BAGAIMANA lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku pula yang dimainkan sebelum perlawanan Indonesia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai, kelmarin?

Tiga rangkap lagu itu sehingga “…rakyat hidup bersatu dan maju,” kedengaran sehingga mendapat bantahan Si Garuda dan jeritan para penyokong mereka dari tempat duduk stadium.

Kecuaian ini perlu dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) UAE selaku tuan rumah baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G ini.

Lagu kebangsaan Indonesia berjudul ‘Indonesia Raya’.

PEMAIN naturalisasi UAE, Fabio Lima (15) bersaing bola dengan pemain Indonesia, Didik Wahyu di Stadium Zabeel, Dubai, kelmarin. – Foto AFC

Si Garuda yang bertukar kepada jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong bagi saingan di Dubai ini, dibelasah UAE 5-0 sekali gus kekal di anak tangga corot Kumpulan G dengan hanya satu mata.

LOC juga didapati cuai dalam membuat dan mengedarkan senarai mula (start list) pemain UAE-Malaysia pada perlawanan 3 Jun lalu di stadium sama.

Begitu juga ketika Malaysia menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai kelmarin.

Kedua-dua senarai pemain Malaysia itu menampilkan antara sembilan hingga 10 pemain di posisi penyerang (forward) dalam kesebelasan utama mahupun barisan simpanan sedangkan sepatutnya tidak sebanyak itu.

Wakil media Malaysia dan para penyokong setia Harimau Malaya sudah sedia maklum, yang benar-benar di bahagian serangan hanyalah Guilherme de Paula, Syafiq Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha dan Luqman Hakim Shamsudin.

Skuad Cheng Hoe tewas kedua-dua perlawanan itu, 4-0 dan 2-1 sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada pusingan akhir Piala Dunia di Qatar, tahun depan.

Namun tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, masih boleh direbut pasukan negara menerusi pusingan ketiga kelayakan (11 November ini hingga 14 Jun 2022) sekiranya menduduki tempat ketiga Kumpulan G sekarang.

Jika kalah dan masih di tempat keempat Kumpulan G ini, kita perlu berharap untuk muncul antara empat pasukan terbaik di posisi itu dengan tujuh lagi kumpulan.

Kalau gagal juga, terpaksalah Malaysia melalui play-off (dua perlawanan timbal balik dengan satu pasukan sahaja) untuk merebut baki lapan slot ke pusingan ketiga.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan yang mengandungi empat pasukan setiap satu (24 kesemuanya) dalam pusingan ketiga kelayakan ini, akan meraih 12 tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.

Vietnam dan UAE tampak kian pasti layak automatik ke Piala Asia sebagai wakil Kumpulan G dan hanya menunggu keputusan pertemuan mereka di Stadium Zabeel, Selasa ini serta kedudukan muktamad tujuh lagi kumpulan pusingan kedua ini.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here