DALAM hujan lebat, Sudirman Haji Arshad muncul dengan jubah ikonik bendera Malaysia yang dipegang oleh 300 orang pada acara penutup Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA bercakap tentang jubah ikonik bendera Sudirman tidak boleh tidak kita pasti tertanya-tanya siapakah orangnya sehingga beliau dipilih untuk memastikan impian penghibur berkenaan menjadi realiti pada malam penutup Sukan SEA ke-15 yang berlangsung pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Apalagi tatkala Penghibur No. 1 Asia itu mengumumkan nama tukang jahit berkenaan di pentas Konsert Kuala Lumpur…Sudirman Haji Arshad selepas menyanyikan lagu keduanya, “Tegakkan Bendera Kita”, ramai yang tertunggu-tunggu dan ingin melihat si empunya nama.

Sayangnya pada malam itu tukang jahit bernama Den Wahab tidak muncul di pentas apabila Sudirman mengumumkan namanya ketika pentas dan padang Stadium Merdeka basah dilimpahi hujan lebat.

Siapakah Den Wahab dan apa istimewanya dia di mata Sudirman sehingga diberi kepercayaan untuk menjahit jubah bendera ikonik itu?

SEKEMBALINYA dari London pada 1986, pertama kali Den Wahab bertemu Sudirman Haji Arshad yang datang ke kedai milik ayahnya, Haji Abdul Wahab yang kini dikenali Den Wahab Industries.

Den Wahab atau nama sebenarnya Zaharuddin Wahab ketika dihubungi semalam dan apabila ditanya mengenai malam bersejarah itu memberitahu;

“Saya memang mahu berada di padang melihat Abang Sudir dengan jubah bendera Malaysia berjalan ke pentas dan menyanyi tetapi sayangnya saya demam malam itu.

“Walaupun saya hanya menonton siaran langsung persembahan itu di RTM 1, saya amat terharu dan bersyukur kerana merasai begitu dihargai apabila Abang Sudir umumkan nama tukang jahit jubah berkenaan adalah saya.

“Pada saat itu tiba-tiba saya rasa kebah dari demam dan kalau ada sayap saya ingin terbang terus ke sana. Sebenarnya saya amat berterima kasih kepada Abang Sudir kerana Allahyarham telah mengenalkan ‘budak hingusan’ dalam bidang fesyen kepada Malaysia. Bukan senang nak dapat publisiti begitu. Sampai sekarang saya tidak terbalas budi baik Allahyarham.”

Sememangnya ketika itu, tidak siapa yang kenal anak muda berusia 23 tahun yang baru balik dari London dan pemegang Diploma in Designing and Cutting dari London School of Fashion (1984-1985) dan Southgate International School (1985-1986) tetapi bertitik tolak daripada jubah ikonik bendera Malaysia itulah nama Den Wahab mula dikenali.

Den Wahab pemilik Den Wahab Industries yang kini masih beroperasi di No: 4, Bangunan Wisma Yakin, Jalan Masjid India bila ditanya mengenai jubah ikonik itu memberitahu;

“Sebenarnya saya tidak menjangka menjadi pilihan Abang Sudir tetapi kepercayaannya memberi semangat untuk saya merealisasikan impiannya.

“Pada meeting pertama dan mendengar idea serta melihat lakaran jubah bendera Abang Sudir (Allahyarham Datuk Sudirman) saya tidak terfikir sejauh itu imaginasi beliau. Namun kepercayaan yang diberi memberi semangat kepada saya dan staff untuk merealisasikan impiannya. Bagi memudahkan tugas kami, saya membawa dua mesin jahit ke stadium.

SUDIRMAN Haji Arshad bersama Haji Abdul Wahab Zakaria (bersinglet Pagoda) pemilik asal Den Wahab Industries

“Saya bersama tiga pekerja mengambil lebih sebulan untuk menyiapkannya yang mana yang mana sebelum itu dua minggu lebih kami menjahit di kedai dan dua minggu lagi di stadium. Setiap staff bekerja 3 jam sehari secara bergilir yang mana dalam sehari kami bekerja 12 jam.”

Menurut Den Wahab, bukan mudah untuk menyiapkan jubah bendera Malaysia sepanjang 120 meter dengan lebar 90 inci seperti yang dimahukan Sudirman.

Bagi menepati spesifikasi yang dimahukan oleh Sudirman, beliau menggunakan kain putih sebanyak 230 meter dan untuk melebarkan kain putih dengan bidang 45 inci ianya dijahit dan disambung untuk menjadikannya 90 inci. Beliau menggunakan lima kayu kain putih dengan setiap kayu mempunyai 50 meter.

Sementara kain merah yang digunakan adalah 120 meter dengan bidang kain 45 inci yang dipotong untuk dijahit di atas kain putih menjadikan tujuh jalur merah dan tujuh jalur putih.

“Menjahit kain merah di atas kain putih memang rumit. Ia memerlukan ketelitian agar kain satin merah yang dijahit di atas kain satin putih tidak berkedut. Saya menggunakan tiga kayu kain merah yang mana setiap satu mengandungi 50 meter,” jelas Den Wahab.

