PARA pemain Malaysia (dari kanan), La'Vere Corbin-Ong, kapten Aidil Zafuan Radzak, Guilherme de Paula, Luqman Hakim Shamsudin, Liridon Krasniqi dan Akhyar Rashid sugul selepas kalah 2-1 kepada Vietnam. - Foto FAM

“SELAMAT tinggal atau mae alsalama dalam bahasa Arab kepada Piala Dunia Qatar 2022!”

Itu yang sudah pasti buat Harimau Malaya selepas ditundukkan Vietnam 2-1 dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimana dengan Piala Asia di China 2023? Peluangnya ada tetapi sangat tipis, akui ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Maktoum Rashid Al Maktoum, Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula sempat mengikat Vietnam 1-1 menerusi sepakan penalti minit ke-72 setelah lawan mendahului menerusi tandukan Nguyen Tien Linh, minit ke-27 namun harapan kita dileburkan dengan penalti Que Ngoc Hai, lapan minit sebelum tamat.

Dengan Indonesia dibelasah UAE 5-0 di Stadium Zabeel, Dubai juga semalam, segala keputusan perlawanan dengan jiran Asia Tenggara itu selaku pasukan corot Kumpulan G tidak akan dikira sebagai penentu kelayakan ke Piala Dunia atau Piala Asia.

Sebabnya ialah penarikan diri Korea Utara dalam saingan Kumpulan H pada bulan lalu gara-gara bimbang dengan penularan Covid-19 dengan pengiraan semula keputusan kelapan-lapan kumpulan kelayakan ini diputuskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ertinya, Malaysia kini hanya mengumpul tiga mata di tempat keempat mengekori Vietnam (11), UAE (sembilan) dan Thailand (lima) iaitu selepas ditolak keputusan masing-masing dengan Indonesia itu yang sudah melengkapkan lapan perlawanan.

GUILHERME de Paula menyudahkan sepakan penalti untuk gol penyamaan Malaysia. – Foto FAM

Enam mata skuad Cheng Hoe kerana menewaskan Indonesia 3-2 dan 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada kelayakan, 5 September dan 19 November 2019, lupus namun hanya dikira untuk rekod pertemuan mereka dan mata ranking dunia FIFA, bulan depan.

Jika berjaya menewaskan Thailand pada Selasa ini di Stadium Maktoum Rashid Al Maktoum, maka Malaysia akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga pusingan kedua ini.

Jika kalah dan masih di tempat keempat Kumpulan G ini, kita perlu berharap untuk muncul antara empat pasukan terbaik di posisi itu dengan tujuh lagi kumpulan tetapi kalau gagal, terpaksalah melalui play-off (dua perlawanan timbal balik dengan satu pasukan sahaja) untuk merebut baki lapan slot ke pusingan ketiga.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan yang mengandungi empat pasukan setiap satu, akan meraih 12 tiket pusingan akhir Piala Asia 2023.

TAN Cheng Hoe tetap berikan komitmen dan fokus sebagai ketua jurulatih negara biarpun menerima berita kematian bapanya, semalam. – Foto FAM

Komen Cheng Hoe:

“Keseluruhannya pemain kami bermain baik, cuma kurang bernasib baik melepaskan gol dengan bola mati dan penalti. Saya gembira dengan prestasi pasukan negara yang meningkat tetapi perlawanan ini bukan mudah.

”Setiap pemain amat tekun dan berdisiplin. Mungkin kerana peralihan dan hilang tumpuan kepada sepakan sudut dan asakan (gol kedua lawan dalam kotak penalti),” katanya.

Mengenai kewajaran penalti gol kedua yang diberikan perantara, Brendan Gan itu katanya, “saya tidak tengok insidennya sebab berlaku pantas. Keputusannya pada pengadil dan saya tidak boleh ubah apa-apa.

“Saya fikir peluang kami amat tipis untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan. Walaupun pencapaian sekarang tidak baik (kalah dua kali berturut-turut termasuk kepada UAE 4-0 pada 3 Jun lalu, fokus kami masih untuk ke pusingan berikutnya.”

Thailand yang diikat Indonesia 2-2 dan dibenam UAE 3-1 pada 3 dan 8 Jun lalu, kata Cheng Hoe, mempunyai kelebihan rehat lebih panjang berbanding anak-anak buahnya dan masih bukan lawan yang mudah.

“Saya masih percaya akan pemain saya untuk bermain baik dan meningkatkan mutu permainan. Pasukan kami juga perlu jalani pemulihan dan buat persediaan semula berdepan lawan.

“Bola sepak sentiasa berkaitan kerja sepasukan. Saya tidak boleh salahkan satu dua pemain kerana kalah perlawanan. Kami perlu perbaikinya, terus bekerjasama dan beraksi dengan lebih kuat sebagai satu pasukan,” katanya.

Kata pengurus pasukan negara, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi:

“Saya kecewa dengan keputusan ini sekali lagi. Saya harapkan keputusan yang baik dan rasakan setidak-tidaknya seri (tetapi) akhirnya ditumpaskan jaringan penalti minit-minit akhir.

“Sebelum perlawanan, Cheng Hoe walaupun sedih dengan berita kematian bapanya (Tan Chooi Siak, beberapa jam sebelum perlawanan semalam), janji tetap beri komitmen dan tumpuan 100 peratus. Itu bukan faktor (kalah).

“Pemain-pemain pun berjanji akan berikan yang terbaik. Mungkin kemenangan boleh meredakan kesedihannya, malangnya tidak menjadi seperti yang dijangkakan.

“Menentang Thailand ini kita perlu fokus, maknanya seolah-olah perlawanan hidup atau mati. Tidak boleh ada apa-apa alasan dan pasukan perlu bersedia hadapinya dan berikan kemenangan.

“Semua orang kecewa sejak perlawanan persahabatan (dikalahkan Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0) pasukan tidak dapat keputusan positif. Inilah (menentang Thailand) maruah negara yang perlu ditebus dan mengembalikan semangat pasukan.

“Pasukan kena lupakan kekalahan itu dan kembali bekerja keras dan berharap perancangan menjadi kali ini dengan meraih tempat ketiga Kumpulan G dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here