DALAM hujan lebat, Sudirman Haji Arshad muncul dengan jubah ikonik bendera Malaysia yang dipegang oleh 300 orang pada acara penutup Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

WALAUPUN sudah 29 tahun Datuk Sudirman Haji Arshad meninggalkan kita, namun kehebatan beliau di pentas masih diperkatakan sehingga hari ini.

Selain showmanshipnya yang memukau sesuatu yang pasti adalah ‘costume’ rekaan Allahyarham yang dipakai dalam setiap persembahannya sentiasa menjadi perhatian para peminatnya.

Salah satu ‘costume’ yang sering diperkatakan dan begitu sinonim dengan Allahyarham adalah jubah ikonik bendera Malaysia yang dipakai dalam hujan lebat ketika membuat persembahan pada penutup Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Jubah sepanjang 120 meter dan lebar 90 inci yang dipakai oleh Allahyarham pada malam itu, sehingga hari ini masih segar dalam ingatan para peminatnya meskipun ia sudah berlalu hampir 32 tahun. Jubah berkenaan dijahit oleh tukang jahit yang tidak asing lagi, Den Wahab.

Jubah ikonik bendera Malaysia hasil kreativiti Allahyarham Sudirman yang kini disimpan dan dipelihara sejak 1992 di Arkib Negarawan, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.
Allahyarham Sudirman Haji Arshad ketika diumumkan sebagai Penghibur No: 1 Asia, di Asian Popular Music Award yang berlangsung pada 19 Mac 1989 di Royal Albert Hall, London.
Jubah ikonik bendera Malaysia hasil kreativiti Allahyarham Sudirman yang kini disimpan dan dipelihara sejak 1992 di Arkib Negarawan, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Itulah kali pertama dan terakhir jubah ikonik itu dilihat disarung di badan Penghibur No: 1 Asia ini. Selepas itu, ia tidak pernah dilihat dipakai oleh Allahyarham.

Ramai yang tertanya-tanya ke manakah perginya jubah ikonik bendera Malaysia hasil idea kreatif penghibur bertubuh kecil namun berjiwa besar dalam dunia hiburan.

Setelah lebih seminggu penulis cuba menjejaki jubah ikonik bendera Malaysia Sudirman, akhirnya hari ini dengan bantuan Pengarah Arkib Negarawan, Zaidin Mohd. Noor memberitahu jubah tersebut masih tersimpan dan dipelihara di arkib berkenaan kerana ia adalah bahan sejarah yang amat berharga.

Jubah ikonik tersebut adalah satu diantara 150 bahan berkaitan dengan Allahyarham yang terdapat dalam simpanan Arkib Negara Malaysia. Bahan-bahan tersebut diserahkan oleh kakak Allahyarham, Datin Rudiah Haji Arshad pada tahun 1992.

Antara bahan-bahan yang disimpan di Arkib Negara terutama dalam bentuk artifak seperti surat menyurat, keratan akhbar dan majalah, gambar sewaktu Allahyarham menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN), gambar semasa menerima anugerah di Royal Albert Hall, London, sijil MCE, kad jemputan kahwin, pakaian seperti baju, seluar, kot, jaket, songkok, kopiah dan topi.

LAUTAN manusia yang membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menyaksikan Konsert Gergasi Chow Kit Road yang berlangsung pada 14 April 1986.

Sementara itu, jubah ikonik bendera Sudirman sebanyak 33 ‘costume’ repositori disimpan dan dipelihara di Arkib Negarawan yang terletak di Jalan Dato Onn.

“Sudirman adalah Tokoh Negarawan dalam bidang seni. Beliau bukan sahaja hebat di negara malah telah mengharumkan nama Malaysia di dunia apabila dinobatkan sebagai Penghibur No. 1 Asia, di Asian Popular Music Award yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989.

“Arkib menyimpan segala yang berkaitan tentang Allahyarham Sudirman termasuk piring hitam yang merakamkan lagu-lagu bertemakan patriotik kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri.

“Lagu-lagu Allahyarham bersifat nasionalisme dan sayang kepada negara bukan setakat bendera. Malah Allahyarham merupakan satu-satunya penghibur yang menzahirkan semangat kecintaan yang begitu teguh di jiwa melalui lagu-lagu dan pakaiannya.

“Jubah ikonik bendera Malaysia ini bukan sahaja unik dari segi ia dihasilkan malah ia dipakai sempena penutup Sukan SEA ke-15 dan pada malam negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-33 tahun. Ia adalah bahan sejarah negara yang unik.

“Allahyarham Sudirman bukan sahaja berjiwa patriotik malah beliau adalah penghibur berjiwa rakyat apabila sanggup mengadakan Konsert Gergasi Chow Kit Road yang menghimpunkan 100,000 penonton membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 14 April 1986,” kata Zaidin Mohd. Noor.

DI ANTARA 33 helai ‘costume’ Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang disimpan dan dipelihara di Arkib Negawaran, di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Menurut Zaidin, disebabkan jubah ikonik itu menjadi bahan sejarah negara ia disimpan dengan baik dan dipelihara. Jubah berkenaan diletakkan dalam bilik khas di Kompleks Arkib Negarawan yang terletak di Jalan Dato Onn dengan suhu bilik yang sesuai kerana ia adalah bahan yang sesuai untuk dibuat kajian.

Selain jubah ikonik Allahyarham, pakaian tokoh dan pemimpin negara serta Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma juga disimpan di Arkib Negarawan.

“Sudirman bukan setakat menyanyikan malah setiap bait liriknya mempunyai makna dan semangat patriotik yang begitu menebal di jiwanya.

“Masyarakat dan peminat bukan setakat menghayati setiap bait lirik lagu-lagunya malah harus mentafsirkan makna di sebaliknya. Allahyarham adalah seorang penghibur yang kreatif dan tokoh sejarah.

“Lagu-lagu Allahyarham bukan untuk berseronok dan berhibur sahaja. Sebaliknya jika anda memahami setiap bait liriknya anda akan hayati advokasi semangat cintakan negara dan ia bukan setakat menghormati bendera malah harus menyayanginya,” kata Zaidin Mohd. Noor.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here