Dzulkefly Ahmad
Oleh Sarfarizmal Saad

MEMBELANJAKAN wang rakyat sebanyak RM300 juta semata-mata untuk membeli sejenis ambulans sememangnya tindakan yang mengundang banyak persoalan.

Namun ramai yang lebih gemar ‘menghentam’ daripada mendapatkan penjelasan benar. Begitulah pandangan ramai apabila bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dilihat menyerang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tapi mungkinkah Dr Dzulkefly telah tersalah langkah ketika menyerang. Cubaannya untuk cuba mencalar reputasi kepimpinan KKM, memakan diri.

Yang disoalnya 500 unit ambulans jenis ‘negative pressure’ dibeli kerajaan pada kos RM300 juta.

Namun hakikatnya pembelian itu melibatkan 500 unit ambulans dari pelbagai jenis dan bukan semata-mata jenis ‘negative pressure’ yang dipersoalkan bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu.

Akhirnya, KKM mengeluarkan kenyataan balas dan menjelaskan perancangan pembelian 500 unit ambulans tersebut telah dibuat sejak tiga tahun lepas bagi menggantikan ambulans sedia ada yang tidak dapat beroperasi secara optimum. Barangkali Dr Dzulkefly sendiri lupa.

Menurut Menteri Kesihatan Adham Baba, perancangan pembelian ini telah dibuat semasa pentadbiran Menteri Kesihatan terdahulu dan sememangnya sudah diluluskan lebih awal untuk menggantikan ambulans yang rosak, telah dilupuskan, perlu diganti dan ditambah di kawasan yang memerlukannya.

Bukankah negara kita juga memerlukan unit ambulans baharu? Apatah lagi  ketika kemudahan kesihatan rakyat di negara ini perlu ditambah baik dan diperkemaskan mengikut kecanggihan teknologi serta kepadatan penduduk?

Tidak kisahlah sama ada jenis ambulans ‘negative pressure’ atau lain-lain jenis, hakikatnya tindakan kerajaan menambah unit ambulans di negara ini adalah tepat pada masanya.

Bukankah dalam masa sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah mengakui pihaknya menerima banyak aduan dalam kalangan penduduk di kawasannya yang dinafikan perkhidmatan ambulans oleh Hospital Serdang?

Semua ini gara-gara jumlah ambulans yang tidak mencukupi berbanding kepadatan penduduk sekitar radius sesebuah hospital berkenaan.

Ketika mana ADUN parti DAP itu membidas Kerajaan Persekutuan yang didakwa lebih mementingkan politik dan gagal mengawal penularan Covid-19 dengan cekap, Dr Dzulkefly dan rakan-rakannya pula bertindak mengecam tindakan KKM untuk menyelesaikan kemelut yang sedang melanda sektor kesihatan sejagat.

Sepatutnya sebagai seorang bekas menteri kesihatan, dia harus memberi sokongan terhadap mana-mana usaha kerajaan bagi memperkasakan sektor kesihatan awam di Malaysia.

Kata orang, jika tidak boleh membantu lebih diam sahaja.

Lagipun, soal kesihatan tidak boleh ada kompromi. Jika ia terpaksa melibatkan jumlah kos yang tinggi sekali pun, kerajaan wajar mencari penyelesaian  pada kadar segera.

– BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Ini bukan kewartawanan tapi sekadar tulisan macai politik. Harap bebas news lebih berhati-hati jika mahu dihormati sebagai platform bebas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here