GAMBAR: Rubenjoker, CC BY-SA 4.0 , via Wikimedia Commons.

 

KUALA LUMPUR — Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong kenyataan kerajaan Pahang yang komited untuk tidak meluluskan mana-mana permohonan baharu aktiviti perlombongan di dalam kawasan Tasik Chini.

Tuan Ibrahim menjelaskan, keputusan itu selaras dengan persetujuan kerajaan Pahang untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai kawasan Hutan Simpan Chini pada tahun 2019.

“Saya juga menyokong kenyataan kerajaan negeri Pahang yang komited untuk tidak meluluskan mana-mana permohonan baru aktiviti perlombongan di dalam kawasan Tasik Chini, selaras dengan persetujuan kerajaan negeri untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai kawasan Hutan Simpan Chini pada tahun 2019.

“Konsep ‘whole of government approach‘ iaitu kerjasama strategik antara Kasa (Kementerian Alam Sekitar dan Air) dengan agensi-agensi lain termasuk kerajaan negeri ini amat penting dalam memastikan kelestarian tapak “Biosphere Reserve, Unesco” iaitu Tasik Chini sentiasa dilindungi sebagai khazanah alam dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengenai kemungkinan adanya logam di Tasik Chini, Tuan Ibrahim menjelaskan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan kualiti air Tasik Chini secara berterusan sejak tahun 2005.

“JAS sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan kualiti air Tasik Chini secara berterusan sejak tahun 2005.

“Terdapat sebanyak 15 stesen pemantauan kualiti air di lokasi yang berbeza dengan kekerapan pemantauan sekali setiap bulan bagi setiap stesen,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim memaklumkan, sebanyak 20 parameter diambil kira (analisis) dalam pemantauan yang dijalankan pada setiap stesen.

Ia merangkumi Pepejal Terampai (SS), Keperluan Oksigen Biologi (BOD), Klorida, Fosfat, Sulfat, Fluorida, Keperluan Oksigen Kimia (COD), Nitrat Nitrogen, Ammoniakal Nitrogen (AN), Minyak dan Gris serta E.coli dan 9 parameter logam berat merangkumi Besi, Mangan, Tembaga, Nikel, Plumbum, Zink, Kadmium, Arsenik dan Raksa.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memaklumkan, pelaporan dibuat berdasarkan parameter-parameter utama iaitu data kualiti air bagi tahun 2016 sehingga 2021 (sehingga Mac) berdasarkan parameter BOD, SS dan AN menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih.

Baca lagi: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tuan-ibrahim-sokong-pahang-tidak-lulus-lesen-baharu-perlombongan-di-tasik-chini-302950#.YMbaTc2iQb4.whatsapp
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here