TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata atau laku?

Mujurlah si pelakunya sedar dan berani mengakui kesilapan itu.

Tepat seperti kata-kata hikmat ulama terkenal, Hamka, “berani berkata benar itu sifat pahlawan sejati tetapi berani mengaku kesalahan lebih tinggi nilai saterianya.”

“Alhamdulillah syukur, terima kasih kepada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami (pasukan negara),

“Saya minta maaf atas cara merayakan (gol) yang tidak menyenangkan itu.

“Perkara tersebut tidak akan berulang. Maaf sekali lagi,” ciap sayap kanan Harimau Malaya, Safawi Rasid pada laman sosial Twitternya, Safawi Rasid Official hari ini.

Pemain berjersi nombor 11 itu merujuk kepada cara isyarat tangannya selepas menjaringkan gol tunggal pasukan negara menerusi sepakan penalti terhadap Thailand.

Isyarat tersebut dipercayai ditujukan kepada warganet yang mengkritik aksi hambarnya ketika Harimau Malaya dibelasah Amiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0, 3 Jun dan Vietnam 2-1, 11 Jun lalu.

Tangan kirinya tampak menekan-nekan tapak tangan kanan (papan kekunci gajet elektronik) dan kemudian diletakkan di depan mulut sebagai menyuruh orang (warganet) senyap.

Dia kemudian turut berlaga perut dengan Guilherme de Paula, penyerang naturalisasi yang dikritik hebat para peminat tanah air sepanjang baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sejak 3 Jun 2021 lalu.

Gol pada minit ke-52 itu diperoleh gara-gara Safawi dijatuhkan oleh pemain Si Gajah Perang, Ernesto dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran bola dengan tumit Syafiq Ahmad dari sebelah kanan.

Buat kali pertama, Safawi tiada dalam kesebelasan utama dan hanya masuk menggantikan rakan sepasukannya dalam Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Arif Aiman Hanapi, seminit selepas permainan bersambung babak kedua.

Dia turut digantikan oleh Luqman Hakim Shamsudin dan Akhyar Rashid ketika melawan tuan rumah dan Vietnam pada minit ke-63 dan 46.

Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019 ini juga dilayangkan kad merah ketika menentang Bahrain dalam perlawanan persahabatan kerana menyimbah air mineral kepada pengadil garisan dari luar padang.

Malaysia menumpaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa lalu untuk menyambar tempat ketiga dengan 12 mata dalam Kumpulan G untuk menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2023 menerusi kelayakan pusingan ketiga, Januari depan.

Sejurus selepas menyamakan kedudukan dengan Vietnam di stadium sama, gelagat de Paula juga kurang disenangi ramai peminat kerana berlari begitu deras ke bangku simpanan pasukan negara untuk meraikan gol tunggal juga menerusi penalti, minit ke-72.

Sedangkan bekas warga Brazil ini juga didapati tidak pula bersungguh mengejar bola daripada kaki pemain lawan menerima hantaran rakan sepasukan atau mengatur serangan termasuk ketika berdepan UAE di Stadium Zabeel, Dubai.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini hadir dengan modal sembilan mata daripada kempen kelayakan sepanjang 2019 selepas menewaskan Indonesia 3-2 (Jakarta) dan 2-0 (Bukit Jalil) serta Thailand 2-1 (Bukit Jalil), ditewaskan Vietnam 1-0 (Hanoi) dan UAE 2-1 (Bukit Jalil).

Senarai penjaring 10 gol Malaysia dalam kempen pusingan kedua ini meliputi Mohamadou Sumareh dan Safawi (tiga), Syafiq (dua), Brendan Gan dan de Paula (satu).

Pada 23 dan 28 Mei lalu sebelum menyambung kelayakan, mereka dibelasah Kuwait 4-1 (gol de Paula) dan Bahrain 2-0 dalam siri perlawanan persahabatan pemanas badan di Stadium The Sevens, Dubai dan Stadium Nasional Bahrain, Riffa.

Kesemua keputusan ini kecuali menentang Kuwait (bukan tahap 1 antarabangsa), bakal mempengaruhi ranking terbaharu dunia Harimau Malaya yang mungkin dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada bulan depan.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here