ANTARA bidang seni kreatif yang kini boleh menjana pendapatan lumayan ialah menghasilkan klip video menarik dan berkualiti dalam media sosial YouTube.

Kini terdapat berpuluh ribu penghasil klip video YouTube yang dikenali sebagai YouTuber di seluruh dunia, malah sudah ada di antara mereka yang sudah bertaraf jutawan hasil daripada pendapatan kerjaya tersebut. Bayaran dalam nilai mata wang ‘dolar’ itu dibuat oleh YouTube berdasarkan kepada segmen klip video yang banyak mendapat siaran iklan.

Kerjaya YouTuber bukan sahaja diceburi oleh orang kebanyakan, malah kebelakangan ini ramai golongan kenamaan, selebriti bidang tertentu, termasuk golongan artis popular menggunakan populariti mereka mula menceburi bidang berkenaan bagi memperoleh sumber pendapatan sampingan dalam era kegawatan ekonomi dunia sekarang.

Pelbagai kategori klip video dihasilkan seperti kisah misteri, sejarah, pelancongan, kekeluargaan, keagamaan, hiburan, ceramah, pendidikan, pengembaraan, kisah perjalanan hidup, tokoh, masakan, produk makanan, destinasi menjamu selera dan sebagainya lagi.
Dalam pada itu terdapat juga YouTuber pada mulanya sekadar ‘suka-suka’ menghasilkan klip video tetapi bertukar serius menjadikannya sebagai kerjaya setelah hasil kreatifnya itu mendapat sambutan hebat tontonan.

Syahmi Sazli

Umpamanya seorang anak muda dari Kelantan bernama Syahmi Sazli, 25, pada mulanya sekadar ‘suka-suka’ menghasilkan klip video YouTube mengenai lawak jenaka spontan watak ‘bingung’ lakonan golongan orang kurang upaya (OKU) terencat akal dalam kalangan penduduk tempatan tanpa sebarang asas sebagai pelakon.

Tanpa diduga kelainan klip video yang menyantuni bakat OKU itu telah mendapat sambutan hebat apabila dalam jangka masa singkat sahaja berjaya meraih lebih 100,000 tontonan, begitu juga sambutan kepada setiap belasan karya berikutnya.

Berikutan kejayaan itu dan meraih bayaran lumayan daripada YouTube, maka Syahmi dengan berbekalkan modal sekitar RM400,000 memberanikan diri untuk menceburi pula sebagai pengarah dan produser filem selepas mendapat lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Filem pertama arahan Syahmi berjudul ‘Mael Totey The Movie’ (MTTM) mengisahkan pemuda lurus bendul berusaha mempelajari bahasa Inggeris sebagai memenuhi syarat gadis idaman itu berjaya dihasilkan oleh produksi Syahmi Sazli Producton ditayangkan di saluran berbayar Astro First pada bulan Oktober 2020.

Dua pelakon muda OKU dalam klip video YouTube dahulu iaitu Asif Suhaimi dan Yoe Parey diberi peluang berlakon dalam MTTM, selain Syahmi menjadi pelakon utama dibantu oleh Emaleen Minhad dan Aween Ismail.

Ternyata berlaku satu lagi kejutan kepada Syahmi apabila filem MTTM menjadi ‘box office’ memperoleh kutipan lebih RM6.4 juta dalam tempoh tayangan selama 24 hari sekali gus mengatasi kutipan filem popular di Astro First ketika orang ramai tidak keluar rumah kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia sejak 2019.

“Saya bersyukur kerana Mael Totey The Movie mendapat sambutan hebat walaupun dihasilkan dalam keadaan serba kekurangan dan tiada pengalam sebagai pengarah filem,” ujarnya yang tidak menolak faktor penonton siri klip video terdahulu meneruskan tontonan kepada MTTM pula.

Y Yayan @ Alman Mulyana

Seorang lagi YouTuber terkenal berasal dari Subang, Indonesia bernama Yayan @ Alman Mulyana, 38, yang menjadi tenaga kerja Indonesia (TKI) di Arab Saudi berjaya membuktikan profesion menghasilkan klip video untuk saluran tersebut mampu menjana pendapatan lumayan hingga menjangkau jutaan ringgit.

Kebanyakan klip video yang dihasilkan oleh Alman Mulyana sejak tahun 2017 itu berkisar kepada perjuangan getir hidupnya sebagai TKI serta laporan terkini sekitar kediamannya di Mekah dan Jeddah, selain paparan sejarah Rasulullah SAW, ternakan unta, ladang kurma, kebun sayur-sayuran, penemuan air terjun berhampiran Mekah, suka duka kehidupan TKI dan pelbagai lagi kisah keanehan setempat.

Sebelum pulang bercuti ke Indonesia sempena Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei 2021 lalu, maka sebulan sebelum itu nun jauh di Mekah, Alman Mulyana telah melakukan kejutan kepada isteri dan tiga orang anaknya dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah bernilai kira-kira RM500,000 dibeli dari sebuah ejen kenderaan berdekatan kediaman keluarganya di Subang, Jawa Barat.

YouTuber Indonesia, Yayan @ Alman Mulyana di Mekah.

“Sebelum menjadi YouTuber di Mekah dan Madinah, pelbagai pengalaman pahit saya lalui, malah pernah di penjara kerana kesalahan jalan raya apabila terlibat dalam kemalangan ketika menjadi pemandu kereta sewa (supir). Untuk menjadi YouTuber yang berjaya pula, kita mesti rajin mencari kisah luar biasa, bermaklumat dan menghiburkan yang boleh menarik ramai penonton. Sesungguh tidak mudah untuk mendapatkan kesenangan hidup, melainkan setelah kita gigih berusaha,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here