SENI lantai Kristian Palestin / Gambar: Dennis Jarvis from Halifax, Canada, CC BY-SA 2.0 , via Wikimedia Commons.

 

Oleh Muhd. Nur Iman Bin Ramli
Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

DALAM keghairahan kita menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin sejak beberapa minggu lalu, mungkin kita terkejut apabila ada rakan-rakan beragama Kristian menyatakan sokongan mereka terhadap Israel di ruang media sosial. Pada pemikiran kita, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa sebulat suara mengutuk keganasan Zionis serta mengecam penubuhan negara Israel. Pada persimpangan mana saudara Kristian kita mengambil haluan berbeza dalam isu Arab-Israel ini?

Pendirian saudara Kristian mengenai isu Arab-Israel perlu difahami dengan mendalami sejarah perkembangan agama mereka, bukannya dengan emosi. Dalam beberapa mazhab agama Kristian, mempercayai kepulangan bangsa Yahudi ke tanah suci Palestin dan menubuhkan negara Israel adalah bertepatan dengan nubuatan (prophecy) Bible. Ia adalah prasyarat untuk ‘Kedatangan Kedua’ Jesus Christ ke dunia. Justeru, umat Kristian harus menyokong secara aktif kepulangan bangsa Yahudi ke tanah Palestin. Bangsa Yahudi juga harus digalakkan menjadi umat Kristian bagi memenuhi nubuatan Bible tersebut.

Fahaman nubuatan ini wujud dalam mazhab Protestant sejak era Reformasi kurun ke-16 Masihi, di mana gereja-gereja Eropah bangkit menentang gereja Katholik dan kekuasaan Pope di Vatican.

Beberapa dekad sebelum tertubuhnya Israel pada 1948, para penyokong Zionis beragama Kristian di AS terdiri daripada golongan liberal dan Protestan. Namun sokongan mereka itu selalunya tidak berkaitan dengan nubuatan tadi. Palestin hanya dilihat sebagai ‘safe haven’ kepada bangsa Yahudi yang melarikan diri dari pembantaian negara-negara Eropah, terutamanya oleh Nazi Jerman. Sokongan itu juga dianggap usaha memperbaiki hubungan antara agama Kristian dan Judaisme, yang tercalar sejak penyaliban Jesus Christ hasil perancangan para pendeta Yahudi. Hubungan antara bangsa Yahudi dan empayar Romawi Kristian juga tidak begitu baik pada zaman-zaman seterusnya.

Setelah tertubuhnya Israel, penyokong kuat Zionis di AS kebanyakannya adalah daripada golongan Evangelis (pendakwah Kristian). Tokoh-tokoh Evangelis Amerika seperti Martin Luther King Jr., Billy Graham dan Pat Robertson adalah sangat berpengaruh dalam budaya Amerika. Daripada golongan inilah istilah ‘Christian Zionism’ mula diperkenalkan.

Kerajaan Israel telah memberi sokongan rasmi kepada golongan Zionis Kristian, dengan membenarkan penubuhan ‘International Christian Embassy Jerusalem’ pada 1980. ICEJ telah mengumpulkan pembiayaan kewangan untuk membantu penghijrahan kaum Yahudi dari negara-negara bekas Soviet dan Ethiopia ke Israel, selain membantu pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Ada juga sebilangan besar umat Kristian tidak percaya penubuhan negara Israel menepati nubuatan Kedatangan Kedua Jesus Christ. Menurut tafsiran mereka, idea ‘City of God’ seperti yang disebut dalam Psalm 46:4, tiada kaitan dengan penghijrahan Yahudi ke Palestin dan penubuhan Israel. ‘City of God’ adalah mengenai masyarakat yang hidup mengikut kehendak dan ajaran Tuhan. Kerana itulah, gereja Orthodoks Timur dan gereja Katholik tradisional tidak mengiktiraf Israel dan Zionisme dalam apa jua bentuk.

Pada 26 Januari 1904, Pope Pius X, ketua tertinggi Roman Katholik di Vatican didatangi Bapa Zionisme, Theodore Herzl yang mahu mendapatkan persetujuan Pope mengenai projek negara Yahudinya di Palestin. Pope Pius X dilapor enggan mengiktiraf projek tersebut, atas alasan tanah Palestin dikuduskan dengan lahirnya Jesus Christ di situ. Bangsa Yahudi tidak mengiktiraf ketuhanan Jesus, justeru beliau enggan mengiktiraf idea negara Yahudi di Palestin. Herzl menjelaskan bahawa cadangan beliau tiada kaitan dengan agama, sekadar negara sekular untuk kemerdekaan bangsanya. Pope Pius X bertanya: “Mestikah ia di Jerusalem?” Herzl mencatat detik pertemuan dengan Pope Pius X ini dalam laporan bertajuk ‘Audienece with Pope Pius X (1904)’, yang kemudiannya diterbitkan dalam buku ‘The Complete Diaries of Theodore Herzl’ pada 1960.

Terdapat juga tokoh-tokoh Protestanisme yang tidak bersetuju dengan idea Zionisme Kristian. Sebagai contoh, Rev. John Robert Walmsley Stott, evangelis terkenal AS yang diiktiraf antara manusia paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time pada 2005, menyatakan Zionisme Kristian merupakan anathema (sumpahan) kepada agama Kristian. Menurut beliau, Israel yang sebenar bukanlah orang Yahudi atau orang Israel, tetapi sesiapa sahaja yang percaya kepada Messiah, walaupun mereka Gentile (bukan Yahudi).

Golongan Yahudi Orthodoks pula dikatakan tidak senang dengan idea Zionisme Kristian kerana khuatir dengan usaha pengKristinianan bangsa Yahudi.

Golongan Arab Kristian Palestin turut berdepan isu pencabulan hak asasi manusia oleh Zionis di tanah suci mereka. Lebih memilukan, nasib mereka jarang diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa, termasuk saudara Kristian mereka di negara-negara luar. Pengalaman mereka kali ini amat berbeza, kerana semasa pemerintahan kerajaan Arab mahu pun Turki, tanah suci Palestin tidak pernah dijadikan hak milik khusus umat Islam, bahkan dikongsi bersama penganut Kristian dan Yahudi.

Kita rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Muslim, tidak mengambil sikap apologetik dalam pendirian mengecam keras kezaliman Zionis. Kita juga mendoakan agar rakyat Palestin, baik Muslim mahu pun Kristian diberi jalan keluar paling tuntas daripada penderitaan yang mencengkam mereka sejak berpuluh tahun.

Kita bersatu dengan masyarakat antarabangsa lain termasuk dari negara-negara Barat hari ini, yang mula sedar bahawa sebarang bentuk kezaliman oleh sesuatu bangsa ke atas bangsa lain adalah perbuatan aparteid dan tidak berperikemanusiaan. Saya yakin, ada saudara Kristian yang berharap Kerajaan Tuhan di Palestin direalisasikan bagi memenuhi nubuatan Bible, tetapi mereka juga mungkin tidak senang dengan pembantaian Yahudi Zionis ke atas rakyat Palestin, kerana ajaran Jesus Christ adalah mengenai keamanan dan kasih sayang.

Penulis ialah Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam
Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

 

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here