Tahfiz boy in white button up shirt smiling
Photo by Muhammad Adil on Unsplash
Oleh Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

PENDIDIKAN Tahfiz al-Quran semakin rancak tumbuh di seluruh negara. Khasnya dalam era pendidikan moden yang semakin mencabar. Banyak isu yang dibincangkan oleh pelbagai pihak berkaitan pendidikan tahfiz seperti kurikulum, pengajaran dan pembelajaran (PnP) dan pengurusan institusi tahfiz. Termasuklah juga kelayakan guru, prasarana dan kebajikan pelajar. Ada pihak yang pro dan ada pihak yang kontra.

Walaubagaimanapun, pada masa yang sama kita mendapati sambutan yang sangat menggalakkan daripada para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi-institusi tahfiz.

Faktor utama adalah kerana keyakinan ibu bapa kepada institusi tahfiz sebab secara dasarnya mempunyai visi dan misi yang jelas untuk memartabatkan pengajian al-Quran.

Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Muhammad Zulazizi Mohd. Nawi (2021) bertajuk “Sistem Pendidikan Tahfiz di Malaysia, Pilihan Ibu bapa dan Warisan Pendidikan Islam Andalus: Satu Sorotan” mereka merumuskan bahawa pendidikan di institusi tahfiz adalah holistik.

Oleh itu, penyelarasan, pembangunan, penaziran, pemantapan dan pemerkasaan pengurusan urus tadbir institusi tahfiz negara perlulah mengambil kira akan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peraturan yang sedia ada di seluruh negara agar menjadi model pendidikan yang unggul dan berkesan.

Justeru, kecemerlangan warisan Islam sejak zaman Andalus perlu diterapkan demi mewujudkan kembali kegemilangan Islam terhadap institutsi tahfiz sama ada ilmu fardhu ‘ain mahupun ilmu fardhu kifayah.

Pendidikan tahfiz mesti mengintegrasikan antara ilmu naqli (agama) dan ilmu ‘aqli (akademik). Atau dengan kata lain menggabungkan antara kurikulum Pendidikan Islam yang berteraskan tahfiz al-Quran dan kurikulum kebangsaan. Saya mengambil model yang digunapakai di Maahad Tahfiz Ar-Raudhah (MTAR), Kelantan sebagai contoh.

Di MTAR yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menggabungkan antara keduanya tetapi berdasarkan kapasiti dan kemampuan pihak maahad. Sebagai contoh, bagi para pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3, mereka hanya diajar subjek-subjek asas dalam kurikulum akademik dalam waktu hanya 2 jam sehari.

Iaitu pada sebelah petang sahaja. Manakala pada sebelah pagi dan malam adalah khusus untuk pengajian al-Quran dan tahfiz al-Quran. Masa digunakan lebih 6 jam sehari untuk pendidikan al-Quran dan tahfiz.

Tumpuan bagi pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3 adalah supaya mereka akan dapat khatam hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa 3 tahun. Terbukti dalam tempoh 3 tahun 90% daripada pelajar berjaya khatam hafazan 30 juzuk dengan baik dalam masa yang ditetapkan. Malah, ada yang berjaya khatam semasa tingkatan 2.

Manakala bagi pelajar tingkatan 4 mereka akan ditambah waktu pengajian akademik 2 jam lagi supaya mereka dapat lebih fokus untuk mengejar masa belajar untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tiada peperiksaan umum lain yang diambil pelajar di MTAR kecuali SPM. Semasa di tingkatan 4 pelajar sudah mula fokus kepada pengajian SPM tanpa meninggalkan pengajian al-Quran. Di samping itu, mereka juga terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum.

Manakala pada tahun terakhir mereka, iaitu semasa tingkatan 5 para pelajar akan diajar dengan subjek-subjek akademik khusus untuk peperiksaan SPM. Pada masa ini hanya 1-2 jam sehari sahaja diperuntukkan untuk mereka mengulang dan melancarkan hafazan.

Semua masa yang lain adalah untuk pengajian SPM termasuk hari minggu. Semua guru yang mengajar subjek-subjek SPM adalah terdiri daripada guru-guru pakar dalam setiap mata pelajaran.

Sama ada daripada guru-guru yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan guru-guru pusat tuisyen yang dipercayai. Mereka diambil berkhidmat secara separuh masa.

Jadual disusun mengikut kelapangan masa mereka. Terbukti pelajar sangat selesa dan dapat menumpukan kepada pengajian dengan baik. Mereka dilatih secara khusus untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Kelebihan yang ada pada Pendidikan tahfiz ini terbukti dengan sambutan yang istimewa daripada para ibu bapa. Satu daripada faktor utama kecemerlangan pelajar di MTAR sebagai contoh ialah hubungan yang sangat kuat antara ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah melalui Kelab Ibu Bapa MTAR (KIBAR).

Kesemua bayaran kepada guru-guru yang mengajar subjek akademik semasa tingkatan 4 dan tingkatan 5 adalah ditanggung oleh ibu bapa sendiri secara bayaran bulan.

Setiap tingkatan ada jawatankuasa sendiri dan semuanya dikendalikan oleh ibu bapa. Ianya tidak termasuk dalam kos bayaran bulanan asrama. Sistem yang digunakan ialah dengan cara menabung setiap tahun sejak daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 supaya tidak membebankan apabila pelajar berada di tingkatan 5.

Abdullah Nasih Ulwan (2017) menyatakan bahawa antara faktor penting ibu bapa memilih Pendidikan tahfiz juga ialah kerana keyakinan mereka terhadap kelebihan orang yang mempelajari al-Quran, apatah lagi menghafaz al-Quran.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka ia akan mendapat satu pahala kebaikan dan dari satu pahala kebaikan itu berlipat menjadi sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alif-lam-mim sebagai satu huruf. Akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”. [Riwayat Bukhari]

Begitu juga satu lagi hadis Nabi SAW: “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya”. [Riwayat Bukhari]

Pendidikan tahfiz juga tidak mengabaikan pendidikan akhlak atau moral. Oleh itu, ianya menjadi pilihan ibu bapa masa kini. Malah, Fazurawati Che Lah (2017) menegaskan bahawa para ibu bapa yakin dengan sistem yang dikendalikan di institusi-institusi tahfiz yang mengintegrasikan ilmu naqli dan ‘aqli yang pastinya menghasilkan pelajar yang mempunyai nilai tambah berbanding pelajar biasa dan sangat diperlukan dalam pasaran kerja pada zaman ini. [Harian Metro, 10 Dis 2017]

Jelas kepada kita bahawa Pendidikan di institusi-institusi tahfiz al-Quran pada masa ini umumnya adalah seiring dan menepati sistem pendidikan arus perdana negara. Tidak ada aspek yang diabaikan. Buktinya, sejak tiga tahun terdahulu semua lepasan MTAR keluar dengan jayanya iaitu khatam 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam SPM.

Inilah bukti sistem yang disediakan di institusi-institusi tahfiz ini mempunyai nilai tambah dan keistimewaan tersendiri. Setiap institusi mungkin berbeza kaedah, tetapi yang pasti masing-masing mempunyai visi dan misi yang sama iaitu memartabatkan pengajian al-Quran dan tahfiz al-Quran di Malaysia. Seterusnya, akan melahirkan hafiz al-Quran yang profesional.

Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

*Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan dan Pengerusi LPS Maahad Tahfiz Ar-Raudhah, Perol, Kelantan. Boleh dihubungi melalui email [email protected] @ 013-9218119

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here