BERSAMA harungi 14 hari lagi (setakat hari ini) untuk melandai atau memutuskan rantaian Covid-19. Bersabarlah ! Duduk di rumah. Kerja di rumah. Jika tidak ada urusan penting, jangan merayau, ke sana ke sini ke sana ke sini.

Bagi yang perlu keluar bekerja, patuhlah SOP (Prosedur Operasi Standard), sama ada di pejabat kerajaan, swasta, di kilang atau di kedai serta yang memandu grab atau penghantar makanan dan pelbagai lagi.

Kepada Makcik Kiah patuhlah SOP semasa buka gerai. Haji Salleh kena ingat mi kolok dan makanan lain hanya untuk dibungkus bawa pulang, jangan buka meja untuk pelanggan. Madam Lee kena banyak bersabar belum dapat buka salon.

Memang sukar untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini kerana ia melibatkan ‘peperangan’ antara manusia (bukannya robot) dan musuh yang tidak kelihatan – Covid-19.

Jika manusia itu robot, mudahlah kerja Abah, Pak Long dan Pak Ngah. Tekan alat kawalan, semua robot duduk di rumah.

Sebaliknya dalam perang ini, yang hendak dilayan adalah manusia yang tidak takut SOP dan sebagainya. Bayangkan jika Covid-19 pelbagai varian itu menampakkan wajah ganas dan kejamnya, nescaya semua orang mengunci diri di rumah.

Hakikatnya memang sukar untuk memutuskan rantaian ini walaupun pelbagai kempen kesedaran sama ada melalui agensi kerajaan, paparan media termasuk media elektronik dan media sosial dibuat, dari hospital hingga ke lubang kubur.

Masih ada yang mungkin memandang remeh, menganggap diri kebal, apatah lagi selepas vaksinasi. Masih ada yang ‘bertelagah’ mengenai SOP.

Pada masa yang sama berlaku ketirisan, kebocoran atau lompong di sana sini mengenai SOP dan sebagainya sama ada di pihak kerajaan, swasta dan orang awam. Lebih setahun kita ada pengalaman SOP dan PKP tetapi…(sambung sendiri).

Ketirisan, kebocoran atau lompong di sana sini ada dalam kalangan kita semua termasuk di pihak kerajaan, industri dan orang ramai . Cuma ia tidaklah membawa kepada kapal karam atau dimasuki air. Mungkin hanya lantai yang basah.

Namun jika ketirisan ini tidak diawasi, usaha kita tidak akan ke mana umpama memakai pelikat, diangkat ke atas nampak lutut diturun ke bawah nampak pusat. Jangan hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga.

Sebaliknya tindakan kita biarlah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Benar, atap bocor boleh diganti, lantai basah boleh kita mop. Tetapi sampai bila? Jangan pintu depan diselak, pintu belakang dibiar terselak.

Contohnya ketika tidak semua orang mendapat moratorium, ada juga institusi kewangan menghambat pelanggan (tak buat urusan online) datang ke bank menjelaskan bayaran pinjaman dan sebagainya.

Malang sungguh pegawai bank yang berbuat demikian. Ada pula laporan pekerja atau orang awam yang ‘bergelang’ bebas bekerja dan bergerak ke sana sini. Ini yang dikatakan pintu depan diselak, pintu belakang terselak.

Dalam situasi hari ini, rantaian perkhidmatan yang dibenar beroperasi juga perlu memainkan peranan penting. Jangan selepas mendapat kebenaran beroperasi, SOP diabaikan walaupun mereka sebenarnya menyedari kesalahan yang dilakukan.

Memang sukar tugas memutuskan rantaian ini, mungkin lebih sukar daripada kerja keras barisan hadapan menyembuhkan pesakit.

Kerajaan hanya boleh merancang untuk memutuskan rantaian ini. Kerajaan boleh mengingatkan dua minggu yang kritikal ini tetapi akhirnya kejujuran yang akan menentukan sejauh mana hasilnya. Senjata utama adalah kejujuran..

Jujur kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Perlu ada semangat patriotik untuk membebaskan negara daripada pandemik.

Sampai bila pun kita tidak akan berjaya sekiranya masih ada manusia yang main ‘tarik tali’ , tidak jujur ketika berada di balai polis, di kilang, di hospital, di restoran, di masjid, di pejabat, di atas jalan raya dan pelbagai lagi. Akhirnya bukan menjadi pemutus tetapi penyebar.

Ketika di balai ‘memalsukan alasan’ rentas daerah dan negeri, di kilang bukan sekadar ada yang memalsukan jenis industri tetapi ada juga yang menggunakan pekerja ‘tidak sihat’. SOP pula terabai atau diabaikan.

Bagaimana mahu memutuskan rantaian jika ada yang positif boleh bebas keluar bekerja atau ke tempat awam? Di mana tanggungjawab kawalan kendiri dan tanggungjawab majikan? Semuanya mahu diserah kepada penguat kuasa?

SOP bukan sekadar MySejahtera, imbas suhu dan pelitup muka. SOP yang penting adalah kejujuran. Jujur untuk sama-sama membantu usaha memutuskan rantaian Covid-19. Tegaslah, jangan sekejap boleh, sekejap tidak. Semua orang sudah letih!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here