KUALA LUMPUR – Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira sebagai salah satu komponen penilaian UPKK, yang dinilai oleh Guru KAFA sekolah masing-masing, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

“Setiap subjek dalam kurikulum UPKK turut merangkumi aspek penghayatan dan amalan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian. Malah, ia tidak terikat dengan pelaksanaan peperiksaan semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini (23 Jun).

Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas keresahan ibu bapa berkaitan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan 2021 yang dilaksanakan secara serentak pada tahun 2021.

Beliau menjelaskan UPKK mempunyai lapan subjek yang terdiri daripada dua subjek amali, satu subjek ujian lisan dan lima subjek bertulis.

Abdul Aziz berkata, bagi Mata Pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran, ia dinilai oleh Guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 September 2021.

Manakala, lima subjek bertulis iaitu Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab Kertas 1 & 2 dan Lughatul Quran akan dilaksanakan pada 4 hingga 7 Oktober 2021, kata beliau.

“Bagi dua subjek penilaian amali iaitu Mata Pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, penilaian telah bermula dari awal takwim persekolahan tahun 2021.

“Ia berdasarkan penilaian sepanjang sesi persekolahan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira ujian bulanan dan aktiviti dalam dan luar bilik darjah,” jelas beliau.

Abdul Aziz berkata, sehingga kini, UPKK masih kekal relevan dan ia terbukti dengan pertambahan jumlah calon yang menduduki ujian tersebut.

Kenyataan Media JAKIM

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here