Rakyat Israel bergembira meraikan tewasnya Netanyahu. Foto - Tomer Neuberg/FLASH9

PERUBAHAN BAHARU… Beribu-ribu rakyat Israel malam tadi berkumpul di Tel Aviv untuk meraikan pembentukan kerajaan baharu Israel yang juga menandakan tumbangnya kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Mereka yang saling bersorak kegembiraan, menari dan juga memeluk antara satu sama lain. Tidak kurang juga yang membawa anak-anak mereka, lapor Times Of Israel.

Salah seorang lelaki yang hadir menjerit “Bibi (Netanyahu) boleh berambus” di Rabin Square yang menjadi tempat perhimpunan tersebut. Rabin Square pernah menjadi lokasi perhimpunan kumpulan anti bekas perdana menteri Israel itu yang memintanya meletak jawatan pada tahun lalu.

Dalam suasana berbeza, sebilangan kecil penunjuk perasaan pro Netanyahu juga dilihat berkumpul selain beratus-ratus Yahudi Ortodox dan Ultra-Ortodox berkumpul dan berdoa di Tembok Barat dalam suasana seperti berkabung.

Perubahan yang menyaksikan Netanyahu tidak lagi berkuasa dianggap sebagai saat yang bersejarah.

“Saya agak terkejut kerana telah lama kami menantikan saat ini,” kata Chen Nevo seorang wanita berusia 49 yang datang bersama-sama anak yang kecil pada lewat malam dan menyifatkan ia penting kepada dirinya.

“Saya tidak tahu berapa lama kerajaan ini bertahan tetapi ia satu perubahan dan kami perlu perubahan,” kata beliau.

Foto – Tomer Neuberg/FLASH9

Rubi Sofer, 48, yang datang bersama anggota keluarganya memakai baju T bertulisan warna putih yang memperlihatkan mereka adalah kumpulan anti Netanyahu berkata: “Kami tidak langsung menyukai bibi dan telah menghadiri bantahan setiap minggu sejak 10 bulan lalu.”

Di luar kediaman rasmi bekas perdana menteri itu di Baitulmuqaddis, sekumpulan kecil penyokong Netanyahu mengibarkan bendera sebagai tanda sokongan manakala yang lain-lainnya mengutuk pemimpin parti Ra’am, Mansour Abbas yang menyertai kerajaan baharu.

Netanyahu juga dilihat mengucapkan terima kasih dan meminta mereka menyertai bantahan terhadap kerajaan baharu pada hari Selasa di Tel Aviv.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here