ABDUL Rahman Abdul Ghani, bekas perejam sepak takraw Malaysia, Perlis, Kedah dan ATM. - Foto infotakraw.com

ARENA sepak takraw negara seorang lagi kehilangan legendanya dengan kembalinya Allahyarham Abdul Rahman Abdul Ghani ke rahmatullah kira-kira pukul 1.40 petang ini di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Allahyarham pergi buat selama-lamanya pada usia 69 tahun akibat serangan jantung yang berpunca daripada sakit saraf belakang lama yang dihidapinya, kata anak perempuannya, Noor Intan Syafina Abdul Rahman kepada BebasNews.

Rahman merupakan anggota skuad pemenang pingat emas sepak takraw Sukan SEA Jakarta 1979 di posisi apit kiri killer atau perejam.

Temasya serantau dwitahunan ke-10 itu hanya mempertandingkan satu acara acara berpasukan (tiga regu) di Kompleks Sukan Senayan, Jakarta dari 23 hingga 25 September 1979.

Sepasukan dengannya ialah Raja Sepak Takraw Asia 1986 – Adnan Saidin, Subari Said, Hassan Yeop, Md. Nor Ali, Rahim Kassim, Shukri Ismail, Jusri Rick, Osman Ahmad, Faozi Ayob dan Baharuddin Abu Bakar dan Sahar Omar.

Malaysia di bawah bimbingan jurulatih Ahmad Daud menewaskan Thailand, Singapura dan tuan rumah, Indonesia 3-0 dalam saingan liga sepusingan Sukan SEA itu.

Rahman menganggotai regu utama negara ketika itu yang bergandingan dengan Hassan (tekong) dan Osman (apit kiri dan pengumpan) diikuti regu kedua – Subari, Rahim dan Sahar manakala Jusri, Adnan dan Shukri membentuk regu ketiga.

Pada peringkat kebangsaan khususnya Piala Emas Khir Johari, Rahman juga dikatakan pernah mewakili Perlis, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ayah meninggalkan lima anak (tiga lelaki dan dua perempuan) yang berusia daripada 26 hingga 42 tahun serta 13 cucu,” katanya.

Jenazah Allahyarham menurutnya, akan dituntut dari HUKM pada sebelah pagi esok dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak, Selangor selepas zuhur.

AKSI pukulan gulung Abdul Rahman Abdul Ghani (dua dari kiri) ketika mewakili ATM menentang Selangor dalam satu kejohanan kebangsaan. – Foto infotakraw.com

Rahman juga merupakan bekas anggota polis tentera (MP) ATM dengan pangkat terakhirnya, Lans Koperal.

“Ayah bersara daripada perkhidmatan ATM pada 22 Mac 1997,” katanya.

Beliau kemudian bertugas sebagai imam Masjid Nurul Islam dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berdekatan kediamannya di Desa Pahlawan, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pada 7 Jun lalu, pemenang tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA 1973, 1975 dan 1977 yang juga pencipta teknik blocking, Allahyarham Sahak Md. Yasin meninggal dunia di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak, Kuala Lumpur selepas lebih sebulan bertarung nyawa dengan Covid-19.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here