dengan lagu pertama sampai sekarang, masih diterima, ia perkembangan positif.

“Dari sudut pandangan orang, saya asal pelawak dan belum layak dipanggil penyanyi. Kalau diterima, saya gembira kerana saya kagum dengan bakat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dia sering berlawak dalam setiap filem lakonannya dan penyanyi profesional.

“Pada saya tak salah kalau ikut konsep P.Ramlee. Walaupun saya pelawak, mungkin boleh menjadi penyanyi profesional. Kalau saya diterima, mungkin saya kena belajar banyak perkara terutama teknik nyanyian,” akuinya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here