DENGAR-DENGAR perancangan untuk meminda perlembagaan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dijadualkan 19 Jun 2021 telah digagalkan.

Jadi usaha jawatankuasa kaji perlembagaan yang diketuai timbalan presidennya, Abdul Azim Mohd. Zabidi bagi menyediakan pelbagai jawatan baharu untuk dipertandingkan pada perhimpunan agung MOM, 4 September 2021 dikira tidak boleh menjadi kenyataan.

Kecuali majlis MOM yang mengandungi semua gabungannya mencapai kesepakatan bagi menetapkan tarikh perhimpunan agung luar biasa sekali gus memindanya. Dengan masalah Covid-19 ini, rasa-rasanya persidangan secara fizikal tidak boleh dilangsungkan.

ABDUL Azim Mohd. Zabidi

Dikhabarkan Pesuruhjaya Sukan tidak akan bersetuju mesyuarat untuk meminda perlembagaan diadakan dalam talian. Pindaan yang akan dibentang difahamkan bukan mudah untuk dipersetujui ahli gabungan  lebih-lebih lagi ada yang menyebut bahawa ia bukan suatu keperluan buat masa ini.

Ada  berpendapat, pindaan itu bukanlah agenda besar untuk diluluskan pada waktu penularan Covid-19 sekarang.  Ada pula berpandangan ia amat diperlukan hanya sebagai persediaan  menghadapi pemilihan ahli lembaga eksekutif 4 September 2021 ini.

Presiden MOM, Mohamad Norza Zakaria dilihat tidak membantah jika pindaan dilakukan. Mungkin pada ketika ini dia merasakan kedudukan di tangga atas itu tidak dicabar terutama sekali daripada Abdul Azim.

MICHELLE Chai.

Pindaan perlembagaan yang banyak tertumpu kepada rombakan jawatan difahamkan akan mewujudkan keselesaan kepada penyandang untuk mencaturkan peluang sebaik sahaja selesai temasya Sukan Olimpik di Tokyo.

Apapun bukti semakin nyata bahawa prestasi sebahagian ahli lembaga eksekutif bukan setakat okey; cuma lebih kepada ‘membahangkan’ kerusi masing-masing sahaja. Berapa orang naib presiden benar-benar memberikan sumbangan? Tak perlulah disebut jawatan lain.

Kalau tidak sempat meminda perlembagaan, cukup sekadar bersaing lagi sesama sendiri atau menerima tekanan daripada grup terbaharu yang difahamkan sedang membuat perancangan.

SIEH Kok Chi

Jangan fikir mudah berhadapan cabaran pada pemilihan 4 September 2021 tetapi usah terkejut jika penampilan kumpulan ini tanpa dijangka.

Difahamkan antara cabaran yang bakal dibangkitkan ialah kelemahan pengurusan MOM buat masa ini. Apakah ketua pegawai operasinya Michelle Chai masih gagal dalam perancangannya sebagai kepala pentadbiran di MOM?

Faham-fahamlah di pejabat MOM, tiada lagi orang seperti bekas setiausaha Sieh Kok Chi yang kuat bekerja dan ‘macam-macam’ lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here