Oleh Dr. Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman

WABAK COVID-19 yang mula tersebar sekitar lewat 2019 memaksa negara kita mengambil langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020, pelbagai kajian terperinci telah dilakukan di seluruh dunia dan juga tempatan terhadap kesan wabak atau pandemik ini dari pelbagai aspek termasuklah ekonomi, pendidikan, sosial, fizikal dan psikologi.

Kajian Universiti Khemis-Miliana di Algeria pada tahun 2020 mendapati kesan psikologi yang ketara dalam kalangan komuniti ialah kemurungan berikutan perubahan gaya hidup, kehilangan mata pencarian, masalah kekeluargaan, kesukaran mengikuti pembelajaran secara atas talian serta perasaan resah keterlaluan kerana perlu patuh prosedur yang ketat seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka serta takut dijangkiti wabak tersebut.

Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Mercy Malaysia yang menyediakan talian khas perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial telah menerima lebih 40,000 panggilan setakat Disember 2020.

Daripada jumlah ini, 50 peratus panggilan melibatkan isu yang perlukan sokongan kaunseling seperti stres, bimbang, marah dan murung, 15 peratus berkaitan COVID-19 secara langsung, dan selebihnya adalah lain-lain isu berkaitan keperluan asas, bantuan kewangan, dan kesihatan secara umum. Lebih membimbangkan, hampir 10 peratus panggilan yang diterima adalah berkaitan keganasan rumah tangga.

Setiap panggilan dan isu psikologi dikendalikan oleh seorang kaunselor bertauliah, biar pun metodologinya mungkin berbentuk konvensional, namun usaha ini turut dirangkum di bawah usaha penjagaan akal, hifz al-‘aql, yang menjadi salah satu daripada tuntutan maqasid syariah. Secara tidak langsung, proses pemulihan gangguan psikologi ini juga ialah salah satu usaha penting dalam memerangi COVID-19.

Seperti mana dalam peperangan, dalam konteks yang sama dengan pandemik COVID-19, kakitangan petugas kesihatan dan perubatan selaku para petugas barisan hadapan telah dimaklumi sebagai aset yang amat penting dalam memainkan peranan berhadapan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini.

Barisan yang sokongan yang tidak kurang pentingnya dalam memastikan percaturan operasi peperangan oleh barisan hadapan berjalan lancar, adalah kaunselor bertauliah, yang memberikan khidmat kaunseling kepada petugas barisan hadapan agar kekal bersemangat menjalankan tugas.

Bidang tugas para kaunselor ini, jika dinisbahkan dari sudut pandang Islam, boleh diserapkan di bawah semangat konsep “wa ta‘awanu ‘ala al-birri wa al-taqwa wa la ta‘awanu ‘ala al-ithsmi wa al- ‘udwan.” Ini merupakan anjuran jelas dari Allah SWT supaya manusia saling tolong menolong dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan dan ketakwaan, serta larangan bagi kita untuk saling tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.

Tidak dinafikan para kaunselor mempunyai kesediaan dari sudut keilmuan dan upaya intelektual yang menguasai disiplin ilmu kaunseling, namun mereka bukan adiwira yang kalis gangguan psikologi dan emosi. Sebagai manusia, sifatnya itu berkeluh-kesah atau gelisah apabila menghadapi kesulitan, sebagaimana yang digambarkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Ma’arij ayat 19 dan 20.

Tugas hakiki seorang kaunselor yang meladeni puluhan, malah ratusan masalah dan adu domba klien semasa pandemik COVID-19, tidak dapat tidak akan mempengaruhi sisi kehidupan peribadi mereka. Lambakan naratif pengalaman traumatik klien ini mampu membentuk gangguan yang dikenali sebagai Secondary Traumatic Stress (STS).

STS merupakan ketegangan emosi yang lahir daripada perasaan simpati dan empati yang normal terhadap pengalaman traumatik individu lain. Ini terjadi kerana para kaunselor sering menzahirkan simpati, empati, sikap memahami, memberi perhatian secara berulang kepada klien sebagai sokongan emosi.

Berdasarkan kajian lapangan dan pengalaman penyelidik Amerika Syarikat dan Kanada, STS boleh mengakibatkan lahirnya simptom yang mengganggu, sehingga memberi kesan ketara kepada kehidupan mereka. Ini termasuk gangguan imbasan, kegelisahan, kesukaran tidur, kewaspadaan melampau, sering menyalahkan diri sendiri atau orang lain, mudah marah, ketakutan melampau, dan kesukaran dalam memberi tumpuan.

Jika gagal diuruskan dengan baik, pastinya ia akan menjejaskan kelancaran proses pemberian khidmat kepada klien COVID-19. Apakah di sini ada keperluan bagi menokok upaya intelektual para kaunselor supaya mereka sendiri mampu mengurus STS yang menyerang?

Sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM), merangkumi pakar dari Fakulti Perubatan dan Akademi Pengajian Islam merasakan keperluan ini sesuatu yang mendesak dan mengusulkan solusi berpotensi untuk membantu situasi ini. Melalui penyelidikan yang dibiayai oleh UM sehingga Ogos 2021, kumpulan ini bakal membangunkan sebuah modul psiko spiritual lengkap dan khusus bagi tujuan pengurusan STS dalam kalangan kaunselor yang bertugas semasa pandemik.

Penghasilan modul ini direka bentuk sedemikian supaya mengintegrasikan disiplin ilmu kaunseling konvensional dan psiko spiritual Islami yang tentunya berteraskan sumber Rabbani. Ditambah baik dengan amalan Islam berorientasikan kerohanian, modul ini diharap bakal menjadi senjata tambahan kepada para kaunselor dalam menangani gangguan emosi dan psikologi ketika melaksanakan tugas di lapangan.

Selain anjuran hifz al-‘aql yang meliputi semua komponen masyarakat, termasuklah golongan profesional seperti kaunselor, tanggungjawab penjagaan kebajikan ini juga didasari oleh sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyelesaikan kesukaran seorang mukmin dari berbagai-bagai kesukaran dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang sedang kesukaran nescaya Allah akan mudahkan baginya di dunia dan akhirat dan sesiapa yang menutupi (aib) seorang muslim Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Sebagai sebuah negara yang sentiasa memperkasakan agenda Islam dalam pembangunan negara, mungkin tiba masanya kita meletakkan kaedah yang berteraskan elemen tauhid dalam membantu kita menghadapi ujian Allah SWT. Mungkin modul psiko spiritual yang bakal dibangunkan ini merupakan rencah pelengkap kepada ramuan solusi pandemik ini di Malaysia.

Dr. Syed Mohammad Hilmi

*Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan Ketua Projek Penyelidikan UMCSRG015-2020SS.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here