muslim covid mask
Image by pisauikan from Pixabay
Oleh Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

MUSIBAH atau ujian adalah sunnatullah yang pasti berlaku dalam kehidupan kita. Ujian ini datang dengan pelbagai cara seperti rasa takut, kelaparan, kehilangan harta-benda dan hasil tanaman.

Allah SWT berfirman: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. [Surah al-Baqarah, ayat 155]

Negara telah menghadapi musibah Covid-19 sejak setahun yang lepas. Sehingga kini kita telah mengharungi dua siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang kita sedang menghadapi PKP 3.0 yang sebenarnya situasi semasa lebih kritikal berbanding dua siri PKP sebelum ini.

Dalam menghadapi musibah penyakit seperti wabak Covid-19 seperti sekarang sudah pasti ramai yang tertekan dan merasa tidak selesa. Malah, dalam beberapa situasi tertentu boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius.

Ujian wabak Covid-19 ini asalnya adalah bermula dengan perasaan takut kepada penyakit tersebut. Bukan semua orang dijangkiti wabak ini, tetapi hanya sebilangan sahaja.

Bagi mereka yang dijangkiti, mereka menghadapi penyakit ini dengan kebimbangan daripada berlaku perkara yang tidak diingini dan di luar jangkaan. Sehingga kadang-kadang boleh membawa kepada kematian. Namun, bagi sebilangan yang lain, ketakutan mereka hanyalah kerana takut dijangkiti sedangkan mereka masih belum ditimpa penyakit.

Oleh itu, pihak kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan PKP untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang telah menjadi pandemik.

Maknanya, keadaan sudah tidak dapat dikawal dengan prosedur yang biasa. Kawalan yang lebih ketat terpaksa dilakukan. Situasi ini pula mengundang beberapa implikasi lain secara langsung dan tidak langsung.

Antara implikasi yang besar ialah implikasi kewangan. Implikasi kewangan pula akan membawa kepada implikasi lain yang lebih parah seperti masalah keluarga dan juga boleh membawa kepada masalah kesihatan mental. Menurut laporan pakar kesihatan, masalah kesihatan mental meningkat semasa pandemik.

Islam membawa penyelesaian terhadap masalah ini dengan mengajak kita bersabar dan kembali kepada Allah. Kita diseru supaya menerima bahawa apa yang berlaku ini adalah daripada Allah.

Perkara ini diterangkan Allah SWT melalui firmanNya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. [Surah al-Baqarah, ayat 156]

Malah, jika dirujuk kepada ayat yang sebelumnya dan selepasnya, kita mendapati Allah SWT menjanjikan sesuatu yang menggembirakan kepada orang yang bersabar dengan ujianNya iaitu selawat dan rahmat daripadaNya serta dimasukkan di kalangan orang yang bertakwa. Firman Allah SWT: “Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”. [Surah al-Baqarah, ayat 157]

Mendepani musibah atau ujian seperti Covid-19 yang kita hadapi sekarang ini bukanlah suatu yang mudah. Tiada seorang pun yang terlepas ujian Allah, termasuklah para Nabi dan Rasul.

Allah SWT berfirman: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. [Surah Yunus, ayat 107]

Bahkan, orang yang paling berat menerima ujian Allah SWT adalah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya, kita ada petunjuk atau pedoman daripada mereka yang terdahulu daripada kita dalam menghadapi musibah atau penyakit daripada Allah SWT. Terutamanya daripada kisah para Rasul dan sahabat.

Sebagai contoh adalah kisah Nabi Ayub a.s yang disebutkan Allah SWT dalam firmanNya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani, Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)”. [Surah al-Anbiya’, ayat 83-84]

Ketika menghadapi musibah atau ujian ini juga kita dituntut agar terus berusaha sama ada secara fizikal dan spiritual. Sama ada jika seseorang itu ditimpa penyakit atau ditakuti daripada berjangkit kepadanya dan sebagainya, mestilah berusaha untuk menghindarinya dengan apa jua cara.

Kaedah yang terkenal mengatakan “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”. Kita telah berusaha untuk mencegah daripada wabak Covid-19 ini dengan pelbagai cara. Juga dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat sepanjang masa dan di mana sahaja.

Namun, pada masa yang sama mestilah kita mengambil pendekatan secara spiritual seperti yang dipelajari daripada kisah Nabi Yunus a.s semasa berada dalam perut ikan.

Allah SWT berfirman: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. [Surah al-Anbiya’, ayat 87]

Tegasnya, di samping kita berusaha sedaya upaya untuk menghadapi situasi pandemik yang sangat menakutkan ini dengan pelbagai cara hendaklah kita kembali juga kepada kaedah yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT.

Ambillah iktibar daripada kisah Nabi Yunus a.s yang berada dalam situasi yang tiada siapa boleh menolong, tetapi Allah SWT tetap membalas keyakinnya kepada Allah dengan menyelamatkannya. Banyakkanlah berzikir dengan zikir sepertimana Nabi Yunus a.s ketika dalam perut ikan. Semoga kita semua selamat daripada musibah pandemik ini.

– BebasNews

 

Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

*Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh merupakan Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here