Wang Yanhui sebagai Xio Daming bapa kepada Xiao Erdong, lakonan Zhang Youhao.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KEJAYAAN filem OlaBola mengaut kutipan sebanyak RM16.6 juta pada 2016, membuatkan nama pengarah kreatif Chiu Keng Guan terus menjadi perhatian.

Hasil kerja Keng Guan yang turut mendapat sambutan hangat adalah filem The Journey (2014), Think Big Big (2018), Great Day (2011), Woohoo! (2010) dan Skate Our Souls (2019).

Kini pengarah yang disegani ramai itu, tampil dengan filem On Your Mark terbitan Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film, Tianjin Maoyan Weiying Culture Media, Jiangsu Hao Di Cultural Development, Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum) dan Astro Shaw selaku penerbit tunggal dari Malaysia.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri perfileman serta televisyen, bakat anak seni kelahiran Batu Pahat, Johor, itu terus melebarkan sayapnya ke tahap lebih tinggi dengan membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa apabila mengarahkan sebuah filem bertajuk On Your Mark di negara China.

Lebih membanggakan ia merupakan filem untuk terbitan antarabangsa. Filem genre drama yang mengangkat semangat kesukanan dan kasih sayang bapa bersama anak ini akan mula ditayangkan di negara China, 18 Jun ini.

Chiu Keng Guan, pengarah tempatan yang mencipta nama di China.

Untuk pasaran di negara tersebut, filem On Your Mark menggunakan tajuk asal iaitu Qi Pao, manakala untuk pasaran antarabangsa menggunakan tajuk The Great Dad.

Filem tersebut turut menerima liputan baik dari media di negara tersebut, penonton di sana juga turut berkongsi reaksi sangat positif selepas trailer filem tersebut dilancarkan.

Selain penerbit, Astro Shaw juga tampil sebagai pihak pemasar dan pengedaran rasmi untuk filem On Your Mark di sini. Selepas tiga tahun penantian rakyat Malaysia menunggu filem terbaharu Keng Guan, filem On You Mark akan diterbangkan ke negara ini tidak lama lagi.

Pengarah Keng Guan berkata, sebagai pengkarya filem dari Malaysia, beliau sangat teruja apabila berpeluang dan diberi kepercayaan untuk mempersembahkan hasil karyanya kepada penggemar dan penonton filem di China.

“Melalui projek ini, saya dapat bekerjasama dan bertukar-tukar idea dengan ramai bakat kreatif. Saya harap filem ini mampu menyentuh perasaan penonton di samping mengangkat nama Malaysia di persada dunia menerusi perfileman.

Chiu Keng Guan, pengarah tempatan yang mencipta nama di China.

“Saya juga tidak sabar untuk mempersembahkan buah tangan terbaharu ini kepada peminat dan penonton di Malaysia serta melihat reaksi mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap filem-filem saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, selaku penerbit, Astro Shaw telah bersama-sama Keng Guan sejak filem arahan pertamanya pada tahun 2010.

“Astro Shaw terlibat sekali lagi sebagai salah satu penerbit untuk filem On Your Mark, tentunya kami rasa berbesar hati kerana bakat anak seni tempatan mendapat perhatian antarabangsa.

“Kami akan terus komited dalam menyokong dan mengetengahkan bakat-bakat kreatif tempatan. Kami berharap, pencapaian Keng Guan dapat menjadi pembakar semangat buat pengkarya di luar sana dan membuktikan industri filem tempatan juga mampu mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa,” ulasnya.

On Your Mark membariskan pelakon hebat dari negara China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhang, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.

Ia mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya. Namun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih di luar padang tanpa pengetahuan ayahnya. Bagi melayakkan diri dalam pertandingan, Xio Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi kenyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.

Ikuti info dan klip terkini tentang filem On Your Mark menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here