Menurut Den, walaupun mereka bekerja tidak mengira siang atau malam tetapi bersyukur kerana jubah bendera itu siap pada waktunya.

“Abang Sudir tidak pernah datang ke stadium untuk memastikan hasil kerja saya kerana beliau yakin dengan kemampuan saya. Tetapi staff beliau sering datang melihat perkembangan jubah berkenaan.

DEN Wahab bersama anak ketiganya, Farah Ismahani yang kini mengambilalih Den Wahab Industries.

“Saya rasa lega apabila jubah bendera Malaysia dengan kos RM25,000 siap tepat pada waktunya.” cerita Den Wahab.

Mengenali Sudirman Haji Arshad yang juga dikenali ‘The Singing Lawyer’ apa yang pasti anda tidak akan dapat melihat idea dan konsep yang sama dalam setiap persembahannya. Dengan itu tidak hairanlah apabila penghibur yang tebal dengan semangat patriotik ini sanggup mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM25,000 untuk jubah ikonik bendera Malaysia sebagai menzahirkan rasa cinta dan sayangnya kepada negara ini.

Tetapi tahukah anda bagi memastikan jubah ikonik bendera Malaysia sepanjang 120 meter dan lebar 90 inci ini tidak menyentuh bumi ketika Sudirman berjalan dari depan terowong bilik persalinan sehingga ke pentas, seramai 300 orang ditugaskan memegang bendera itu antaranya staff Sudirman, para petugas Sukan SEA dan atlet negara.

Apabila ditanya nilai atau kos pembuatan jubah ikonik itu hari ini, tanpa teragak-agak Den Wahab memberitahu;

“Kos RM25,000 itu 31 tahun dahulu. Waktu itu, gaji pekerja (tukang jahit profesional) sebulan hanya RM350 tanpa overtime dan sebelum pandemik Covid-19, gaji mereka sebulan lebih daripada RM2,000.

“Sementara itu, kain satin yang digunakan harganya hanya RM2.50 sen semeter. Setelah mengira dari gaji pekerja dan kemahiran mereka, harga atau kos jubah ikonik bendera Malaysia Sudirman hari ini tidak kurang daripada RM100,000!”

Menurut Den Wahab, sejak berjaya menyiapkan jubah bendera itu, beliau menjadi tukang jahit tetap kepada Sudirman kerana dengan kelulusan dan kemahirannya beliau mampu menyiapkan apa jua fesyen atau kot seperti jenama terkenal yang dimahukan oleh penghibur itu.

DANIEL DHARANEE KANNAN

Menurut Den Wahab, Sudirman adalah ‘trendsetter’ kerana beliau bertanggungjawab mempopularkan baju Melayu sepasang daripada songkok hinggakan kain samping warna sedondon.

“Bertahun juga saya menerima tempahan begitu setiap kali raya tidak kurang 3,000 pasang dengan harga antara RM300 hingga RM400 mengikut jenis kain. Selalunya sebelum puasa pihak kami sudah mengambil tempahan.

“Bagaimanapun apabila zaman berubah dan persaingan banyak saya tetap bersyukur masih mendapat tempahan yang banyak tetapi sejak pandemik Covid-19 memang berkurangan,” kata Den Wahab.

Bagaimanapun kata Den Wahab, kini perniagaannya diambil alih oleh anak ketiganya daripada lima beradik iaitu Farah Ismahani.

“Syukur alhamdulillah perniagaan saya masih ada kesinambungan. Saya tidak sangka Farah semasa kecil tidak berminat apabila saya bawa ke tempat kerja saya, tetapi akhirnya mahu meneruskan legasi Den Wahab,” kata Den Wahab.

ALLAHYARHAM Sudirman Haji Arshad menjadi pelopor memakai baju Melayu songkok dan kain samping warna sedondon.

Sementara itu, bekas Pengurus Sudirman, Daniel Dharanee Kannan ketika dihubungi dan bertanya tentang jubah bendera Malaysia itu, berkata;

“Mengenali Sudirman dan menjadi pengurusnya selama lima tahun, bagi saya Allahyarham adalah seorang yang tidak kedekut mengeluarkan bajet untuk pakaian dan props dalam setiap kali persembahannya.

“Jika beliau menerima bayaran untuk sesuatu show antara RM90,000 hingga RM100,000 beliau tidak sayang membelanjakan lebih daripada separuh bayaran yang diterima untuk persediaannya. Jika ada artis memikirkan keuntungan di sebalik penat lelah mereka tetapi itu bukan Sudirman kerana beliau memikirkan kepuasan buat diri dan para peminatnya.

“Sebenarnya sebelum persembahan di Sukan SEA malam itu bermula dalam keadaan hujan lebat, 35 daripada 50 speaker tidak berfungsi kerana lintas pintar. Tetapi beliau tidak patah semangat kerana baginya show harus diteruskan.

“Dalam serba kekurangan kerana hujan, persembahan itu tetap menerima respons yang tidak berbelah bahagi daripada para penonton. Allahyarham memang penghibur sejati,” kata Dharanee yang sempat menjadi Pengurus Sudirman lima tahun sebelum penghibur itu meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here