MAGERAN yang ditubuhkan pada 1969. Foto Wikipedia

MAJLIS Gerakan Negara (MAGERAN) yang diwujudkan oleh Pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bukannya sebuah kerajaan sementara (interim government) bagi menguruskan ancaman konflik etnik pada tahun 1969.

Hakikatnya, MAGERAN hanya satu badan pengurusan keselamatan bertaraf sementara (adhoc) bagi memulihkan keamanan negara dan ketenteraman awam akibat konflik tersebut.

Tunku Abdul Rahman menjelaskan pada 16 Mei 1969, MAGERAN adalah untuk “menyelaraskan kerja pentadbiran awam, tentera dan polis dalam usaha mengembalikan keamanan” selepas tragedi 13 Mei 1969.

Ia juga bertanggungjawab untuk “mengembalikan kepercayaan rakyat kepada negara dengan seberapa segera supaya perniagaan tidak terhalang, pentadbiran negara tidak akan rosak, dan perjuangan kerajaan demi kemakmuran dan keamanan tidak jadi sia-sia”.

Pada ketika itu Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri dan Tun Abdul Razak Hussein selaku timbalannya dilantik sebagai “Pengarah Tindakan” (Director of Operations) MAGERAN yang bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri.

Di bawah MAGERAN pula wujud Majlis Bertindak Kebangsaan (National Action Council) pimpinan Tun Razak bagi menyelaraskan urusan Majlis Gerakan Negeri.

Ini menunjukkan MAGERAN adalah organisasi yang membentuk strategi dan dasar pengurusan keselamatan Malaysia untuk memulihkan keamanan dan ketenteraman awam akibat koflik berkenaan.

Majlis Bertindak Kebangsaan pula adalah badan yang menyelaraskan pelaksanaan strategi dan dasar tersebut hingga ke peringkat negeri.

Pembentukan MAGERAN menunjukkan bahawa Malaysia memerlukan satu struktur pengurusan keselamatan yang bersepadu dan dianggotai oleh gabungan elit pemerintahan negara dan profesional sektor awam pelbagai disiplin, untuk menangani sesuatu ancaman keselamatan yang luar biasa.

MAGERAN juga melibatkan penyertaan agensi awam dan kumpulan pakar, termasuk ahli akademik asing, untuk mengkaji masalah “penyatuan nasional” Malaysia di era pasca 13 Mei 1969.

Dalam konteks ini, MAGERAN memperolehi khidmat nasihat empat tenaga akademik Amerika Syarikat (AS) – Prof. Nathan Glazer dan Prof. Samuel P. Huntington daripada Universiti Harvard, Prof. Manning Nash daripada Universiti Chicago dan Prof. Myron Weiner daripada Institut Teknologi Massachusetts – untuk menjalankan kajian ini.

Kajian terbabit, yang disertai oleh ahli akademik dan profesional Malaysia, berjaya memperkenal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Majlis Perundingan Negara, Majlis Muhibah Negara, dan Rukunegara.

Pentadbiran Razak membubarkan MAGERAN setelah Parlimen kembali berfungsi pada awal tahun 1971. Badan pengurusan keselamatan ini digantikan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditubuhkan pada 7 Julai 1971, berasaskan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979.

Misi utama MKN adalah menerajui penggubalan dasar keselamatan. Namun, fungsi teras MKN adalah mempertahankan kedaulatan serta kepentingan strategik negara; menguruskan krisis dan bencana; dan menguruskan sempadan darat, maritim dan udara.

Dengan ini, MKN hanya menyelaraskan dasar-dasar keselamatan negara dan arahan mengenai langkah keselamatan, termasuk gerakan keselamatan dan ketenteraman awam, di peringkat nasional, negeri dan daerah.

Namun begitu, MKN mempunyai Jawatankuasa Perisikan Negara, Jawatankuasa Perancang Gerakan, Jawatankuasa Geraksaraf dan Perangsaraf, Jawatankuasa Kawalan Ketenteraman Awam dan Jawatankuasa Kawalan Keganasan.

Status MKN di atas menimbulkan kesamaran terhadap fungsinya dalam pengurusan keselamatan luar biasa yang muncul di era Pentadbiran Tun Hussein Onn (1973-1981) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003).

Akibatnya, Pentadbiran Hussein mewujudkan “Kerajaan Darurat” berasaskan struktur MAGERAN, menerusi satu akta Parlimen, untuk menangani krisis politik Kelantan pada tahun 1977.

“Kerajaan Darurat” yang dikelolakan oleh pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri, dibubarkan setelah politik Kelantan pulih seperti sedia kala.

Pada 7 Januari 1998, Pentadbiran Mahathir pula membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani Krisis Kewangan Asia yang mengancam ekonomi Malaysia serta beberapa negara ASEAN.

MTEN juga berbentuk ala-MAGERAN dengan Perdana Menteri selaku pengerusi dan dianggotai oleh menteri yang berkaitan dengan ekonomi dan kewangan, wakil parti pembangkang, wakil sektor korporat, wakil kesatuan sekerja, wakil NGO serta pelbagai kumpulan minat lainnya.

Kesamaran fungsi MKN di atas diperbetulkan oleh Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menerusi Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Akta ini dibantah pihak pembangkang kerana salah satu fungsinya adalah “perisytiharan kawasan keselamatan” serta “kuasa khas Pasukan Keselamatan di dalam Kawasan Keselamatan dan perkara lain yang berhubungan dengannya”.

Akta ini juga memperuntukkan Perdana Menteri selaku Pengerusi MKN. Lantas, Akta ini dipropagandakan sebagai iundang-undang kononnya untuk melindungi kepentingan Pentadbiran Najib Razak seandainya Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU14.

Bagaimanapun, akta ini membolehkan MKN menjadi badan yang menyelaraskan pengurusan keselamatan Malaysia yang membabitkan ancaman luar biasa seperti pandemik Covid-19.

Lantaran itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan Akta MKN 2016 buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia untuk menguruskan ancaman keselamatan yang luar biasa.

Akta MKN 2016 memandatkan Perdana Menteri sebagai Pengerusi MKN. Ini selari dengan sistem dan amalan pengurusan keselamatan di negara asing di mana Perdana Menteri atau Presiden berfungsi sebagai Ketua Eksekutif Keselamatan Nasional.

Lantaran itu, serangan pandemik Covid-19 mengoperasikan (operationalized) Akta MKN 2016 buat pertama kalinya bagi menguruskan ancaman luar biasa secara terselaras dan berpusat di bawah arahan Tan Sri Mahiaddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Perisytiharan Darurat menerusi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada Januari 2021 pula adalah untuk memantapkan operasi MKN ketika keadaan ancaman pandemik ini memerlukan pengurusan keselamatan negara dilaksanakan secara darurat.

Ini kerana serangan gelombang kedua pandemik Covid-19 diramalkan boleh menyebabkan keruntuhan sistem, infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan umum Malaysia.

Lantaran itu, tindakan serta pendekatan Pentadbiran Mahiaddin menangani ancaman gelombang kedua dan gelombang ketiga pandemik Covid-19 menerusi Akta MKN 2016 adalah tepat.

Namun demikian, Pelan Pemulihan Negara (PPN) akibat serang Covid-19 yang dimumumkan baru-baru ini perlu disusuli oleh pembentukan sebuah jawatankuasa sementara bagi mencerminkan keterlibatan pelbagai pihak untuk mengabsahkannya.

Badan ini perlu merangkumi penyertaan wakil parti pembangkang, swasta, kesatuan sekerja, pertubuhan rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti ketika menangani Krisis Kewangan Asia menerusi MTEN.

Hakikat ini adalah susulan kepada penyertaan seluruh agensi kerajaan dan pelbagai agesi swasta, kesatuan sekerja dan pertubuhan massa dalam menangani ancaman Covid-19 yang sudah wujud ketika ini.

Ia juga mengukuhkan keyakinan umum yang wujud menerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dianggotai individu berwibawa tinggi, termasuk wakil politik pelbagai parti.

Rumusannya, Malaysia sejak era Tunku Abdul Rahman memang memerlukan satu badan khusus untuk menguruskan ancaman luar biasa menerusi kaedah darurat.

Ini sebabnya Pentadbiran Mahiaddin menggunakan Akta MKN 2016 untuk menguruskan ancaman seperti pandemik Covid-19.

Oleh sebab itu juga, cadangan mewujudkan kerajaan interim ala-MAGERAN untuk menguruskan ancaman pandemik Covid-19 adalah tidak perlu.

Bagaimanapun, PPN yang diumumkan baru-baru ini mewajarkan keterlibatan menyeluruh pelbagai kelompok rakyat dan swasta untuk memantapkan pengabsahannya, jika Parlimen hanya dijangka berfungsi semula akhir tahun 2021.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here